SURAU FIKIR

Belajar Tanpa Berfikir Itu Sia-Sia
Dan Berfikir Tanpa Belajar Itu Bahaya !

Thursday, April 19, 2007

Dia Betul Kita Salah

Saloma seorang surirumah yg suka bawak kereta laju. Cita-citanya dulu pelumba F-1. Jadi bila time hantar & ambik anak sekolah apa lagi dia pecut gile. Tak kira jln sempit kawasan perumahan atau jln besar. Keselamatan org lain dia tak ambik kisah. Muka nya lak tak pernah senyum. Semangat kejiranan tidak dihirau. Dia hidup dengan dunia tersendiri dlm gua. Baginya tiada apa yg tak betul. Aku cara aku engkau cara engkau. Engkau slow aku laju. Jadi perangai Saloma ni orang kampung dah tau. Tapi masing-masing merungut gitu je la. Tak ada yang berani menegur. Jadi kalau nampak kereta dia memecut depa masing-masing bagi laluan.

Si Farah dah banyak kali terkejut beruk di press minyak dek Saloma. Dah banyak kali pulak lah Si Farah menyumpah si Saloma ni. Nyaris berlaku kemalangan dibuatnya. Maklumlah lady driver ni kurang sikit skil nya, lainlah pelumba F-1 macam Saloma tu. Jadi nak jadi cerita, satu petang tu masa Farah hantar anak ke sekolah, Saloma dengan selamba menghimpit keretanya dan press minyak macam nak rak. Terkejut beruk Farah dan anaknya. Sambil beristighfar banyak-banyak. Terhoyong hayang Farah cuba meredakan keadaan. Sakit hati Allah saja yang tau. Anak Farah terkedu tak dapat berkata-kata hinggalah sampai ke sekolah.

Selepas menghantar anaknya Farah menyusuri jalan dan ternampak kereta Saloma kat tepi kedai. Terus Farah menguit tangan memanggil Saloma. Apa lagi marah di dada sudah tak dapat di lawan. "Kalau ada sepuluh orang menyumpah cara engkau memandu macamana?" Tersentak Saloma, terus di balas "engkau ni dengki sangat apasal?" Dan berbalas-balas lah mereka dengan kata-kata yang tak sopan seperti "engkau gile" dan di sambut dengan "Alhamdulillah" oleh si Farah. Akhirnya Farah menengking "Saloma, engkau memang bangang" sebelum berlalu pergi dengan nafas yang tercungap-cungap dan dada yang berdebar-debar. Kerana situasi begitu belum pernah di lalui sebelum ini. Sesampai di rumah, Farah terus mengambil wudhuk untuk solat sunat bagi menenangkan fikiran.

Namun kalau di kaji, apakah Saloma insaf dengan teguran yang di buat dan akan berubah menjadi pemandu yang lebih berhemah? Rasanya tidak sama sekali. Mungkin dia tersentak sekejap kerana ada orang berani mengherdik beliau. Tapi itu mengakibatkan rasa kebencian dan permusuhan terhadap si Farah. Bagi Saloma, aku betul engkau salah. Engkau dengki dan sebagainya. Bagi Farah, rasa kemarahan telah meletup hingga dia nekad untuk bersemuka dengan Saloma. Itulah secebis kisah dalam masyarakat di sebuah bukit. Semoga kita mendapat pengajaran akan realiti kehidupan. Wassalam.

Buletin Surau Pernec No.7

*** ﻪﺗﺎﻛﺮﺑﻭﷲﺍﺔﻤﺣﺭﻭﻢﻜﻴﻠﻋﻭﻡﻼﺴﻟﺍ ***

Bertemu kita di Buletin Surau Pernec edisi ketujuh. Di doakan semoga warga Pernec sekelian berada dalam keadaan yang terbaik. Banyakkan bersyukur di atas segala nikmat yang Allah kurniakan yang tidak terhitung banyaknya. Dan janganlah mengeluh. Cuba bandingkan diri kita dengan saudara seagama kita di Iraq, Palestin, Afghanistan, Kashmir, Sudan, Acheh, Mindanao, Patanni, Songkla dan Yala. Alangkah beruntungnya kita dapat pulang ke pangkuan keluarga tercinta saban hari setelah habis waktu pejabat di Pernec. Dapat menghirup udara segar dan tidak risau mati di tembak ditengah hiruk pikuk kota. Alhamdulillah negara kita masih aman dan makmur. Sedangkan saudara seagama kita di sesetengah negara lain begitu merindukan kedamaian.

