SURAU FIKIR

Belajar Tanpa Berfikir Itu Sia-Sia
Dan Berfikir Tanpa Belajar Itu Bahaya !

Thursday, December 18, 2008

Buletin Surau No 14

*** ﻪﺗﺎﻛﺮﺑﻭﷲﺍﺔﻤﺣﺭﻭﻢﻜﻴﻠﻋﻭﻡﻼﺴﻟﺍ ***

Selamat menatap Buletin Surau Pernec edisi ke-14 yang merupakan keluaran ke 5 dan edisi terakhir untuk tahun masihi 2008 ini.

Alhamdulillah kita masih lagi diberi peluang oleh Allah SWT di penghujung tahun hijrah 1429 bersamaan dengan tahun masihi 2008 ini untuk terus menghirup oksigen memenuhi rongga jantung kita bagi meneruskan kehidupan yang fana ini. Bersamaan hembusan CO2 menyumbang kepada putaran eko sistem sejagat dimuka dunia ini, kita dikejutkan dengan beberapa kejadian tanah runtuh bermula di Ulu Yam tempoh hari, disusuli dengan kejadian di Damansara dan minggu lepas di Bukit Antarabangsa. Ini tidak lain bahkan sebagai peringatan oleh Allah SWT akan kebesaran-Nya dan halusnya kita sebagai hamba-Nya. Untuk kita muhasabah diri, dan menilai kembali perjalanan hidup kita selama ini dalam menjadi pemegang amanah-Nya untuk mentadbir dunia ini sebagai khalifah-Nya.

Sudahkah kita menunaikan tanggung-jawab dan amanah itu mengikut sunattullah atau sekadar di pinggiran atau dengan tiada keikhlasan. Apakah nafsu dan harta-benda menjadi raja di mata? Sama-samalah kita tepuk dada dan menjawabnya dengan betul. Apabila segala amaran dan peringatan Allah telah kita abaikan dan kemaksiatan berleluasa, amanah dipecahkan, iman goyang dan jatidiri hilang maka lambat laun kemusnahan akan dijelmakan jua. Semoga pada tahun baru ini, kita akan lebih bersedia untuk mengubah hala tuju kehidupan kepada yang yang lebih baik, jalan yang lurus menuju redha-Nya. Dan bak kata ZZ ianya bermula dari diri kita dulu. Setiap kita ada amanah untuk menjadi insan kamil, insyaAllah.

Doa dan pengharapan kita semoga tahun 2008 yang akan berlalu beberapa hari lagi ini dengan segalan kegiatan dan urusan kerja kita, keluarga dan masyarakat berjaya pula menagih kasihan belas Allah SWT untuk kita mendamba rahmat-Nya. Semoga dengan rahmat Allah SWT itu diberikan pula keampunan-Nya di atas segala dosa dan noda yang telah kita lakukan selama ini. Berkat ibadah penuh tawadduk, solat-solat fardu dan solat-solat sunat, qiyamullail, sedekah, tadarus, zikrullah, puasa, zakat, urusan kerja, sosial dan khidmat masyarakat itu melayakkan kita mendapat rahmat dan keampunan Allah Yang Maha Esa. Dibebaskan kita semua dari azab Neraka-Nya. Harapan menggunung kita agar dapatlah apa kiranya kita ini tergolong ke dalam kelompok hamba-hamba-Nya yang berpeluang menikmati Syurga-Nya.

Kedatangan tahun 2009 ini ingin kita sambut dengan penuh kemeriahan dan kesyukuran kerana berpuas hati dengan tahap amalan dan ibadah kita. Kita mesti sedar bahawa tahun ini akan penuh dengan cabaran. Keruntuhan sistem ekonomi global yang rata-rata berpaksikan riba yang diharamkan dalam Islam itu, sudah tentu akan mempengaruhi sentimen ekonomi negara. Namun insyaAllah kita yakin berkat usaha yang ikhlas, transformasi yang jelas, dan perancangan bisnes yang komprehensif akan dapat menyediakan kita semua untuk menghadapi tahun baru ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Jangan lakukan perbuatan jahat dan jangan balas perbuatan jahat dengan perbuatan jahat yang lain”, boleh kita jadikan pedoman dan amalan untuk kehidupan yang lebih baik. @@@


Semasa Umar r.a menjadi khalifah, beliau telah mengeluarkan satu perisytiharan kepada seluruh pegawai2 yang di bawah pemerintahannya, berbunyi:-
” Kupandang solat sebagai kewajipan yang paling penting. Seseorang yang memberi penuh perhatian pada solatnya mungkin menjaga juga lain2 perintah dalam agama Islam, tetapi jika dia meninggalkan solat dengan mudah dia akan meninggalkan ajaran2 Islam yang lain.”


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Syaitan takut pada seorang Muslim selagi dia menjaga solatnya tetapi dengan sekelip mata jika Muslim itu mengabaikannya, syaitan pun datang kepadanya serta menyesatkannya, selepas itu dia dengan mudah diperdaya supaya melakukan dosa2 besar lagi berat.

Seorang kawan yang mendampingi kita diwaktu kesusahan adalah lebih baik dari seribu kawan yang mendampingi kita di waktu kebahagiaan.


Penilaian terhadap persoalan hati Ustaz Zainuddin Hashim

Fenomena tangisan di kalangan manusia hari ini mempunyai maksud yang tersendiri, ini kerana ada yang menangis sebab ditinggalkan orang yang amat dikasihi, sama ada seorang kekasih, ibu, bapa, anak-anak, jiran, sanak saudara terdekat dan seumpamanya.

