SURAU FIKIR

Belajar Tanpa Berfikir Itu Sia-Sia
Dan Berfikir Tanpa Belajar Itu Bahaya !

Thursday, January 04, 2007

Buletin Surau Pernec #5

*** ﻪﺗﺎﻛﺮﺑﻭﷲﺍﺔﻤﺣﺭﻭﻢﻜﻴﻠﻋﻭﻡﻼﺴﻟﺍ ***

Buletin Surau Pernec edisi kelima merupakan edisi penutup tahun 2006, menemui Warga Pernec yang di hormati sekelian dalam suasana sinar Syawal yang menyusuli ibadah puasa bulan Ramadhan dan Ibadah Haji yang sinonim dengan kedatangan bulan Zulhijjah.

Bagaimana? Berjayakah 30 hari menjalani kursus intensif Ramadhan tempoh hari menghasilkan perubahan pada diri? Apakah tawaran super-mega Ramadhan disambut dan bersambut. Berjaya atau kecundang lagi? Tidak semua berjaya dan ramai pula yang kecundang. Ramai yang tidak dapat diubah oleh puasa mereka. Puasa dan tidak puasa sama sahaja, bahkan kadang-kadang lebih teruk. Ramai yang berpuasa tetapi gagal menunaikan solat fardhu dengan baik. Bahkan ada yang langsung tidak mengendahkan dan menghormati Ramadhan. Adakah orang yang tewas layak meraikan hari kemenangan? Jika kita tergolong di kalangan mereka ini, maka pemergian Ramadhan dan kedatangan Syawal sewajarnya disambut dengan tangisan penyesalan, bukannya senyum tawa kegembiraan.

Namun ramai juga yang berwajah baru. Kerana Ramadhan telah menukarkan sikap dan tabiat lama kita yang tidak sejiwa dengan ajaran Islam. Semoga puasa kita tahun ini berjaya menjadikan kita orang yang menjaga solat, memenuhi masjid, menghadiri majlis ilmu, menjaga aurat, menunaikan tanggungjawab dan bersama-sama memperjuangkan agama Allah. Jangan pula Ramadhan baru melangkah kakinya, budaya kurang sihat atau kefasikan mula melanda. Ya Allah, peliharalah puasa dan amalan kami dari gugur seperti gugurnya daun kering di musim luruh.

Kita gembira sepanjang Syawal dengan alunan takbir yang bergema memenuhi pelusuk angkasa diiringi dengan ungkapan tauhid dan puji-pujian bersama budaya ziarah- menziarahi yang pastinya dapat mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan dan keharmonian. Kita gembira dengan hiburan yang murni, jauh dari sebarang unsur maksiat dan unsur yang melalaikan. Kita telah menyambut hari raya di sepanjang Syawal yang lalu sebagai meraikan hari kemenangan dan kita pohon keredhaan Allah. Majlis Raya Pernec pada 18 Nov berlangsung penuh meriah. Aneka juadah ada, dari kambing panggang hinggalah ke alunan lagu-lagu dari Nazri Raihan menyerikan ratusan warga Pernec dan para tetamu.
Kini kita berada di bulan Haji, bulan Zulhijjah di mana ada 26,000 jemaah dari Malaysia antara jutaan umat Islam yang telah terpilih menjadi tetamu Allah, dan sedang mengerjakan ibadah Haji di Tanah Suci. Buletin Surau Pernec kali ini akan banyak membicarakan topik Haji ini, agar jelas kepada kita apakah hikmah dan falsafahnya. Di samping itu kita dapat pula memahami syarat-syarat wajib haji, rukun dan wajib haji, jenis-jenis haji beserta larangan-larangan sepanjang kita melakukan ibadah haji ini. Haji merupakan perlakuan ibadah umat islam yang mempunyai banyak simbolik yang dikemukakan kepada manusia dalam bentuk penonjolan diri, demonstrasi atau pengisytiharan, bukan menuntut sesuatu yang bersifat kebendaaan atau keduniaan, tetapi demonstrasi untuk menyatakan tauhid dengan slogan dan laungan kalimah suci, Allahhu Akhbar, Allah Maha Besar, berulang-ulang kali dengan keyakinan dan ketaqwaan, pengakuan yang jelas dan tegas sekalipun golongan kufur atau musyrikin tidak menyenanginya.