Saya menonton filem ‘Blood Diamond’ beberapa minggu yang lalu yang berdasarkan kisah benar. Betapa kumpulan pejuang gerilla lengkap bersenjata mesin-gun di sebuah negara Afrika masuk ke kampung-kampung dan sesuka hati menembak seluruh penduduk tidak kira wanita atau kanak-kanak dalam misi mereka menghapuskan penentang mereka untuk menjadi pemerintah. Kerana berebut hasil bumi iaitu berlian. Dalam salah satu dialog diselitkan kata-kata betapa Tuhan telah lama meninggalkan mereka. Yang nyata mereka telah kembali ke zaman jahiliyah dengan berbunuhan sesama sendiri. Di situ dapat dirasakan betapa celaru dan siksanya kehidupan dan betapa berharga dan bernilainya erti sebuah kedamaian.

Pada 12 Rabiul Awal bersamaan dengan 31 Mac 2007, umat Islam menyambut Maulidur Rasul iaitu hari mengingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. yang ke 1468 (mengikut tahun Hijrah). Menjadi tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam untuk menghayati sirah rasulullah dan perjuangan baginda dalam menyebarkan agama Allah di muka bumi ini. Kalau kita lihat secara makro maka gambaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah itu secara ringkasnya terbahagi kepada tiga iaitu Aqidah, Syariah, dan Akhlak. Aqidah itu adalah persoalan Iman kepada Allah, MalaikatNya, Wahyu dalam Kitab-kitabNya, Pesuruh-pesuruhNya, Hari Akhirat, dan Qadha dan Qadar. Syariah pula mengenai Ibadah dan Muamalah. Manakala Akhlak terbahagi kepada akhlaq terhadap al Khaliq dan akhlaq terhadap makhluk. Betapa besarnya perjuangan Rasulullah yang cintakan kedamaian terhadap manusia sejagat yang tidak ternilai harganya. Justru marilah kita sama-sama berselawat kepada Rasulullah pada setiap detik terluang dalam kehidupan kita ini InsyaAllah.

Edisi kali ini juga menyentuh topik perbankan Islam yang dipetik dari laman web Ustaz Zaharuddin iaitu penceramah jemputan kita dalam sesi ceramah perdana pada 14 Febuari yang lalu. Semoga ia sedikit sebanyak dapat memberi gambaran sebenar realiti perbankan Islam yang semakin mendapat tempat di arus perdana sistem kewangan bukan saja di negara kita bahkan di dunia Islam seluruhnya.

Kita juga memaparkan artikel menarik berhubung dengan topik perkahwinan. Ramai lagi warga Pernec yang masih bujang. Justru masih banyak ruang-ruang yang boleh diterokai dalam membina institusi berkeluarga melalui perkahwinan. Sesungguhnya sesebuah perkahwinan yang bahagia itu merupakan entiti penting dalam pembentukan sebuah masyarakat yang makmur dan sejahtera. Yang belum kahwin tu jangan tunggu lama-lama ya nanti di kebas orang. Target kawin hujung tahun ni, amacam? @@@

SAIDINA ABU BAKAR RADHIALLAHU ANHU BERKATA:
Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu:
· Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau;
· hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau;
· hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau;
· adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna

SAIDINA UMAR AL-KHATTAB RADHIALLAHU ANHU BERKATA:
· Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya
· Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina
· Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya
· Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga

SAIDINA UTHMAN BIN AFFAN RADHIALLAHU ANHU BERKATA:
Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:
· Hatinya selalu berniat suci
· Lidahnya selalu basah dengan zikrullah
· Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa)
· Segala perkara dihadapaiya dengan sabar dan tabah
· Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.