Terdapat juga yang menangis kerana terlalu gembira sebab bertemu semula dengan orang yang terpisah sejak sekian lama, ada juga di kalangan mereka yang terlalu mudah untuk mengalirkan air mata apabila menonton sebuah cerita yang berkonsepkan kesedihan dengan pelbagai karenah dan watak dalam filem tertentu.

Apapun amat sukar hari ini untuk mendapatkan jenis manusia yang menangis kerana takutkan Allah sebab ia amat terbatas, ini kerana jiwa serta hati mereka tidak terikat melalui hubungan dengan Allah selaku Pencipta, atau dengan kata lain hati mereka tidak melalui proses tarbiyyah seperti yang dialami oleh generasi silam.

Hati manusia hari ini tidak selembut mereka yang terdahulu daripada kita, malah tidak berusaha untuk mencari jalan bagaimana hati tersebut dapat dilunak dan dijinakkan melalui hubungan dengan Allah SWT.

Pendek kata, faktor yang menyebabkan manusia hari ini tidak mementingkan persoalan pensucian hati dan jiwa adalah disebabkan mereka tidak menggarap ilmu agama dengan sepatutnya, mereka membiarkan hati tersebut kosong dan akhirnya terjebak dalam kancah yang amat dikutuk oleh Allah SWT.

Justeru, baginda Rasulullah s.a.w ada memberi wasiat kepada Saidina Ali Bin Abi Talib yang membawa maksud : Wahai Ali, jika sekiranya berlalu 40 hari di kalangan orang-orang Islam dan mereka tidak duduk (secara langsung) dengan para alim ulama (menadah kitab, maka mereka akan ditimpakan oleh Allah dengan dua implikasi, pertama hati mereka menjadi keras dan kedua mereka berani pula (terjebak) melakukan dosa-dosa besar.

Jelas daripada wasiat baginda s.a.w di atas menunjukkan kepada kita, bahawa apabila seseorang muslim itu yang tidak bersedia untuk duduk bersama alim ulama untuk belajar daripada mereka, maka dia akan ditimpakan dua perkara, hati keras yang tidak memungkinkan dia mendapat petunjuk daripada Allah malah berani pula melakukan dosa-dosa besar seperti meninggalkan solat, membunuh, meragut, memfitnah Islam, membenci ulama, menderhaka kepada kedua ibu bapa, melanggar perintah Allah, menghina hukum-hukum Islam, meletupkan mangsa yang dibunuh dan banyak lagi yang dianggapa sebagai jenayah di sisi Allah SWT.

Sehubungan itu, Allah menjelaskan, menerusi ayat 109 surah al-Isra yang bermaksud: Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangil dan mereka bertambah khusyu.

Itulah sikap dan nilai orang-orang yang beriman sungguh-sungguh kepada Allah SWT, di mana mereka tidak akan mudah mengalirkan air mata melainkan apabila melihat Islam ditekan, diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh tangan-tangan pengkhianat agama, negara dan bangsa.

Keadaan ini amat berbeza sekali dengan orang Islam hari ini yang tidak peka atau prihatin dengan perkembangan semasa yang melibatkan undang-undang Islam yang masih tidak terlaksana dan mereka tidak sedih apatah lagi mengeluarkan air mata kerananya.

Mereka juga tidak berusaha merebut peluang untuk dimasukkan dalam salah satu daripada tujuh kategori manusia yang mendapat naungan Allah pada hari kiamat, seperti yang ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam sebuah riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

Tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari Kiamat (di padang Mahsyar), di mana tidak ada naungan melainkan naungan Allah:- Pemerintah yang adil, seseorang yang hatinya terpaut kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah dan berpisah kerana Allah, remaja yang membentuk dirinya untuk beribadat kepada Allah, seorang lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang rupawan, hartawan dan mempunyai kedudukan, lalu dia berkata, sesungguhnya aku takut kepada Allah (atau sebaliknya), seorang yang mendermakan dengan tangan kanannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui (kerana ikhlas) dan seseorang itu yang mengingati Allah (dengan mengenangkan segala dosa yang dibuat) hingga mengalirkan air mata (kerana takut kepada Allah - Hadis Sohih.

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang itu tidak akan masuk neraka disebabkan dia menangis kerana takut kepada Allah. Hadis riwayat at-Tirmizi.

Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w banyak memberi motivasi kepada umatnya dengan kata-kata hikmat (hadisnya) yang mampu mengalirkan air mata bagi golongan yang memiliki hati yang sejahtera daripada amalan syirik, nifaq dan menyanggah hukum Allah SWT, tetapi bagi mereka yang keras hatinya daripada amalan Islam, atau kosong daripada penghayatan agama, walau dibacakan ayat al-Quran kepada mereka, tetap tidak akan berganjak dan terus berada dalam kesesatan.

Allah SWT menegaskan dalam ayat 23 surah az-Zumar (39) maksudnya: Maka apakah orang-orang yang dibuka Allah hatinya untuk menerima Islam lalu dia mendapat cahaya daripada Tuhannya sama dengan orang keras hati? Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya dari mengingati Allah, sesungguhnya mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata.

Para ulama telah menggariskan beberapa pendekatan bagi memperolehi jalan untuk memastikan agar air mata yang mengalir itu adalah disebabkan takut kepada Allah SWT:-

1- Bergaul dengan para solihin di kalangan orang-orang alim yang sering mengingatkan diri kepada Allah, serta merasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan agama-Nya yang semakin hari semakin tercemar dengan tindakan orang-orang Islam sendiri.

2- Memerhati alam sekeliling ciptaan Allah bagi membangkitkan diri daripada alpa kepada istiqamah dengan Islam dengan merasakan Allah Maha Agung dalam penciptaan-Nya.