Pada 10 Zulhijjah bersamaan dengan hari terakhir tahun 2006 iaitu 31 Disember, kita akan menyambut Hari Raya Aidil Adha yang menggamit pengurbanan yang ikhlas dari sanubari bagi menuntut keredhaan Allah, sebagai mana yang di ukirkan dalam sejarah Nabi Ibrahim dalam mengurbankan anaknya Nabi Ismail kerana mematuhi perintah Allah. Bagi kita yang mampu seeloknya meneruskan ibadah qurban samada lembu, kambing atau unta pada setiap tahun. Sesungguhnya kepuasan akan terpancar pada setiap pengurbanan yang hakiki dan terbaik pada kehidupan yang fana ini demi mencapai redha Illahi. Ruh pengurbanan itu mestilah dihayati dengan total sebagai sebuah ibadah yang di tuntut dan bukan hanya sekadar mengikut adat atau kebanggaan.

Kami dari AJK Surau Pernec sekelian mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada seluruh warga muslim Pernec dengan iringan doa semoga Allah menerima segala ibadah solat, puasa, qiam, haji, umrah, sedekah, zakat dan segala amal kebajikan yang sama-sama kita lakukan sepanjang tahun 2006 ini. Kita juga berdoa semoga digolongkan dalam golongan hambaNya yang mendapat pembebasan dari api neraka. Tidak lupa juga untuk sama-sama kita doakan agar Allah menganugerahkan kemenangan yang gemilang dan terbilang kepada Islam dan umatnya. Amin. Selamat menyambut Aidil Adha dan menempuh tahun 2007 dengan iltizam dan jatidiri padu hanya kerana Allah. @@@

IBADAH HAJI
Haji ialah perlakuan ibadah yang diakui syarak mengandungi niat dan perbuatan, khusus dilakukan di Mekah dalam beberapa bulan tertentu, bagi memenuhi perintah Allah dan mencari keredaanNya. Ia merupakan syariat agama yang utama yang di bawa oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Ibrahim a.s. Fardu Haji diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun kesembilan Hijrah (S.Sabiq 1:625). Pengsyariatannya diperkuatkan dengan dalil Al-Quran, Al Sunnah dan Al-Ijma', menjadikan salah satu rukun Islam yang lima, mengingkari kewajipan dan segaja menggalakkan boleh membawa kufur dan terkeluar dari Islam.

Syarat Wajib Haji

Dalil daripada Al-Quran di antaranya dalam surah Ali Imran, 3: 96& 97 yang bermaksud :
"Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadat) manusia ialah Baitullah yang di Bakkah(Mekah) yang diberkahi dan menjadi peruntuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata (diantaranya) Maqam Ibrahim; barang siapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia;mengerjakan haji adalah kewajipam manusia terhadap Allah; iaitu (bagi) orang yang sanggup (mampu) mengadakan perjalanan kepadanya. Barangsiapa yang kafir (engkar terhadap kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam (ini)".
Lihat juga Surah al-Hajj, 22:26&27.

Dalil al-Sunnah dijelaskan dalam satu hadis yang bermaksud:
"Islam itu dibina di atas kekuatan lima perkara, diantaranya ialah haji".
Selain al-Quran dan Al-Sunnah, kewajipannya juga disepakati oleh para ulama" dari dahulu hingga sekarang. Ibadah haji juga adalah sebahagian daripada sebaik-baik amalan seperti dijelaskan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang apakah dia sebaik-baik amalan, Baginda menjawab: “beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian jihad fisabilillah, seterusnya hajinya mabrur.”
Ibadah haji juga boleh menghapuskan dosa-dosa dan mengembalikannya bersih seperti ia masih kecil; ia juga merupakan jihad, perutusan Allah yang setiap doa dan istighfarnya diterima Allah, dan yang paling utama ialah balasan bagi orang yang mendapat haji mabrur ialah syurga (S.Sabiq, 1:627)


Haji bukan ibadah yang menjadikan seseorang itu merasa malu jika tidak menunaikannya. Ia juga bukan ibadah pelancongan untuk menunjukkan diri ke Baitullah, sebab dengan solatpun boleh mengarahkan diri mengadap ka'abah. Pada hakikatnya ibadah haji mempunyai hikmah dan falsafahnya yang tersendiri yang cukup dalam dan sangat bermakna dalam kehidupan umat Islam.