SAIDINA ALI KARRAMALLAHU WAJHAH BERKATA:
· Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'
· Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia
· Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya
· Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara'
· Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi
· Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki
· Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan
· Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya, siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya, siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara', sedang orang yang tidak wara' itu bererti hatinya mati.

MAULIDUR RASUL
Dengan Dalil Dalil Yang Nyata

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam keatas saiyidina Muhammad, Keluarga dan Sahabatnya sekelian.

Kami kemukakan dalil-dalil bagi masaalah Maulidurrasul didalam risalah ini, supaya dapat memberi penjelasan yang terang bagi sekelian kaum muslimin daripada terpesong dengan mereka yang membid’ahkan amalan ini. Mudah-mudahan Allah memberi manfaat dengannya, amin...!

DALIL SUNAT MENYAMBUT MAULIDURRASUL DI SISI ULAMAK AHLI SUNNAH.

1. Merayakan hari kelahiran Nabi s.a.w. termasuk daripada perkara yang membesarkan dan memuliakan baginda. Dijanjikan kejayaan dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya.

Firman Allah Taala:
“Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya dan mengikuti cahaya (Al-Qur’an) yang diturunkan bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan.” (Surah Al-A’araf, ayat 157)

2. Firman Allah Taala:
“Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu ialah setengah daripada menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.” ( Al-Haj:32 )

Dimaksudkan dengan “tanda-tanda Allah” (شعائر الله جمع شعيرة أو شعارة ) pada umum ayat ini, iaitu setiap perkara yang dijadikan sebagai tanda atau alamat bagi mentaati Allah. Sebesar-besar tanda agama ialah Nabi Muhammad s.a.w dan menyambut Maulidurrasul itu adalah membesarkan tanda Allah, termasuk dalam menjunjung perintah-Nya.

3. Meriwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya, begitu juga Ismaili dan Abdul Razak, “Bahawa diringankan azab ke atas Abi Lahab pada hari isnin kerana memerdekakan ‘Suwaibah’ yaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira tentang kelahiran Nabi s.a.w. “

Hadis ini menunjukkan bahawa:

i) Sesiapa yang menzahirkan kegembiraannya dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah diberi pahala yang besar kerana Abu Lahab yang kafir, seteru kepada Nabi s.a.w. diringankan azabnya, apatah lagi orang yang muslim. Seperti yang dikatakan oleh Al-Hafiz Nasiruddin ibnu Syamsuddin Ad-Dimasyqi dan Imam Al-Qurra Al-Hafiz Syamsuddin Muhammad Al-Jazri.

ii) Dianjurkan memulia dan membesarkan Nabi s.a.w dengan mengambil sempena hari kelahirannya. Hari kelahiran Baginda merupakan Hari Kebesaran Islam dan hari yang mempunyai kelebihan. Diriwayatkan daripada Qatadah Al-Ansari, ‘ Bahawasanya Nabi ditanya tentang berpuasa hari isnin, berkata Nabi s.a.w, “ Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian keatas ku.” (Riwayat Muslim dan lainnya)

iii) Membuat perkara-perkara kebaikan (difahami daripada memerdekakan Suwaibah, hadis berpuasa hari isnin dan hadis berpuasa hari A’syura yang akan datang ) sempena memuliakan hari kelahiran Nabi s.a.w seperti berhimpun dengan membaca Al-Qur’an, berselawat, memuji Nabi, bersedekah, menjamu makanan, berbuat baik kepada fakir-miskin dan lain-lain.

4. Didalam Sahih Bukhari dan Muslim, bahawa Nabi datang ke Madinah dan mendapati kaum Yahudi berpuasa hari A’syura lalu baginda bertanya , mereka menjawab, “ Ianya hari yang Allah menenggelamkan Fir’aun dan menyelamatkan Musa. Kami berpuasa pada hari ini kerana mensyukuri Allah ta’ala.” Lalu nabi berkata, “ Kami terlebih utama dengan Musa…”.