3- Sentiasa melakukan muhasabah diri terhadap segenap kesalahan yang pernah dilakukan, ia tidak dapat dikesan melainkan duduk bersama dengan golongan ahli ilmu.

4- Mencari atau menyediakan persekitaran yang baik adalah salah satu kaedah untuk mampu menangis kerana takut kepada Allah.

5- Mencari contoh teladan yang baik lagi solih bagi mencerminkan diri kepadanya.

Jika semua perkara di atas dapat dilakukan, nescaya seseorang muslim itu berjaya menemui noktah penting bagi menjamin dirinya untuk terus menangis kerana takut kepada Allah SWT. @@@

ALLAH MAHA PENGAMPUN

ANAS BIN MALIK MELAPORKAN, BELIAU SENDIRI PERNAH MENDENGAR NABI MUHAMMAD SAW BERKATA, “ALLAH BERKATA, ‘WAHAI MANUSIA, SELAGI KAMU BERDOA DAN BERHARAP KEPADAKU, SELAGI ITU AKU AMPUNKAN DOSA-DOSAMU DAN AKU TIDAK PEDULI BETAPA BANYAK DOSA ITU. WAHAI MANUSIA, SEKALIPUN BANYAKNYA DOSA-DOSAMU ITU SAMPAI MENCECAH AWAN, APABILA KAMU MEMINTA AMPUN, AKU AKAN AMPUNKAN. WAHAI MANUSIA, APABILA KAMU DATANG DENGAN DOSA-DOSA YANG MENUTUPI SELURUH MUKA BUMI BANYAKNYA, TETAPI APABILA KAMU DATANG KEPADAKU DENGAN TIDAK MENYEKUTUKAN AKU WALAU SEDIKIT PUN, AKU BERIKAN KEPADAMU KEAMPUNAN SEPENUH MUKA BUMI.”


SUJUD YANG TERAKHIR Hisham AR

Solat adalah ibadah induk dalam Islam, tiang agama, dan amalan yang pertama2 akan di hisab di Akhirat besok. Tanpa solat segala amalan lain seolah2nya tiada nilaian lagi di sisi Allah. Pada tazkirah mingguan saya di PA syarikat hari ini, sekali lagi saya mengingatkan pada manusia yang lalai dalam solat atau yang lagi teruk insan2 yang sudah meninggalkan solat tanpa rasa bersalah sedikit pun seolah2 ianya tidak apa2, kerana hidup yang tetap mewah dan selesa, pangkat yang tinggi dan sanjungan di sana sini, agar segera insaf dan tidak alpa mendirikan solat lagi.

Walaupun persoalan solat ini sudah kita dengari semenjak kecil lagi, namun majoriti umat yang mengaku Islam masih lagi tidak solat. Atau jika solat pun masih lalai dan tidak dapat kenikmatan atau kebaikannya. Maka di mana silapnya? Ingatlah hanya ada 3 golongan manusia dalam dunia yang fana ini. Mukmin iaitu manusia Islam dan beriman dengannya. Munafik iaitu manusia yang mengaku Islam namun tiada iman, meninggalkan apa yang di suruh, atau sekadar menunjuk2 dalam beribadah tanpa ikhlas. Dan yang ketiga, Kafir iaitu manusia bukan Islam. Maka diringkaskan cerita, muhasabah diri dan letakkan diri kita pada kelompok yang mana. Yang jelas manusia yang mengaku Islam namun tidak mendirikan solat atau lalai dalam solatnya maka yang paling layak baginya adalah kelompok Munafik, Nau’zubillah.


Dalam Bab 20 kitab Khusyuk Dalam Solat karya TGNA yang saya rujuk untuk tazkirah pagi itu mengajak kita merasai keajaiban sujud terakhir dalam kita mencari sebuah solat yang khusyuk. Setiap kali ruku’ dan sujud, sentiasalah membaharui ingatan kepada Allah SWT. Setiap kali mengangkat kedua-dua tangan dan bertakbir bagi perpindahan rukun kepada ruku’ dan juga sujud itu bagaikan seorang yang menyerah diri, minta belas kasihan serta perlindungan dari seksa. Manakala tunduk meletakkan dahi ketika sujud pula hendaklah merasakan bahawa kita sedang merendah atau menghina diri kepada satu zat Allah Yang Maha Agung, dan apabila kita merasa kehebatan Allah Yang Maha Agung maka ketika itu kita juga perlu merasai bahawa diri ini Amat kecil dan terlalu kerdil di depan Allah SWT.

Perasaan itu hendaklah sentiasa tumbuh dan disuburkan di dalam hati ketika ruku' dan sujud agar ia menyedari betapa hebat, perkasa, mulia dan agungnya Tuhan yang disembah itu. Sekaligus merasai betapa hinanya diri, apatah lagi bila mengenang asal manusia adalah dari setitik air yang hina. Apabila ia telah memasukkan kalimat Tuhan di dalam hatinya ketika solat itu, maka dengan sendirinya akan terbitlah rasa khusyuk dan elok perlaksanaan solatnya. Dengan rasa demikian yang sentiasa subur di dalam hati, maka tumbuhlah rasa taat kepada segala peraturan-Nya. Dengan sendirinya akan lenyap ciri2 sifat engkar dalam diri kerana kita sedar betapa kecilnya kita di depan kekuasaan Allah SWT.

Rupa bentuk ruku’ di dalam solat pada zahir perbuatan menunjukkan betapa seseorang itu sedang surrender atau menyerah, malah seperti minta dikasihani. Oleh kerana solat fardhu dalam satu hari satu malam itu mengandungi 17 rakaat, maka bererti 17 kali jugalah ia ruku’ atau tunduk menyerah diri kepada Zat Allah Yang Maha Perkasa itu. Jika sebanyak itu manusia tunduk menyerah kepada Tuhan, maka manusia mana lagi yang mampu untuk membantah atau engkar kepada Tuhan.