Ibadah Haji merupakan ibadah yang mengarahkan umat Islam kepada sesuatu matlamat iaitu keredaan Allah; ibadah yang menuntut keikhlasan dan pengorbanan se utuhnya, baik dari segi raga mahupun harta bendanya; ibadah yang menuntut kesatuan umat, bukan perpecahan, menyatukan diri dengan umat Islam di seluruh dunia; ibadah yang menuntut saling berinteraksi dalam usaha mendekatkan diri dalam kesatuan jama'ah muslimin yang teguh. Nikmat kesatuan tujuan, matlamat dan ukhuwah ini hanya boleh dirasai oleh mereka yang yakin dan ikhlas dalam mengerjakan ibadah haji, dan faham dengan jelas konsep peribadatan dalam Islam.

Umat Islam tidak hanya semata-mata digalakkan untuk mengejar kebahagian di akhirat dengan bertawakal tanpa usaha, tetapi ia juga wajib berusaha untuk mencari kebahgiaan di dunia yang menjamin kebahgiaan di akhirat. Oleh sebab itu, ibadah haji diwajibkan ke atas mereka yang mampu. Ibadah haji memberi makna orang Islam wajib berusaha mencari kebahgiaan dunia dan akhirat. Mereka yang ingin menyempurnakan agama dengan menunaikan haji maka ia wajib mencari harta bagi membiayai perjalanan ke tanah suci Mekah. Usaha yang paling minima ialah sehingga ia mempunyai lebihan wang setelah digunakan untuk keperluan diri, keluarga dan tanggungjawabnya dan juga setelah menunaikan zakat. Ini bermakna ibadah haji mendorong umat Islam berusaha lebih kuat bagi menjamin kebahgiaan hidup dan keselesaan beribadah dengan cara yang lebih sempurna.

Iman bukan semata pengakuan lidah tetapi juga disertai dengan amal. Ibadah haji merupakan ujian, perngorbanan dan keikhlasan seorang muslim dalam mengukur keimanannya. Setelah imannya teruji dengan baik dengan melakukan solat dan sawm, pengorbanan harta seperti berzakat dan bersedekah atau infaq fisabilillah maka datanglah ibadah haji yang mengandungi kedua-dua sifat pengorbanan, yang menuntut umat islam mengorbankan jiwa raga atau fizikal untuk berusaha mencari harta dan pengorbanan wang serta seluruh kepentingannya yang lain untuk menunaikan haji. Ujian meninggalkan segala yang berbentuk keduniaan merupakan sesuatu perkara yang menguji keikhlasan seseorang dalam mengerjakan ibadah haji. Hasil keikhlasannya itu akan dapat dinikmati di dunia dengan rasa puas apabila pemergiannya itu dapat merubah sikap dan amalannya ke suatu tahap yang lebih baik dan mantap dalam kehidupannya. Itulah yang disebut mendapat haji mabrur.

Pengisytiharan tauhid yang jelas dan laungan yang tegas dilakukan serentak menyebut nama Allah, "Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni'mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak", dilaungkan bukan kerana sesuatu kekurangan, tetapi penyataan sesuatu ibadah dalam bentuk demonstrasi menentang syirik, kezaliman dan kesesatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mentauhidkan Allah.

Sikap dan pendirian yang tegas dalam perkara 'ubudiah yang menjadi ajaran para anbia' sejak zaman-berzaman perlu diisytihar dengan jelas supaya sekali-kali jangan terlibat dengan syirik atau tanghut. Sebaliknya hendaklah mengabdikan diri semata-mata kerana Allah - diri, pemikiran, fizikal, harta benda dan nawaitunya hanya semata untuk Allah. Segala bentuk kesesatan, syirik atau penyembahan system yang menuju ke arah taghut wajib dijauhi.

Islam tidak menuntut sikap bertindak balas terhadap pihak yang memesongkan akidah, tetapi bersikap Islam, kebaikan dan keamanan. Bagaimanapun, jika mereka sering dan terus berusaha menyelewengkan manusia daripada mentauhidkan Allah maka diwujudkan suatu amalan ibadah dalam bentuk demonstrasi terang-terangan bagi melawan kerja-kerja mereka yang sesat sekalipun orang-orang musyrikin, golongan kuffar dan munafiqun tidak menyenanginya.

