SURAU FIKIR

Belajar Tanpa Berfikir Itu Sia-Sia
Dan Berfikir Tanpa Belajar Itu Bahaya !

Wednesday, March 30, 2011

Waktu Santai Supaya Ilmu Sampai

Alhamdulillah Ceramah Perdana yang berlangsung petang tadi di Pernec telah mengundang kehadiran 50 org muslimat dan 32 org muslimin. Penceramah iaitu Ustaz Azmil Zainal Abidin dari Universiti Malaya telah memulakan sessi dengan peringatan kepada 5 perkara sebelum kehadiran 5 perkara dan berharap para hadirin untuk dapat manafaat waktu santai supaya ilmu sampai pada majlis ilmu ini. Kita masih hidup sebelum mati, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit, dan muda sebelum tua. Beruntunglah kerana mencintailah majlis ilmu.

Ustaz berkongsi sebuah hadis kudsi sebagai hujah untuk membincangkan tajuk ceramah hari ini iaitu "Iman dan Kehidupan". Hadis kudsi itu ialah hadis yang mana maknanya adalah dari Allah SWT dan Rasulullah SAW pula memberi ibarat mengikut kehendaknya.

Dari Abu Dzar Al-Ghafiri r.a, dari Nabi SAW yang meriwayatkan dari Tuhannya Allah SWT, bahawasanya Tuhannya telah berkata :
  1. " Wahai hamba-hambaKu ! Sesungguhnya aku telah mengharamkan penganiayaan atas diriKu, dan Aku jadikan haram di antara sesama kamu, maka janganlah kamu aniaya-menganiayai.
  2. Wahai hamba-hambaKu ! Kamu sekelian sesat, kecuali siapa yang telah Aku berikan hidayat kepadanya. Maka hendaklah kamu minta hidayat daripadaKu, nescaya Aku akan memberi hidayat itu kepadamu.
  3. Wahai hamba-hambaku ! Sekelian kamu lapar kecuali siapa yang telah Aku berikan makanan kepadanya, maka hendaklah kamu sekelian meminta makan daripadaKu, nescaya Aku akan beri kamu makan.
  4. Wahai hamba-hambaku ! Sekelian kamu bertelanjangan, kecuali sesiapa yang aku berikan pakaian, maka mintalah pakaian daripadaKu.
  5. Wahai hamba-hambaku ! Sekelian kamu membuat kesalahan pada waktu malam dan siang dan Akulah yang sahaja yang mengampunkan segala dosa. Maka mintalah keampunan daripadaKu, nescaya Aku akan mengampunkan segala dosa-dosa kamu.
  6. Wahai hamba-hambaku ! Kamu sekelian tidak mampu merancang sesuatu mudharat untuk memudharatkan Aku, dan kamu tidak mampu merancang sesuatu menafaat untuk memenafaatkan Aku.
  7. Wahai hamba-hambaku ! Jika sekiranya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu bersatu, samada dari jenis manusia atau jin, semuanya bertaqwa seperti taqwanya hati seorang manusia di antara kamu, nescaya yang demikian itu tidak akan menambahkan barang sedikit pun pada kerajaanKu.
  8. Wahai hamba-hambaku ! Jika sekiranya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu bersatu, samada dari jenis manusia atau jin, semuanya berhati jahat seperti jahatnya hati seorang manusia di antara kamu, nescaya yang demikian itu tidak akan mengurangkan barang yang sedikit pun pada kerajaanKu.
  9. Wahai hamba-hambaku ! Jika sekiranya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu bersatu, samada dari jenis manusia atau jin, semuanya berkumpul pada sebuah tanah lapang lalu masing-masing meminta padaKu, nescaya Aku akan memperkenankan kepada tiap-tiap seorang itu akan permintaannya, nescaya yang demikian tidak akan mengurangkan sedikit pun dari apa yang Aku miliki, melainkan seperti terkurangnya sebatang jarum yang jatuh ke dalam laut.
  10. Wahai hamba-hambaku ! Sebenarnya semua itu adalah amalan-amalan kamu yang Aku catitkan bagi kamu sekelian, kelak di kemudian hari akan Aku balas atas tiap-tiap satu daripadanya. Oleh itu, barangsiapa menerima kebaikan hendaklah ia memuji Allah dan barangsiapa yang menerima sebaliknya janganlah ia mencela kecuali dirinya sendiri.