Diambil pengertian daripada hadis ini, kita disarankan mensyukuri atas nikmat pemberian Allah pada hari tertentu yang mempunyai kelebihan atau hari yang dilepaskan daripada musibah. Menyambut Maulidurrasul adalah menzahirkan kegembiraan dan mensyukuri nikmat dan rahmat Allah ke atas alam ini. Ini kerana , sebesar-besar nikmat yang sempurna dan rahmat ialah lahirnya nabi kita s.a.w. sebagaimana berkata Ibnu Hajar Al-Haitami, Al-Hafiz Ibnu Hajar Assqalani, Sayuti dan lain-lain.

Firman Allah ta’ala:
“ Katakanlah kepada kaummu, dengan kurniaan Allah dan rahmatnya , maka dengan demikian itu (kurniaan dan rahmat) , hendaklah kamu bergembira dan mensyukurinya.” ( Yunus:58 )

FirmanNya:
“Tidaklah kami mengutuskan engkau ya Muhammad melainkan kerana rahmat bagi sekelian alam.” ( Al-Anbiyaa’:107 )

5. Memperingati dan membesarkan Maulidurrasul dengan selawat, membaca kisahnya, merupakan perantaraan kepada mencintai nabi dan mencintai Allah.
“ Tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehingga adalah aku terlebih dikasihinya daripada dirinya, hartanya, anaknya dan sekelian manusia.” ( al-Hadis )

Firman Allah ta’ala:
“ Katakanlah kepada kaummu, jika sekiranya kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu.” (Ali-Imran:31)

KESIMPULAN

i) Menyambut hari kelahiran Rasulullah disabitkan dengan dalil-dalil syara’.

ii) Disunatkan memperingati maulidurrasul pada bila-bila masa, terlebih utama lagi sempena hari kelahirannya.

iii) Membesarkan Nabi bersempena hari kelahirannya yang merupakan salah satu hari kebesaran Islam.

iv) Menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran atas sebesar-besar nikmat dan rahmat Allah iaitu kelahiran baginda dengan mengerjakan amalan-amalan kebaikan.

v) Menyambut hari kebesaran ini membawa kepada mencintai nabi dan mencintai Allah.

vi) Mendapat ganjaran yang besar di dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya.

Orang yang pertama merayakan Maulid ialah Sultan Ibnu Malik Al-Muzzaffar, seorang wali Allah, raja yang adil, warak, zuhud dan alim. Menghadiri Majlis Maulidnya ulama’-ulama’ muktabar dan orang-orang salih dengan ketiadaan mengingkarinya, sehinggakan ulama’ besar yang bernama Assyeikh Abu Khatab Ibnu Dihyah telah mengarang bagi sultan itu, kitab Antanwir membicarakan tentang amalan Maulid. (Lihat Al-Hawi Lil Fatawi bagi Sayuti).

Berkata Assakhawi, “Sesungguhnya amalan Maulid berlaku kemudian daripada kurun ketiga iaitu tiga ratus tahun daripada Hijrah, selepas itu sentiasalah umat Islam pada setiap negeri mengamalkannya…….”

Oleh itu, amalan Maulidurrasul ini adalah ijmak muslimin yang tidak diengkari bahkan disokongi oleh ulama’ Ahli Sunnah sejak pertama kali diadakan hingga sekarang. Tidak berhimpun ulama’ dan seluruh muslimin yang sempurna imannya pada kesesatan. Sabda Nabi, “Tidak berhimpun umatku diatas kesesatan.” Sabdanya lagi, “Sesuatu perkara yang dipandang baik oleh muslimin maka ianya di sisi Allah adalah kebaikan.”