Syariat Islam telah menetapkan beberapa perkara yang dilarang ketika di dalam ihram. Perlanggaran terhadap larangan-larangan tersebut akan dikenakan denda yang disebut sebagai dam. Dam yang wajib dibayar itu adalah berdasarkan kepada kesalahan atau perlanggaran yang telah dibuat.
Larangan Dalam Ihram

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 - Maksudnya :
"Maka kerjkanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur".

Ibadah QURBAN
Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang diketegorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

HUKUM MELAKUKAN IBADAH QURBAN
• Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakhadah iaitu sunah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
• Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya.
• Hukum qurban ini menjadikan wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram.
• Daging qurban wajib tidak dibenarkan untuk dimakan oleh yang empunya qurban dan tanggungannya.



DENGKI DAN DENDAM
Dalam Al-Quran Allah berfirman yang artinya: "Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang di kurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (kerana) bagi seorang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah yang maha mengetahui segala sesuatu. (An-Nisa: 32).
Dendam dalam bahasa Arab di sebut hiqid, ialah "Mengandung permusuhan didalam batin dan menanti-nanti waktu yang terbaik untuk melepaskan dendamnya, menunggu kesempatan yang tepat untuk membalas sakit hati dengan mencelakakan orang yang di dendami". Berbahagialah orang yang berlapang dada, berjiwa besar dan pema 'af. Tidak ada sesuatu yang menyenangkan dan menyegarkan pandangan mata seseorang, kecuali hidup dengan hati yang bersih dan jiwa yang sehat, bebas dari rasa kebingungan dan bebas dari rasa dendam yang senantiasa menggoda manusia.

Seseorang yang hatinya bersih dan jiwanya sihat, ialah mereka yang apabila melihat sesuatu nikmat yang diperoleh orang lain, ia merasa senang dan merasakan kurnia itu ada pula pada dirinya. Dan apabila ia melihat musibah yang menimpa seseorang hamba Allah, ia merasakan sedihnya dan mengharapkan kepada Allah untuk meringankan penderitaan dan mengampuni dosanya. Demikianlah seorang muslim, hendaknya selalu hidup dengan hati yang bersih dan jiwa yang sehat, rela terhadap ketentuan Allah dan terhadap kehidupan. Jiwanya bebas dari perasaan dengki dan dendam. Kerana perasaan dengki dan dendam itu merupakan penyakit hati, yang dapat merembeskan iman keluar dari hati, sebagaimana merembesnya zat cair dari wadah yang bocor.

Islam sangat memperhatikan kebersihan hati kerana hati yang penuh dengan noda-noda kotoran itu, dapat merusak amal soleh, bahkan menghancurkannya. Sedang hati yang bersih, jernih dan bersinar itu dapat menyuburkan amal dan dorongan semangat untuk meningkatkan amal ibadah, dan Allah memberkahi dan memberikan segala kebaikan kepada orang yang hatinya bersih.

Oleh kerana itu, jamaah muslimin yang sebenarnya, hendaknya jamaah yang terdiri dari orang-orang yang bersih jiwanya dan sihat hatinya, yang terdiri di atas saling cinta mencintai, saling kasih mengasihi, sayang menyayangi, yang merata, di atas pergaulan yang baik dan kerjasama yang saling menguntungkan timbal balik, di dalamnya tidak ada seorang yang untung sendiri, bahkan golongan yang semacam ini, sebagaimana di gambarkan dalam Al-Qur'an yang artinya: "Yang orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshor), mereka berdoa 'Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau biarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang beriman, Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau maha penyantun lagi maha penyayang". (Al-Hasyr: 10).

Apabila rasa permusuhan telah tumbuh dengan suburnya, sampai berakar, dapat mengakibatkan hilangnya rasa kasih sayang dan hilangnya kasih sayang dapat mengakibatkan rusaknya perdamaian. Dan jika sudah sampai demikian, maka dapat menghilangkan keseimbangan yang pada mulanya menjurus kearah perbuatan dosa-dosa kecil, dan akhirnya dapat mengarah kepada dosa-dosa besar yang mengakibatkan turunnya kutukan Allah.