Sujud bererti seseorang itu telah meletakkan wajahnya di tempat yang paling rendah di muka bumi.
Ini bermakna ia telah meletakkan seluruh dirinya di atas tanah. Dengan sujud juga bererti dia telah mengingatkan dirinya terhadap punca asal kejadian manusia itu dari tanah dan mengembalikan dirinya kepada tanah. Apabila ia telah sanggup menghantar dahinya dan juga dirinya ke tempat yang hina, maka tidak mungkin ia akan bersikap sombong lagi terhadap Allah SWT yang menciptakan dirinya dan tanah itu.

Sesungguhnya asal kejadian manusia itu seperti yang dijelaskan di dalam al-Qur’an adalah dijadikan dari tanah, maka setiap kali seseorang itu sujud maka ia bertujuan mengasuh hatinya bahawa ia kelak akan dikembalikan kepada tanah iaitu menemui kematian seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT. Dengan demikian bererti sujud itu juga mengasuh hati manusia bukan saja supaya mengingat akan akan asal kejadiannya, tetapi ia juga akan dikembalikan ke tanah iaitu menemui ajal kematian. Maka setiap kali sujud sewajarnya seseorang itu sentiasa ia mengingati akan mati, apabila ia mengingat akan mati maka terasalah olehnya bahawa seolah-olah solatnya itu sebagai solat yang penghabisan. Setiap kali ia sujud seolah-olah ia tidak akan bangun lagi.


Sedangkan kematian itu adalah pintu bagi seseorang memasuki gerbang akhirat. Dalam keadaan demikian maka hati akan merasa gerun dan merasa kebesaran Allah SWT, dan ketika itulah ia membaharui lagi di dalam hatinya untuk mensucikan Zat Allah Yang Maha Tinggi, di samping lidah mengucapkan perkataan Subhana Rabbi al-A’la wa-Bihamdih.


Justru itu saya sekali lagi ingin menyeru kawan2 sekelian supaya mendirikan solat. Dalam platfom dakwah yang pelbagai, maka saya gunakan platfom tazkirah di PA syarikat saya, buletin surau, media e-mail, dan posting dalam blog sebagai medan dakwah saya. Sesungguhnya dakwah itu adalah sebuah proses yang berterusan. Masing2 punyai sumbangan tersendiri, insyaAllah. Semoga di penghujung ada hidayah Allah untuk menggerakkan hati2 kita semua kepada penghayatan dan pengertian tanggung-jawab sebenar seorang Hamba kepada Tuhan nya. Semoga kita tergolong di kalangan Mukmin yang mendapat redha-Nya. @@@


Telah berkata Hujjatul-Islam, Iman Ghazali rahimullah "Jika anda ingin memilih sahabat, hendaklah anda periksa 5 perkara berikut:

  1. Akal fikiran
  2. Baik budiperkerti
  3. Lurus perjalanan
  4. Tidak terlampau menggantungkan diri kepada dunia semata-mata
  5. Tidak bercakap dusta

Setelah menjadikan seseorang sebagai sahabat atau teman dan sesudah terjalin persahabatan dan ramah-mesra, maka ketika itu ada pula beberapa hak dan kewajipan yang seharusnya kita laksanakan, di antaranya:

  1. Hendaklah mengharapkan sesuatu yang baik baginya sebagaimana kita mengharapkan bagi diri sendiri.
  2. Membenci sesuatu yang tidak baik baginya sebagaimana kita membencinya bagi diri sendiri.
  3. Hendaklah mengambil berat tentang urusannya, mengingat kebaikannya serta gembira ketika ia gembira dan bermuram ketika ia merasa sedih.
  4. Hendaklah berusaha untuk menimbulkan kegembiraan di dalam hatinya.
  5. Hendaklah memelihara namanya di waktu ia masih hidup mahupun sudah meninggal dunia.
  6. Hendaklah membantu keluarganya walaupun sesudah ia meninggal dunia.
  7. Hendaklah membantunya ketika ia dalam keperluan/kesulitan".

Bercakap mengenai teman atau kawan ni.. alhamdulillah ramai sudah bilangan kawan yang bertamu di hati saya sehingga ke hari ini. Selari dengan perjalanan hidup dalam melalui berbagai peringkat usia, kawan datang dan bertukar silih berganti. Namun sehingga kini, syukurlah kerana masih ada bilangan kawan yang tetap menjadi sahabat biarpun masa beredar dan suasana bertukar.

Sahabat yang baik itu dapat kita kenal bila sudah lama kita bersahabat dengannya, bila sudah melalui bermacam perkara atau pengalaman bersama-sama yang dari situ kita dengan sendirinya boleh menilai apakah seorang sahabat kita itu merupakan intan atau kaca.

Hidup kita ibarat roda yang berputar, ada masa kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Semasa kita di atas kita biasanya tidak kisah dan tidak begitu memandang berat siapa sahabat sejati kerana kita punya banyak kemampuan untuk tidak merasa perlunya bergantung kepada seseorang sahabat.

Namun bila kita berada di bawah, tiada kelebihan dalam urusan agama maupun urusan dunia untuk dimuliakan, agak kesempitan dalam harta duniawi maka dengan sendirinya akan terasa kerenggangan persahabatan dengan orang yang kita anggap kawan di masa kesenangan kita dulu.