Allah telah mengharamkan zalim pada diri-Nya. Maka sudah tentulah lebih2 lagi pada hamba-Nya. Dosa kezaliman sangat dahsyat, kelam dan gelap. Zalim itu adalah menceroboh hak orang. Pencerobohan memusnahkan maruah, airmuka, harta, keturunan malah nyawa. Pencerobohan adalah zalim dan kezaliman adalah haram. Ia terlarang bagi Allah, apatah lagi hamba Allah sesama sendiri. Namun manusia selalu zalim pada diri sendiri apabila meninggalkan suruhan Allah atau mengingkari larangan Allah. Kita ingin tasaruf (kendalikan) iaitu buat sesuatu kepada yang bukan milik kita, maka itu zalim namanya. Benda bukan milik kita maka perlakuan itu tidak patut. Allah istiharkan semua isi alam semesta ini milik Allah, maka janganlah kita membuat kezaliman ke atas segala milik Allah itu. Keadilan itu ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Contohnya ketayap letak di kepala bukan di kaki, sebaliknya stokin letak di kaki bukan di kepala. Kalau stokin kita letak kat kepala, maka itu zalim namanya kerana meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya.

Allah adalah sumber himpunan segala rahmat. Semua manusia sesat kecuali yang mendapat hidayah Allah. Maka tanyalah diri kita, setakat mana hidayah Allah menjadi keutamaan kita? Setakat mana kita jaga dan pertahan hidayah itu? Sedangkan kita mendapat hidayah sebagai penganut agama Islam semenjak kita lahir lagi kerana ibubapa kita seorang Islam. Cuba kita tengok penganut agama lain yang sanggup menyiksa diri demi untuk mendapat sebuah hidayah, sanggup mencucuk diri dengan pisau dan besi tajam atau mendaki ribuan anak tangga untuk sampai ke puncak. Amalan yang berpenat lelah dan berkorban segala tapi hampa segala kerana kesesatan yang nyata. Maka insaflah dan pertahankan hidayah Allah yng dikurniakan pada kita ini hatta dengan nyawa sekalipun. Hidayah ini sudah banyak tercalar, di sia2 dan dibakul sampahkan. Cukuplah, sudahlah. Tolonglah pertahan hidayah ini !!

Kita ini lapar, maka Allahlah yang telah memberi makanan kepada kita. Seorang ahli sufi meleleh airmata apabila melihat makanan. Contohnya apabila menatap beryani gam maka di renungkan betapa rempah2 ratus yang digunakan itu yang asalnya dari India sana, di tanam orang, di tuai hasil, di proses, di import ke sini. Lihat pula buah tomato yang di gunakan yang dulunya warna hijau, setelah masak menjadi merah, maka kemanakan hilangnya warna hijau tadi? Apabila di pandang dan di fikir, maka di situlah kehebatan Allah yang menjadikan semua ini. Tapi kita gagal melihat itu semua kerana kita ini kuali bukan wali, kita mau lena bukan maulana, dan kita muslimut bukan muslimat. Maka setiap kali melihat beryani gam maka meleleh airliur.

Aku dulu di lahirkan berbogel tiada pakaian. Aku asal dulu tiada pakaian tapi Allah telah muliakan aku dengan imej pakaian. Justru mohonlah dan bergantung haraplah pada Allah pada setiap keperluan kita ini. Jangan tergolong dalam kelompok manusia yang berpakaian tapi hakikatnya mereka berbogel. Jagalah aurat mengikut tuntutan syariaat.

Kita ini pembuat dosa samada kita sedar atau tidak. Allah maha pengampun dan akan mengampunkan segala dosa hamba-Nya, maka mohonlah keampunan dari Allah dan janganlah putus harap pada Allah walau segunung dosa yang sudah dilakukan. Kita selalu bersalah. Mohonlah ampun dari Allah. Betapa luasnya rahmat Allah.


Mudarat dan manafaat semuanya di tangan Allah. Allah SWT tidak sedikitpun cacat dengan derhaka kita pada-Nya. Semuanya tertegak dengan keadilan Allah. Allah utuskan malaikat Hafazah untuk menjaga dan melindungi kita. Seorang anak kecil terjatuh namun tiada mudarat kerana di sana malaikat Hafazah menyambutnya sebelum kepala anak itu mencecah lantai atau terlanggar sesuatu. Tapi janganlah lupa untuk berusaha sedaya mungkin sebagai sunatullah, jangan lupa diri untuk sentiasalah bergantung harap pada Allah. Allah maha adil. Mana saja yang Allah pilih, itulah yang baik. Allah haramkan arak, maka arak itulah yang tak baik.