Perasaan iri hati kerana orang lain memperoleh nikmat kadangkala dapat menimbulkan khayalan yang bukan-bukan sampai membuat-buat kedustaan. Islam membenci perbuatan demikian dan memperingatkan jangan sampai terjerumus kedalamnya. Mencegah adanya ketegangan dan permusuhan, menurut Islam merupakan ibadah yang besar, sebagaimana sabda Nabi saw yang artinya: "Maukah aku beritahukan kepadamu perkara yang lebih utama dari puasa, shalat dan shadaqoh?, Jawab sahabat: "Tentu mau". Sabda Nabi saw: "yaitu mendamaikan di antara kamu, kerana rusaknya perdamaian di antara kamu adalah menjadi pencukur yakni perusak agama". (HR. Abu Daud dan Turmudzi).

Syaitan kadangkala tidak mampu menggoda orang-orang pandai untuk menyembah berhala, tetapi syaitan sering juga mampu menggoda dan menyesatkan manusia, melalui celah-celah pergaulan dengan cara merusak perdamaian diantara mereka itu sendiri, sehingga dengan hawa nafsunya yang tidak terkendalikan, mereka tersesat dan tidak mengetahui hak-hak Tuhannya, bagaikan menyembah berhala. Di sinilah syaitan mulai menyalakan api permusuhan di hati manusia dan jika api permusuhan itu telah menyala, ia senang melihat api itu membakar manusia dari zaman ke zaman, sehingga turut terbakarnya hubungan dan segi-segi keutamaan manusia.

Kita harus mengetahui bahwa manusia itu berbeza tabiat dan wataknya, berbeza kecerdasan akal dan daya tangkapnya. Kerana itu dalam pergaulan dan pertemuan di lapangan kehidupan, kadangkala mereka membuat kesempatan yang mengakibatkan perselisihan dan permusuhan. Maka Islam telah memberikan cara penanggulangan mensyari'atkan penepatan akhlak yang baik, yang membuat hati mereka luluh dan sarat berpegang kepada kasih sayang.

Islam melarang memutuskan hubungan dan berbantah-bantahan. Memang kita sering merasakan seolah-olah keburukan itu dilemparkan kepada kita, sehingga kita sering tidak mampu mengendalikan perasaan kita, yang apabila fikiran kita sempit, maka timbullah niat untuk memutuskan hubungan. Tetapi Allah tidak rela perbuatan yang demikian. Memutuskan hubungan sesama muslim dilarang, sebagaimana sabda nabi saw yang artinya: "Janganlah kamu putus hubungan, belakang membelakangi, benci membenci, hasut menghasut. Hendaknya kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara satu sama yang lain (yang muslim) dan tidaklah halal bagi (setiap) muslim mendiamkan saudaranya lebih dari tiga hari". (HR. Bukhori dan Muslim).

Dalam hadits ini dinyatakan batas tiga hari, kerana pada waktu tiga hari kemarahan sudah bisa reda, setelah itu wajib bagi seorang muslim, untuk menyambung kembali hubungan tali persaudaraannya dengan saudara-saudaranya sesama muslim, dan membiasakan perilaku yang utama ini. Kerana putusnya tali persaudaraan ini tak ubahnya seperti awan hitam atau mendung apabila telah di hembus angin, maka hilanglah mendungnya dan cuacapun menjadi bersih dan terang kembali.

Ringkasnya, hendaknya orang-orang yang mempunyai penyakit hati, seperti dengki dan dendam ini selalu ingat bahwa kekuasaan Allah mengatasi segala kekuasaan. Dan hendaklah ia ingat, bahwa harta benda dan kedudukan yang bersifat duniawi itu selamanya tidak kekal. Paling jauh dan lama, sepanjang hidupnya saja, bahkan mungkin sebelum itu.

Dalam Al-Quran Allah berfirman yang artinya: "Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang di kurniakan Allah kepada sebagian kamu lebih banyak dari sebagian yang lain. (kerana) bagi seorang laki-laki ada bagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah yang maha mengetahui segala sesuatu”. (An-Nisa: 32). ###


Waktu Solah – KL dan yang sewaktu dengannya
JAN Subuh Syuruk Zohor Asar Maghrib Isyak
1-5 5.57 7.19 1.20 4.41 7.15 8.30
6-10 6.00 7.22 1.22 4.45 7.17 8.33
11-15 6.02 7.25 1.24 4.47 7.22 8.35
16-20 6.04 7.27 1.28 4.49 7.24 8.37
21-25 6.06 7.27 1.29 4.50 7.25 8.38
26-31 6.09 7.28 1.30 4.50 7.27 8.39


Perokok Handalan

Mengikut Uztaz NurSalam Al-Hafiz dalam ceramahnya di Surau Muhajirin malam minggu yg lalu, antara manafaat merokok adalah:

1. Terhindar dari gigitan nyamuk – kerana asap rokok dapat menjadi anasir pencegah nyamuk sama seperti fungsi ubat nyamuk.