DALIL SATU PERSATU AMALAN YANG DILAKUKAN DIDALAM MAULID

BERHIMPUN DENGAN BERTILAWAH AL-QURAN, BERZIKIR, BERSELAWAT, MEMBACA KISAH NABI DAN MENGADAKAN JAMUAN

1) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, “Bersabda Rasulullah; Tidak berhimpun suatu perhimpunan pada satu majlis di dalam masjid daripada masjid-masjid Allah , lalu mereka membaca al-Quran dan bertadarus sesama mereka, melainkan turun ke atas mereka ketenangan yang diselubungi rahmat Allah serta dilingkungi para malaikat dan Allah menyebut tentang mereka dikalangan nabi dan malaikat di sisi-Nya.” ( Sahih Muslim ).

2) Bersabda Nabi s.a.w., “Tidaklah berhimpun satu perhimpunan di dalam suatu majlis lalu mereka tidak berzikir mengingati Allah dan tidak berselawat ke atasku, melainkan kekurangan dan penyesalan ke atas mereka di hari Qiamat.”

3) Firman Allah ta’ala, “Kami ceritakan kepada engkau setiap perkhabaran daripada kisah-kisah Nabi yang menguatkan hati engkau dengannya dan datang kepada engkau di dalam perkhabaran ini, kebenaran, pengajaran dan peringatan bagi orang yang beriman.” (Hud:120)

4) Meriwayat Imam Ahmad dan Hakim daripada Suhaib, Nabi bersabda, “ Seseorang yang terlebih baik di antara kamu ialah mereka yang menjamu makanan dan menjawab salam.” Berkata al-Iraqi, “ Hadis ini sahih sanadnya .”
Meriwayat Turmizi , bahawa sahabat-sahabat nabi tidak bersurai mereka daripada majlis bertilawah al-Quran dan zikir, melainkan selepas menikmati jamuan.

SUNAT BERDIRI KETIKA DIBACAKAN KISAH KELAHIRAN BAGINDA S.A.W.

Disunatkan berdiri ketika dibaca kisah kelahiran Nabi s.a.w. kerana perbuatan berdiri menunjukkan di atas membesarkan baginda, termasuk di dalam nas al-Quran yang kami sebutkan dahulu. Telah berdiri Imam Subki bersama-sama orang ramai di Majlis Maulid ketika kisah kelahiran baginda dibacakan. Ulama’ Ahli Sunnah mengatakan sunat dan elok perbuatan ini.
Cara membesar dan memuliakan Nabi s.a.w. semasa hayat baginda atau wafatnya, samada dengan hati atau lisan seperti berselawat, puji-pujian atau dengan perbuatan iaitu berdiri. Telah disepakati pada adat orang ramai bahawa berdiri itu bertujuan membesarkan seseorang.

Adapun Fatwa al-Allamah Imam Abu Saud yang mengkafirkan mereka yang tidak berdiri ketika orang ramai berdiri pada Majlis Maulid , sekiranya mereka meninggalkan berdiri kerana menghinakan Nabi s.a.w. atau mengingkari hukum membesarkan baginda.
Berkata Imam Nawawi, “Disunatkan berdiri kepada orang yang hadir iaitu daripada ahli kelebihan dan kemuliaan, sesungguhnya datang hadis-hadis sebagai hujah padanya…….”

1) Diriwayatkan daripada Said al-Khudri, Nabi bersabda, “ Berdirilah kamu kepada penghulu kamu” ( iaitu Saad Ibnu Muaz yang hadir kepada sahabat ), lalu ia datang dan duduk kepada Rasulullah. ( Riwayat Abu Daud ).
Perbuatan berdiri dalam hadis ini adalah kerana memuliakan Saad, bukan kerana hendak menurunkan Saad yang sakit daripada tunggangannya. Jika berdiri kepada Saad disebabkan keuzurannya , nescaya nabi berkata dengan lafaz, “Berdirilah kepada orang yang sakit daripada kamu”, dan tidaklah perlu nabi menyuruh sekalian sahabat bahkan memadai seorang dua shaja bagi memapahnya.