Itu lah adat dunia dan itulah hakikat manusia. Semuanya bermula dari hati di mana hati itu ialah penghulu segala anggota. Padanya tersimpan semua asas akidah, akhlak dan budipekerti, niat yang baik dan niat yang tidak baik. Tiada kebahagiaan di dunia mahupun akhirat selagi hati itu belum dibersihkan dari sifat-sifat buruk yang tercela untuk kita segera menyerikannya pula dengan sifat-sifat yang terpuji.

Saya seringkali teringat akan firman Allah iaitu: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling banyak taqwanya kepada Allah" (Al-Hujarat:13)

Moga Allah swt menggolongkan kita sekelian ke dalam kumpulan orang-orang yang lurus dan bersih hatinya lahir dan batin. InsyaAllah.

www.pkasih.blogspot.com




Permohonan Dari Seorang Suami

norazmanad@yahoo.com


Meon bin Malau
69, Jalan Daun Mengkudu,
Simpang Empat,
24300, Pokok Sena
Kedah.

Puan Tijah binti Saad
69, Jalan Daun Mengkudu,
Simpang Empat
24300, Pokok Sena
Kedah. 1 December 2008

Puan yang dihormati,

PERKARA: PERMOHONAN UNTUK BERPOLIGAMI

Perkara di atas adalah di rujuk.

2. Sebab utama permohonan ini di lakukan adalah kerana saya ingin melengkapkan kuota yang telah di peruntukkan bagi saya. Buat masa ini kuota yang telah di isi cuma satu, memandangkan masih ada 3 kekosongan, eloklah jika dapat di penuhi secepat mungkin. Pihak yang akan mengisi satu kekosongan ini buat masa ini ialah Cik Fasha Sandha binti Hj Ismail Awang yang merupakan setiausaha saya di pejabat. Memandangkan komitmen yang beliau tunjukkan di pejabat amat baik, eloklah jika kita masukkan dia bersama kita di dalam organisasi keluarga kita. Kekosongan yang selebihnya akan di isi di masa akan datang.

3. Untuk makluman pihak puan, yang sebenarnya masalah ini telah lama saya fikirkan tetapi memandangkan pada masa itu masalah kewangan dan faktor-faktor lain yang tidak dielakkan, terpaksalah saya tangguhkan dulu permohonan ini di samping kurangnye rasa keyakinan diri pada waktu itu untuk mengemukakan permohonan ini. Kini, setelah syarikat saya mendapat sedikit keuntungan dan juga mendapat hasil dari pengeluaran duit pelaburan ASB saya, saya merasakan kembalinya semangat atau keyakinan saya yang telah hilang selama ini.

4. Permohonan ini amat setimpal kerana dengan kedudukan sekarang ia menguntungkan kedua belah pihak dan juga pihak ketiga. Selama ini hidup kita bahagia sebab jika tidak, manakan mungkin puan dapat menjadi seperti sekarang. Semua yang puan miliki sudah bertambah besaq. kereta besaq, rumah besaq, rantai emas besaq, gelang emas besaq, tv plasma besaq dan puan sedia maklum jika melihat diri sendiri di kaca cermin di bilik ayaq. Oleh itu, sudilah kiranya dapat kita kongsi bersama dengan insan lain diatas kebahagiaan kita ini.

5. Dalam masa yang puan juga akan dapat menikmati faedah dari kelulusan permohonan ini kerana puan akan tetap menikmati apa yang telah puan miliki sekarang dengan waktu bekerja lebih singkat dan sistem syif akan di perkenalkan iaitu 1 hari kerja dan 1 hari cuti rehat. Waktu bekerja yang selebihnya akan ditampung oleh pihak ketiga. Kebaikan yang puan akan nikmati ialah waktu rehat yang cukup bebas kerana dalam waktu puan bercuti, saya selaku Penyelia tidak akan memantau segala aktiviti-aktiviti yang puan lakukan. Pada waktu itu saya cuma akan fokus kepada hasil kerja pihak ketiga. Menguntungkan bukan?

6. Segala kerjasama dari pihak puan saya dahulukan dengan ribuan terima kasih. Saya amat berharap pihak puan dapat segera meluluskan permohonan saya ini di bulan hijrah yang penuh berkat ini dan bersama-samalah kita berhijrah mengubah minda kita supaya lebih terbuka dalam isu-isu seperti ini supaya ia dapat menjadi satu contoh ikutan atau tauladan kepada insan-insan lain supaya lebih berani dalam menyahut cabaran yang penuh dugaan ini. Ingatlah adat kita orang melayu haruslah di jaga dengan baik dan penuh sopan bak kata pepatah Melayu dulu: Gadis Acheh berhati gundah, Menanti teruna menghulur tepak, Gula manis sirih menyembah, Adat dijunjung dipinggir tidak. Semoga permohonan saya ini di balas dengan senyuman dan tandatangan atau cap jari kanan dengan penuh keikhlasan dari pihak puan dan bukannya balingan periuk nasi, pinggan-mangkuk, ketukan senduk dan perkara-perkara yang menyukarkan pihak puan untuk melakukannya.

7. Janganlah ada rasa berat dihati diatas permohonan ini dan hadirkanlah senyumanmu sebagaimana ketika kita menyambut orang baru iaitu bayi kita kedalam keluarga kita 10 tahun lepas. Situasinya lebih kurang sama dengan masa kini. Kita akan menerima orang baru juga cuma bezanya ialah jika 10 tahun yang lepas kita perlu menjaga dan membelainya dengan manja bersama-sama tidak kira malam atau siang pendek kta Berat sama Dipikul, Ringan sama Dijinjing, tetapi bezanya kali ini setiap urusan terperinci tentang penjagaan dan belaian manja itu akan di tanggung dan dilaksanakan oleh saya sepenuhnya.