2. Dapat mencegah kejadian pecah rumah – ini kerana perokok selalunya berdehem atau terbatuk hampir sepanjang malam jadi para pemecah rumah atau pun pencuri selalunya akan mengambil langkah berhati-hati kerana sangkaan yang tuan-rumah masih dalam mod sedar dan belum lena tidur.

3. Menghindari sakit tua – ini boleh di lihat dari sudut positif atau negetif kerana kebiasaannya para perokok professional selalunya menemui ajal secara mengejut akibat masalah pernafasan atau pelbagai penyakit kronik yang lain.


Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya:
"Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadis riwayat Tirmidzi)


Tahun Baru Azam Baru
Ilmu dan Amal Kena Bersatu
Suci Hati Mulia Tingkah Laku
Pasang Niat Melangkah Maju
Kita Pacu Tegak Menuju
Keredhaan ALLAH Yang Satu


Allah S.W.T.telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 maksudnya :
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".


Pengertian Ilmu Tasawwuf
Ilmu tasauf ialah ilmu yang menyuluh perjalanan seseorang mukmin di dalam membersihkan hati dengan sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat yang mulia dan menghindari atau menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah iaitu yang keji dan tercela .
Ilmu tasawwuf bertujuan mendidik nafsu dan akal supaya sentiasa berada di dalam landasan dan peraturan hukum syariat Islam yang sebenar sehingga mencapai taraf nafsu mutmainnah .
Syarat-syarat untuk mencapai taraf nafsu mutmainah:
• Banyak bersabar
• Banyak menderita (yang di alami oleh jiwa)
Imam Al-Ghazali r.a. telah menggariskan sepuluh sifat Mahmudah / terpuji di dalam kitab Arbain Fi Usuluddin iaitu :
1. Taubat .
2. Khauf ( Takut )
3. Zuhud
4. Sabar.
5. Syukur.
6. Ikhlas.
7. Tawakkal.
8. Mahabbah ( Kasih Sayang )
9. Redha.
10. Zikrul Maut ( Mengingati Mati )

Dan Imam Al-Ghazali juga telah menggariskan sepuluh sifat Mazmumah / tercela / sifat keji di dalam kitab tersebut iaitu :
1. Banyak Makan
2. Banyak bercakap.
3. Marah.
4. Hasad.
5. Bakhil.
6. Cintakan kemegahan.
7. Cintakan dunia .
8. Bangga Diri.
9. Ujub ( Hairan Diri ).
10. Riya' ( Menunjuk-nunjuk ).


Majlis Hari Raya Pernec 2006
Majlis anjuran AJK Surau Pernec berlangsung pada 18 November 2006 dengan kaunter-kaunter khas disediakan termasuklah Kaunter kuih-muih/lemang/ketupat, Kaunter aiskrim, Kaunter ayam bakar, Kaunter kambing panggang, Kaunter mee/kue teaw, Kaunter Duit Raya & Pendaftaran, Kaunter Teh Tarik. Manakala jamuan nasi minyak dan lauk-pauk di meja-meja hidangan. Khemah-khemah kanopi di sediakan untuk menempatkan meja-meja VIP, meja tetamu, meja staff dan pentas utama yang dihias indah dengan lampu-lampu beraneka warna. Lebih kurang 800 pengunjung telah menyerikan majlis bersama ahli keluarga masing-masing. Majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Hj Hisham Hamzah pada pukul 8:15 malam. Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim, anak-anak pekerja yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR/PMR/SPM, penerima dana pelajaran Pernec, dan bakal-bakal haji. Penyampaian disempurnakan oleh YBhg Datuk Zainun Aishah Ahmad merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah dan Hj Shaharom Md Shariff, Pengarah Urusan Pernec. Hadirin juga di hiburkan dengan lagu-lagu nasyid oleh Saudara Nazeri bekas vokalis kumpulan Raihan. Majlis bersurai pada sekitar pukul 11:30 malam dengan penuh kepuasan dan kenangan. Semoga berjumpa lagi pada majlis yang serupa pada tahun hadapan. @@@

Posting bermanfaat yg berkaitan untuk tatapan..

related post..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...