Allah menguasai alam Fizik, alam Sains, dan segalanya. Allah tidak terikat pada setiap pilihan-Nya. Contohnya kata ustaz, jam saya ni pukul 4 tapi waktu sebenarnya pukul 5. Maka orang lain tak layak mengomen, kerana jam itu milik ustaz bukan milik orang lain. Apa yang Allah buat, akan ada tersirat hikmah dan hak itulah yang adil. Di negara Jepun dengan teknologi mereka yang begitu ke depan, maka telah diciptakan teknologi yang boleh menahan bangunan dari musnah akibat gerak gempa dengan membina lapisan fleksibel yang boleh menyerap gegaran turun naik. Namun Allah mendatangkan ujian gelombang kiri kanan yang berupa gerakan gelombang tsunami yang gagal di tangkis oleh teknologi canggih tadi. Maka musnahlah semusnah-musnahnya. Kehebatan manusia gagal mengatasi kekuasaan Allah. Sains hanya memberi jawapan bagaimana sesuatu itu berlaku, tapi mengapa ia berlaku hanya dapat di jawab oleh Agama, bukan Sains. Agama yang memandu Sains.

Kebergantungan pada Allah dengan doa dan taqwa, tidak mencacatkan secubit pun kerajaan Allah. Sekiranya kita ini taqwa pada Allah, dan kita tahu yang membezakan kita di sisi Allah ialah taqwa. Namun sehebat mana pun taqwa kita tadi, maka ia tidak menambah apa2 manafaat pada Allah. Hatta sekiranya sekelian jin dan manusia bertaqwa pada Allah, maka sedikit pun tidak dapat mengubah kerajaan Allah. Ibarat mencelup jarum ke dalam lautan dan air yang melekat di jarum untuk menunjukkan betapa kecilnya peranan para jin dan manusia yang bertaqwa itu di hadapan kehebatan kerajaan Allah. Hebatnya kerajaan Allah, apabila para malaikat yang punyai ribuan sayap malah di tambah lagi oleh Allah 'horse power' para malaikat dan terbang beribu tahun dalam misi mencari salah satu dari 4 tiang Arash Allah, namun masih gagal ditemui untuk menunjukkan betapa luasnya kerajaan Allah itu.

Begitu juga sejahat manapun kita kepada Allah, tidak akan menjejas atau mengurangkan sedikitpun keluasan kerajaan Allah SWT. Dengan derhaka kita pada Allah, namun tidak sedikit pun mencacatkan Allah SWT.

Segala permintaan kita samada yang nyata atau yang terbayang pada alam khayalan, sekiranya dimakbulkan Allah semuanya 100%, tidak menjejaskan kerajaan Allah. Contohnya kurniaan kereta Alphard 10 biji, kapalterbang boeing, atau rumah bungalow mewah dan duit berjuta. Oleh itu marilah kira merendah diri untuk mensyukuri segala nikmat ini walaupun di kurniakan hanya duit syiling bernilai 10 sen. Kekadang kita hanyut dengan godaan dunia materialisma. Kita hajati rumah besar, kereta mewah dan harta yang banyak. Namun dunia ini sebenarnya adalah medan ujian dan tempat beramal bagi kita kerana medan kenikmatan ialah di Akhirat yang kekal. Sebab itu kita lihat Nabi Zakaria kekasih Allah mati digergaji dan Saidaina Hussen cucu nabi mati di penggal kepala terpisah dari jasad. Berbeza dengan orang kafir yang mana segala kebaikan yang mereka buat akan ditunaikan di dunia dan Allah tidak simpan hingga ke Akhirat.

Akirnya marilah kita sama2 cermin diri. Ibarat kita ini dapat suntikan modal untuk berniaga dari TEKUN. Modal orang lain tapi keuntungan kita dapat. Dengan usaha dan amal kita berlandaskan syariat, maka tiba2 kita mendapat segala yang kita hajati. Di sana banyakkan bersyukur pada Allah. Tapi sebaliknya kesudahan yang celaka maka celalah diri sendiri kerana kitalah yang alpa memikul amanat Allah dan berlaku zalim pada diri sendiri. Jika kita peroleh nikmat Syurga maka pujilah Allah. Sebaliknya jika terhumban ke neraka maka kutuklah diri sendiri kerana gagal mendapat limpah rahmat Allah yang luas itu.

Ada 3 kategori umat manusia yang menanti untuk ke Syurga iaitu manusia yang dapat masuk Syurga tanpa hisab (kelompok VVIP Syurga). Yang kedua manusia yang melalui perhitungan hisab yang ringan (VIP Syurga). Dan akhirnya mereka yang beribadah pada Allah dan memenuhi segala syarat yang ditetapkan oleh syariat, yang berat pula timbangan amal kebaikannya. Namun penentunya, manusia hanya dapat memasuki Syurga dengan rahmat dan redha Allah jua. Berdoalah siang dan malam pada setiap detik memohon redha Allah yang boleh melayakkan kita untuk menikmati syurga Allah.

@@@

Posting bermanfaat yg berkaitan untuk tatapan..

related post..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...