8. Akhir kata, saya harap permohonan saya ini dapat dibalas secepat mungkin. Semoga kita bersama-bersama dengan pihak ketiga akan dapat melaksanakan program ini dengan jayanya dan saya ingin sudahi surat permohonan ini dengan rangkap pantun: Walau bunga banyak di taman, Bunga mawar masih kupuja, Walau sudah mendapat teman, Rupa wajahmu tidak ku lupa.

Sekian, Terima Kasih.

"BERKORBAN DAN BERKONGSI KEBAHAGIAAN LAMBANG RUMAHTANGGA BAHAGIA"

Yang Ikhlas Memohon,

Meon bin Malau

HAKIKAT PERKAHWAINAN

Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat itu atau ini. Hakikatnya, apabila kita benar² mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah. Kita selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya orang itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tengah² bandar raya. Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar² membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya.Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat di samping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing² padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata? Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa² belum bersedia untuk bersabar dgn kerenah anak², carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik. Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar² mengerti tuntutan2nya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus² bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui rahsia²nya. @@@


MENCARI BAROKAH www.saufulislam.com

"Hasrizal, malam ini kamu gorengkan ayam boleh tak?", Fatih bertanya. "Goreng cara Turki, atau cara Malaysia?", saya bertanya dengan nada gurau. "Kalau cara Turki, baik saya sendiri sahaja yang melakukannya. Saya ini tidaklah sejahil yang kamu semua sangkakan.", Fatih cuba mempertahankan kelemahan dirinya yang tidak mahir di dapur. Faruk dan Hasan turut ketawa.

Setiap kali saya berkunjung ke Istanbul, Fatih mesti akan meminta saya menggorengkan ayam ala Malaysia. Sebenarnya, ayam goreng ala Malaysia yang dia maksudkan itu hanyalah ayam yang digoreng dengan serbuk kunyit serta secubit garam. Kalau orang Turki, ayamnya tidak digoreng begitu. Mereka lazim menggoreng ikan dan ayam dengan tepung gandum bercampur tepung beras dan sedikit serbuk lada putih.

Syukur Alhamdulillah, persahabatan saya dengan Fatih dan rakan-rakan yang lain memberikan peluang kepada kami untuk belajar banyak perkara baru. Seperkara tentang orang Turki yang menarik perhatian saya adalah sikap mereka yang cermat terhadap perkara-perkara yang kecil dan halus. Kadang-kadang pada kita, hal seperti ini tidak mempunyai sebarang signifikasi, tetapi bagi orang Turki, mereka cukup mengambil berat mengenainya.

TERTIB ORANG ISTANBUL

Saya masih ingat, semasa yang bertandang ke rumah Mahmud Bilici, rakan baik saya semenjak di Jordan. Beliau merupakan pelajar Turki yang disegani oleh rakan-rakan Turki yang lain di Amman. Mungkin sifat rendah diri, keluasan ilmu dan kefasihan Bahasa Arab yang dituturkannya, menjadikan beliau begitu karismatik seawal hari pertama saya bertemu dengan Mahmud.

Saya bertandang ke rumah Mahmud yang terletak di Draman. Ia tidak jauh dari Masjid Ismail Aga Camii yang menjadi markaz Tarikat Naqsyabandiyyah di Istanbul. Malam itu sebelum kami melelapkan mata, saya meminta segelas air masak untuk membasahkan tekak. Mahmud mengambil cawan yang tersimpan di rak pinggan, membasuhnya terlebih dahulu sebelum diisi dengan air yang diminta.

Saya kagum dengan ketelitian Mahmud. Kalau saya, mungkin cawan yang sudah sedia bersih itu akan terus diisi dengan air masak. Tetapi Mahmud membilasnya dengan air terlebih dahulu sebelum diisi dengan air masak. Orang Turki memang pembersih. Saya juga selalu melihat tong sampah di lokasi pembuangan sampah di Istanbul diberus dan dibersihkan oleh pekerja Istanbul Buyuksehir Belediyesi (Dewan Kota Metropolitan Istanbul) dengan berus dan air. Wah, tong sampah pun mesti bersih dan kemas!

Kebersihan rumah kawan-kawan Turki juga sentiasa mengagumkan saya. Walaupun ada di kalangan mereka yang merokok, rumah bujang perokok mereka juga masih bersih. Buku-buku tersusun rapi, pakaian elok terletak, malah bilik mandi dan tandas juga tidak pernah bercampur. Kebanyakan rumah di Istanbul, mempunyai sekurang-kurangnya dua bilik air. Maka satu digunakan untuk mandi manda dan satu lagi dikhususkan untuk buang air. Bilik mandi pula lazimnya berkarpet dan saya belajar untuk mandi dan berwudhu' tanpa membasahkan karpet itu. Hmm, agaknya kalau ada orang Turki yang bergaduh laki bini, tidur dalam bilik air pun masih okay lagi.

Saya kira, kebersihan yang terbit dari iman, memang benar-benar dapat dirasakan di Turki. Kalau di masjid, berhati-hati. Anda mungkin akan diminta keluar oleh 'orang masjid' sekiranya anda masuk ke masjid dengan stokin yang 'tidak molek'. Apabila anda keluar dari pintu masjid, junjung kedua-dua pasang kasut anda ke atas kerana orang Turki tidak mahu kasut yang dijinjing menyentuh pakaian orang lain.

