SURAU FIKIR

Belajar Tanpa Berfikir Itu Sia-Sia
Dan Berfikir Tanpa Belajar Itu Bahaya !

Thursday, July 18, 2013

Ramadan Fasa Kedua


Rejab kemuncaknya di awal. Syaaban kemuncaknya di pertengahan. Ramadan kemuncaknya di hujung. Sama-sama kita muhasabah kualiti ibadah di bulan Ramadan kita setakat ini. Atur strategi mantap ke arah meningkatkan daya pecutan amal soleh bagi membina jajaran momentum kemenangan pada setiap denyut nadi kita menuju ke hujung Ramadan ini.  Hari ini adalah hari ke-10 Ramadan. Maknanya kita sudah melepasi 10 terawal Ramadan yang di sana di limpahi RAHMAT Allah. 

Kini kita melangkah ke fasa kedua iaitu 10 hari di pertengahan Ramadan yang di sana terdapat KEAMPUNAN daripada Allah di atas segala prilaku dosa kita yang lepas. Maka peluang yang terbentang di depan mata ini jangan di pandang sebelah mata. 

Kalau tiket final piala FA tempoh hari manusia sanggup beratur daripada selepas subuh lagi malah ada yang sanggup bermalam di perkarangan stadium untuk memaksimakan usaha bagi mendapat sekeping tiket untuk nikmat tengok bola, maka apatah lagi tawaran sekali seumur hidup pada tahun ini untuk mendapatkan KEAMPUNAN (grand pardon) pada segala dosa kita. Lebih-lebih lagi berebut-rebut hingga mungkin ada stampade. Layaknya begitu. 

Tapi manusia acap kali tidak nampak hakikat. Apa yang dia nampak hanya hiburan dunia yang pura-pura. Sebab itu sangat utama untuk manusia ada ilmu. Sebab itu syariaat Islam meletakkan hukum wajib pada menuntut ilmu agama. Agama adalah cara hidup. Maka jadilah orang yang beragama yang faham agama. Baru untung bukan sekadar di dunia tetapi lebih-lebih lagi untung di negeri Akhirat yang kekal abad nanti, bukan rentung di bakar api Neraka.

Jadilah orang cerdik yang berusaha gigih untuk mendamba Rahmat Allah di bulan mulia ini. Jadilah orang bijak yang faham agama yang menangis, merintih, muhasabah, menadah tangan, berdoa dengan penuh keihklasan penuh harap memohon redha Allah bagi sebuah keampunan atas dosa kesalahan, kesilapan, kezaliman, kecurangan, kebiadapan selama hari ini. 

Bayangkan betapa banyak dosa yang ada? Kalau anggap diri seorang yang baik, kalaulah hanya ada satu dosa setiap hari maka pada usia 40 tahun ini sudah berjaya mengumpulkan dana dosa sebanyak 14,600 dosa. Satu angka yang amat besar. Angka yang sangat melayakkan anda menjadi calon untuk memnenagi sebuah kondominuim di Neraka Allah. Nau'zubillah.

Kita melangkah ke Fasa kedua Ramadan yang menjanjikan keampunan Allah. Rebutlah peluang ini. Jangan jadi bebal dan bodoh lagi sebagaimana tahun2 lepas. 

Yang utama juga mohon harap agar Allah ketemukan dengan Lailatul Qadr malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Kejarlah Lailatul Qadr, bukan Lailatul Kamdar. Dirikan solat hajat khusus setiap malam untuk memohon belas ehsan dan kasih sayang Allah untuk kita menjadi salah seorang manusia yang terpilih mendapat Lailatul Qadr pada tahun ini di penghujung Ramadan nanti. 

@@@

Posting bermanfaat yg berkaitan untuk tatapan..

related post..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...