2) Mengeluar Abu Daud daripada Abu Hurairah, “Adalah nabi bercakap dengan kami, apabila baginda berdiri, lalu kami pun berdiri kepadanya hingga kami melihat ia memasuki rumahnya.”
Adapun berdiri yang dilarang dalam beberapa hadis, adalah berdiri yang lahir daripada sifat takabbur atau larangan itu kerana tawaduk nabi. Disunatkan berdiri tersebut semata-mata kerana perbuatan berdiri termasuk daripada membesarkan nabi, samada hadir Roh Nabi di dalam Majlis Maulid ataupun tidak. Ketahuilah ! Roh Nabi dan orang mukmin boleh pergi ke mana sahaja yang dikehendakinya dan harus dapat berjumpa dan melihatnya.
i) Sabit pada hadis sahih bahawa berhimpun nabi s.a.w dengan para nabi di Baitul Maqdis dan di langit pada kisah Isra’ dan Mikraj.
ii) Daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w melihat Nabi Musa dan Nabi Yunus menunaikan haji sambil mengucapkan ‘talbiah’.
iii) Didalam Sahih Bukhari, bahawa sesetengah sahabat dilihat bersembahyang di dalam masjid selepas meninggal dunia.
iv) Daripada abu Hurairah, Nabi Bersabda, “Sesiapa melihatku didalam mimpinya, nescaya ia akan melihat aku ketika jaga ( tidak bermimpi) dan syaitan tidak boleh berupa dengan rupaku.” (Bukhari dan Muslim)
Berkata Imam Sayuti, “Bahawa nabi s.a.w itu hidup dengan jasad dan roh, serta rohnya berjalan ke mana sahaja yang dikehendakinya kepada segala tempat dimuka bumi dan alam malakut….”
Meriwayat Imam Ahmad, Turmizi dan Ibnu Abi Dunia daripada Salman Al-Farisi,

“Bahawa roh orang mukmin berada di barzah di dalam dunia, boleh pergi ke mana-mana yang dikehendakinya.”


SUNAT MEMUJI NABI DENGAN SYAIR

Allah ta’ala memuji penyair-penyair yang beriman dan mengasingkan mereka daripada kumpulan penyair yang dicela dengan firmanNya :

1) “…..Melainkan penyair-penyair yang beriman dan beramal salih serta banyak menyebut Allah………” (Assyua’ra:227)
Telah mentafsir Imam an-Nasafi, “Berzikir mengingati Allah dan bertilawah al-Quran adalah menjadi kebiasaan bagi mereka daripada bersyair. Apabila mereka menyampaikan syair , mereka bersyair pada mentauhid dan memuji Allah, tentang ilmu, peringatan, zuhud, budi pekerti, memuji Rasulullah dan sahabat serta orang-orang salih dan seumpamanya.”

2) Mengeluar Bukhari di dalam `Al-Adab Al-Mufrad’ dan Thabarani di dalam `Al-Ausath’ daripada hadis marfu’ Abdullah Ibnu Omar, “Syair itu menempati percakapan, maka syair yang baik seperti percakapan yang baik dan syair yang keji seperti percakapan yang keji..”