Tidak lupa, di sesetengah masjid, seperti yang pernah saya lihat di Bursa, akan dikhususkan masa sekitar jam 10 pagi untuk kaum ibu sahaja. Mereka datang ke masjid untuk mengelap dinding, anjung tingkap, tiang dan perabot masjid, agar sentiasa bersih dan kemas. Saya belajar bagaimana tuntutan iman menjadi corak hidup, semasa saya di Turki. Malah soal teliti mereka dengan perkara-perkara yang sering dipandang ringan oleh sesetengah kita, mempunyai akar umbi yang panjang di era Islam Othmaniyyah.

TERTIB DI ERA OTHMANIYYAH

Sultan Suleyman al-Qanuni yang memerintah Khilafah Othmaniyyah dari tahun 1520 – 1566 telah memberikan contoh yang sama. Semasa beliau mengeluarkan belanja sendiri membina Masjid Suleymaniye di Istanbul, Sultan Suleyman telah mewajibkan semua pekerjanya bekerja membina masjid itu dalam keadaan berwudhu'. Tentunya ia tidak ada dalam 'rukun membina masjid'. Tetapi ada sesuatu yang ingin dicapai oleh baginda. Sultan Suleyman akan memecat sesiapa yang diketahuinya tidak mematuhi syarat tersebut. Apakah yang terhasil daripada ketelitian Sultan Suleyman terhadap perkara-perkara kecil begitu? Jawapannya adalah BARAKAH.

Masjid Suleymaniye pernah ditutup di zaman Atatürk dan dijadikan kandang kuda. Ia pernah dicemar hingga ke tahap itu. Tetapi hari ini, apabila saya bersolat di Suleymaniye Camii, saya mendapat suatu 'rasa' yang sukar diungkapkan dengan kata. Tenang, tenteram, rasa mahu dan mahu menambah ibadah, pelbagai perasaan yang positif itu mungkin datang dari sebuah masjid yang ada barakah. Masjid yang dibina dengan mengambil kira soal remeh-temeh yang hari ini tidak kita pedulikan.

MEHMET VS MUHAMMAD

Soal orang Turki yang teliti dengan perkara-perkara yang halus ini, mengingatkan juga saya kepada perbualan bersama Pakcik Mehmet, ayah Fatih, semasa kami bercuti di Bolvadin. "Pakcik, saya ingin bertanya sesuatu tentang nama pakcik. Bolehkah?", saya bertanya kepada Pakcik Mehmet, ayah Fatih. "Tentu sahaja, nak. Tanyalah. Kenapa pula dengan nama pakcik?", ayah Fatih sedikit terkejut dengan permintaan saya.

"Saya terfikir, orang Turki ramai yang bernama Mehmet seperti pakcik. Saya kira Mehmet itu bermaksud Muhammad, kan?", saya bertanya. "Betul. Mehmet bermaksud Muhammad. Kenapa, Hasrizal?", tanya Pakcik Mehmet kepada saya. "Jika nabi kita, nama baginda disebut Muhammed. Hazreti Peygamber Muhammed. Mengapa nama Rasulullah disebut Muhammad sedangkan nama pakcik disebut Mehmet?", saya cuba mencari penjelasan dari pakcik.

"Oh, itu rupanya soalan kamu. Setahu pakciklah, nama Muhammad itu kami khususkan hanya pada baginda Rasulullah SAW. Bukan apa. Kalau kami namakan anak-anak kami sebagai Muhammad, nanti kalau mereka buat hal, tercemar pula nama Rasulullah", kata Pakcik Mehmet. "Tercemar macam mana tu?", saya kurang faham apa yang Pakcik Mehmet maksudkan.

"Bayangkan, kalau si Fatih ni pakcik namakan Muhammad. Tiba-tiba dia mencuri buah epal jiran sebelah. Nanti apa kata orang kampung? Isy, jahat sungguh Muhammad tu. Curi epal jiran! Hah, kan tak elok, perbuatan mencuri dinisbahkan kepada nama semulia Muhammad!", Pakcik Mehmet begitu bersemangat bercerita kepada saya. Terlopong saya dibuatnya!

Begitu sekali mereka mengambil kira soal 'sekecil ini'. Maka amat tidak benarlah apa yang pernah ditulis oleh seorang penulis di dalam akhbar di tanah air. Sekembalinya beliau dari lawatan di Turki, beliau menulis dan menyentuh secara khusus isu nama Mehmet ini. Katanya, orang Turki sudah terlalu sekular sehingga hendak menyebut nama Rasulullah pun sudah tidak mampu. Sudah pelat, katanya. Walhal pemikiran penulis itu yang pelat! Menafsirkan budaya orang lain dengan pandangan sendiri. Mujur artikelnya di dalam Bahasa Malaysia. Kalau dibaca oleh orang Turki, tentu tersinggung hati mereka dengan persepsi kita seperti itu.

PELAJARAN DARI SERBUK KULIT ROTI

Ayam sudah siap terhidang. Lama pula saya mengelamun. Pelbagai perkara yang mengimbau ingatan saya sambil memasak di dapur. Kebetulan Fatih, dan rakan-rakan yang lain sedang sibuk menelaah pelajaran untuk peperiksaan akhir semester. Saya sudah selesai menjalani peperiksaan yang sama di Jordan dua minggu lalu. Kehadiran saya ke Turki sekurang-kurangnya dapat membantu kawan-kawan saya ini belajar dengan lebih baik. Biar soal makan minum, saya bantu seadanya.

"Fatih, Islam, Hasan, Faruk, Osman, marilah makan!", saya menjerit memanggil mereka yang khusyuk di meja membaca masing-masing. Setiap kali makan, kami akan membentangkan dua keping surat khabar lama. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan sisa makanan tidak jatuh ke karpet. Akan tetapi, malam itu perhatian saya terpaut kepada tindak-tanduk rakan saya ketika makan, terutamanya Islam. Setiap kali beliau mematahkan roti, beliau akan melakukannya di atas mangkuk nasi. Seandainya masih ada serbuk-serbuk dari kulit roti itu bertaburan di atas lapik, Islam akan mengumpulkannya untuk dimakan. Tidak ada langsung sisa makan yang terbuang.

