SURAU FIKIR

Belajar Tanpa Berfikir Itu Sia-Sia
Dan Berfikir Tanpa Belajar Itu Bahaya !

Monday, November 24, 2014

Fahaman Sesat Liberalisme dan Pluralisme


Liberalisme ialah falsafah yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik tertinggi.Seseorang yang menerima fahaman liberalisme dipanggil seorang liberal. Walau bagaimanapun, maksud perkataan liberal mungkin berubah mengikut konteks sesebuah negara.

Liberalisme menekankan hak-hak peribadi serta kesamarataan peluang. Dalam fahaman liberalisme, pelbagai aliran dengan nama "liberal" mungkin mempunyai dasar dan pandangan yang berlainan, tetapi secara umumnya aliran-aliran ini bersetuju dengan prinsip-prinsip berikut termasuk kebebasan berfikir dan kebebasan bersuara, batasan kepada kuasa kerajaan, kedaulatan undang-undang, hak individu ke atas harta persendirian, pasaran bebas dan ketelusan sistem pemerintahan. Mereka yang liberal menyokong sistem kerajaan demokrasi liberal dengan pengundian yang adil dan terbuka, di mana semua rakyat mempunyai hak-hak yang sama rata di bawah undang-undang

Pluralisme adalah suatu ideologi atau fahaman yang mengisbatkan kepelbagaian hakikat, yang semuanya dianggap setara, sama benar, sama sah. Prinsip ini menganjurkan agar pandangan semua pihak, bangsa atau puak, semuanya mesti diterima sebagai setaraf, tiada yang lebih benar atau kurang benar, kalau kita hendak hidup aman. Agama dianggap hanya mendatangkan konflik serta pertentangan yang berterusan, dan sampai bila-bilapun tidak akan selesai. Jalan penyelesaian yang mudah adalah dengan menerima sahaja semua pandangan sebagai sama benar atau sama sah bagi memuaskan hati semua pihak.

Pluralisme agama’ merupakan fahaman yang menyamaratakan semua agama. Fahaman ini turut didukung oleh sekelompok umat Islam yang dikenali sebagai penganut ‘Islam Liberal’. Aliran  atau  manhaj Islam Liberal menekankan ciri keterbukaan dan kebebasan dengan mengutamakan akal logik dalam mentafsir ajaran Islam. Aliran ini berusaha untuk keluar daripada kaedah pentafsiran ilmu tradisi serta apa yang sedia ada dalam syariat Islam yang asli dan tulen.

Mereka mempertikaikan ilmu-ilmu turath (warisan Islam) sehingga melibatkan al-Quran dan al-Hadis. Penganut Islam Liberal menyatakan al-Quran yang ada sekarang bukan wahyu Tuhan ynag asli tetapi ia adalahciptaan Nabi Muhammad. Bagi mereka hadis-hadis adalah saling bertentangan sehingga tidak dapat dipastikan kebenarannya. Kenyataan mereka itu persis seperti tuduhan orientalis Barat.

Dalam mentafsir dan menilai semula hukum hakam agama, mereka mengguna pakai tafsiran ulama-ulama yang telah ditolak oleh jumhur ulama muktabar yang menggunakan disiplin ilmu yang benar. Islam dianggap sama dengan agama-agama lain adalah terbuka untuk dikritik dan ditinjau kembali.

Pluralisme agama mendakwa semua agama adalah bersifat relatif. Justeru, tidak ada satu agama pun yang berhak mendakwa agamanya adalah benar dan mutlak. Mereka menganggap semua agama mempunyai tujuan yang satu iaitu membawa manusia kepada keselamatan di akhirat.  Ia amat bercanggah dengan apa yang disebut al-Quran bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan diterima di sisi Allah SWT.

Pendokong fahaman liberalisme dan pluralisme adalah golongan berfikiran sekular, yang percaya bahawa kehidupan yang lebih baik akan tercapai apabila manusia dibebaskan daripada kongkongan agama. Bagi mereka satu-satunya jalan ke arah kemajuan ialah dengan membebaskan diri daripada kongkongan agama. Lama kelamaan agama itu akhirnya ditolak sama sekali daripada kehidupan. Seseorang yang liberal ialah yang berpandangan bahawa agama itu hanya menyebabkan manusia itu berfikiran tertutup, jadi jumud, satu arah sahaja. Agama kepada tanggapan golongan Liberal, adalah musuh kepada kebebasan dan kemodenan.

Jika pendokong dan pejuang pluralisme dan liberalisme beranggapan agama sebagai pengongkong kebebasan, orang Islam melihat agama Islam sebagai pembebas jiwa dan raga mereka. Membuka fikiran dan membebaskan penganutnya daripada kepercayaan tahyul dan karut-marut, kejahilan dan cara hidup purbakala yang menindas manusia.Yang kita perlu lakukan ialah membebaskan manusia daripada kejahilan dan kekeliruan yang membelenggu pemikiran dan amalan hidup kita.

Dalam amalan sekarang akhlak itu sudah menjadi hak peribadi semata-mata sedangkan menurut ajaran Islam, tidak ada apa yang boleh dipisahkan daripada agama. Segala-galanya, hidup dan mati kita, seluruh kehidupan kita dipandukan oleh panduan wahyu, panduan agama, panduan Al Quran dan panduan sunnah Nabi. 

Kemelut yang berpunca daripada kekeliruan pemikiran ini hanya boleh ditangani dengan berkesan melalui kaedah pendidikan yang betul dan terancang. Pendidikan yang berasaskan kepada akidah dan fardhu ain. Ilmu fardhu ain perlu diajar dengan betul dan mencukupi bagi menangani persoalan pemikiran semasa supaya orang Islam tidak mudah hilang makna diri.

Ilmu fardhu ain adalah suatu yang bersifat dinamik dan ia bukan hanya layak diajar untuk budak sekolah rendah. Sebaliknya ia perlu diteruskan dan diperkukuhkan sehingga ke peringkat universiti kerana pada peringkat itulah idea-idea asing tentang kebebasan, hak asasi manusia, pluralisme, kepelbagaian budaya, sejarah dan falsafah diajar dan diterapkan tanpa tapisan dan kritikan yang tepat.

Maka cintailah majlis2 ilmu agar kita tidak kekal jahil dan mudah terperangkap dengan fahaman yang sesat ini. Sesungguhnya tuntutan menuntut ilmu Agama ini adalah wajib bagi setiap individu muslim hingga ke akhir hayat. Bagi orang awam platform terbaik ialah dengan duduk di majlis2 ilmu yang diadakan saban malam di surau2 dan masjid2 di seluruh negara diantara waktu maghrib dan isyak. Tepuk dada tanya iman.

@@@

Thursday, November 20, 2014

Jemputan Ke Ceramah Perdana November 2014

Ancaman Liberalisma Galak Menular
Persis Susupan Ular Ke Segenap Celah Belukar

Posting bermanfaat yg berkaitan untuk tatapan..

related post..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...