"Islam, saya suka tengok cara awak makan. Tidak ada yang tersisa langsung. Berkat, berkat…!", saya memuji Islam. "Betul Hasrizal. Ia soal keberkatan. Walaupun macam-macam yang kita makan,kita tidak tahu pada bahagian mana makanan kita yang Allah pilih sebagai asbab untuk-Nya menurunkan barakah", kata Islam.

Ya, apa yang Islam katakan itu memang benar. Ia mengingatkan saya kepada sepotong hadith Nabi SAW: Dari Jabir, beliau mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Apabila sesiapa dari kalangan kamu makan, dan jatuh sejemput dari tangan, maka bersihkanlah habuk yang terlekat pada makanan itu dan hendaklah dia memakannya. Jangan tinggalkan bahagian itu untuk syaitan. Dan janganlah dibersihkan tanganmu dengan kain pengelap sehingga dia telah menjilat (jari-jari) nya. Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu pada bahagian manakah makanannya yang diberkati Allah.”

Islam telah mengingatkan saya kepada pelajaran yang amat berharga. Pakcik Mehmet juga telah mengingatkan saya tentang ilmu yang berguna. Jangan pandang kecil, selagi ia berupa satu kebajikan dan kebaikan. Penilainya adalah Tuhan, Allah yang menilai amal pada harga sebuah iman. Jangan tangguhkan kebaikan yang kecil semata-mata mahu menunggu peluang amal yang besar. Itu di Turki.

TERTIB MAK ANJANG DI LONDON

Hal ini juga mengingatkan saya kepada peristiwa semasa saya berjamu makan di rumah Pak Anjang saya di Baker Street, London. Pagi itu, kebetulan Pak Ngah sekeluarga datang dari Malaysia. Maka kami semua berkumpul di rumah Pak Anjang. Rumah di Baker Street ini Pak Anjang belikan untuk anaknya, Ziad yang belajar di Westminster University, di seberang jalan.

Saya amat kagum semasa melihat Mak Anjang memasak di dapur. Lebihan nasi malam tadi dikumpulkannya. Kemudian kerak nasi itu pula direndam di dalam air panas dan kemudian ditos. Semua bahagian nasi yang berlebihan malam tadi, Mak Anjang gunakan untuk memasak nasi gorengnya. Tidak ada bahagian makanan mana yang tersisa. Mungkin ini sebahagian daripada sikap Mak Anjang sekeluarga yang menjadi tangga mereka membina kehidupan yang berjaya. Walaupun sudah bertaraf jutawan, Mak Anjang dan Pak Anjang sekeluarga masih mengambil kira soal-soal kecil seperti kerak nasi di dapur.

Saya amat menghargai pelajaran itu. Marilah kita bersama-sama menghitung dan mengambil kira benda-benda kecil yang kita abaikan selama ini. Mungkin pada yang kecil halus itulah Allah menyentuh kehidupan kita dengan barakah. Sebagaimana kebaikan yang kecil mungkin menjadi punca keberkatan Allah, maka berhati-hati jugalah dengan dosa-dosa yang kita anggap kecil. Ia menjadi punca murka Allah. Dalam setahun, mungkin seorang dua sahaja warga negara kita yang mati dibaham harimau. Namun, jumlah yang mati kerana gigitan seekor nyamuk, jauh berganda. Yang kecil jangan dipandang remeh, yang besar yang disangka segala-galanya.

Mari luruskan saf, mari kemaskan saf, mari habiskan makanan, mari pelihara adab dalam iman. Murahkan senyuman, banyakkanlah membuat kebaikan yang mudah dan kecil tapi berpanjangan.Mengubah ranting dari jalan agar jangan ada yang kesakitan, memandang wajah saudara dengan air muka manis penuh senyuman. Banyak-banyakkan berbuat kebaikan, tidak diketahui yang mana bakal dipilih Tuhan, jadi pemboleh ke syurga yang berkekalan. Jangan pandang kecil pada RM1 yang mahu didermakan kepada mustadh'afeen di Palestin! Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. @@@

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU - 1430 HIJRAH & 2009 MASIHI


Wednesday, August 27, 2008

Ramadhan Berkunjung Lagi

Alhamdulillah pada hari Isnin ini kita akan mula berpuasa Ramadhan. Jadikan lah Ramadhan tahun ini sebagai yg terakhir buat kita dan lakukan dengan terbaik. Ramadan tahun depan tidak tentu lagi kita ketemui.

Wahai orang2 yang beriman! telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga2 kamu bertaqwa. (Al-Baqarah: 183)

Di dalam bulan Ramadhan juga, Allah SWT telah menurunkan Al-Qur'an, dan dipilih di antara malam2nya suatu malam Lailatul-Qadr, yg mana ia adalah lebih utama dari 1000 bulan (kira2 83 tahun).

Sabda Rasulullah SAW: Mulanya (bulan Ramadhan) rahmat, tengahnya pengampunan, dan akhirnya merdeka dari api neraka.

Justru itu marilah kita sama2 memperbanyakkan kebajikan di bulan Ramadhan ini. Ganjaran Allah pada bulan ini adalah digandakan di samping pahala yang banyak dan kemudahan terdorongnya seseorang untuk melakukan yg baik. Alangkan ruginya kita jika masih bermalas2 dan mensia-siakan peluang yg hebat ini.

Posting bermanfaat yg berkaitan untuk tatapan..

related post..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...