3) Meriwayat Thabarani, bahawa ketika Nabi s.a.w. memasuki Madinah sekembalinya daripada perang Tabuk, berkata Ibnu Abbas, “Ya Rasulullah ! Adakah memberi keizinan kepada aku memuji engkau ? Bersabda Nabi, “Katakanlah ! Tidak akan mensadur Allah mulut engkau,” lalu ia memuji baginda dengan qasidah syair…..
Menyebut Mawardi di dalam al-Hawi dan Ruyani di dalam al-Bahri, bahawa syair terbahagi kepada; haram, harus dan sunat. Syair yang disunatkan itu dua bahagian. Pertama, syair yang menakuti dan memperingati huru-hara akhirat. Kedua, syair yang menekankan budi pekerti yang baik. Di antara syair yang disunatkan ialah memuji para nabi, sahabat, ahli taqwa dan seumpamanya.
Adapun hadis yang berbunyi, “Janganlah kamu memuji aku sebagaimana orang Nasrani memuji Isa Ibnu Maryam,” dilarang memuji sehingga menganggap nabi sebagai anak tuhan atau tuhan. Firman Allah ta’ala, “ Berkata orang Nasrani, Isa itu anak tuhan.” (At-Taubah:30) FirmanNya, “Sesungguhnya menjadi kafir mereka (Nasrani) yang berkata bahawa Allah, tuhan yang ketiga daripada tiga tuhan.” (al-Maidah:73)
Tidak menjadi kesalahan mengagungkan Nabi s.a.w. dengan melampau-lampau selagi tidak menganggapnya sebagai tuhan, kerana sabit dengan hadis-hadis sahih, di antaranya :

Meriwayat Bukhari bahawa Urwah ibnu Mas’ud as-Saqafi menghadiri kepada Nabi s.a.w. di dalam Perjanjian Hudaibiyah. Sekembali Urwah kepada kaumnya lalu berkata, “…tidak pernah aku melihat seorang pun yang mengagungkan seseorang sebagaimana sahabat Muhammad mengagungkannya. Tidaklah Muhammad berludah satu ludahan, melainkan menyambut sahabatnya dengan tangan-tangan mereka, lalu melumurkan ke wajah mereka dan tidaklah ia berwuduk, melainkan mereka berebut-rebut kepada air wuduknya untuk mengambil barakat, sedangkan ia mengiktiraf dan tidak mengingkari perbuatan mereka itu dan mereka (sahabat) tidak menajamkan pandangan kepadanya.”

Telah ijmak ulama’ pada harus berseru meminta pertolongan dan bertawasul dengan mengambil barakat Nabi s.a.w. Meriwayat Baihaqi dengan sanad yang sahih, daripada Malik addar , berkata, “ Telah menimpa musibah kemarau pada orang ramai di zaman Umar al-Khatab, lalu datang seorang lelaki ( Bilal Ibnu Haris al-Muzani ) ke kubur Nabi s.a.w. dan berseru, “ Ya Rasulullah ! Mintalah supaya diturunkan hujan bagi umatmu kerana sesungguhnya mereka itu sedang binasa.” Lalu hadir rasulullah di dalam mimpinya dan baginda berkata, “Pergilah kepada Umar dan sampaikan salamku kepadanya…..” .”

Dalam hadis ini , lelaki berkenaan telah memberitahu kepada Saidina Umar tentang kisah tersebut, akan tetapi Saidina Umar dan sahabat-sahabat yang lain tidak mengingkari perbuatan lelaki itu.
Berkata as-Subki, “ Elok bertawasul dan berseru meminta pertolongan dengan Nabi sebagai perantaraan kepada tuhannya. Tidak seorangpun daripada Salaf dan Khalaf mengingkarinya, sehingga datang Ibnu Taimiyah mengingkari serta menyimpang daripada jalan yang sebenar lalu menghukum bid’ah perkara yang tidak dikatakan bid’ah oleh seorang alim sebelumnya, dan jadilah membid’ahkannya itu, sebagai perkara yang menakut-nakutkan umat Islam daripada mengerjakannya.”

TARIKH KELAHIRAN NABI S.A.W.

Telah berlaku perselisihan Ulama’ pada menentukan tarikh kelahiran Nabi s.a.w. kepada tujuh pendapat. Pendapat yang terlebih masyhur daripadanya :-

1) Hari kelahiran baginda pada 12 Rabiulawal iaitu pendapat Mohd Ibnu Ishaq Naisaburi dan lainnya. Berkata Ibnu Katsir, “Pendapat ini masyhur di sisi kebanyakkan ulama’ dan dipegangi oleh ahli Makkah sejak dahulu hingga sekarang pada waktu menziarahi tempat kelahiran Nabi s.a.w. Mendakwa Ibnu Jauzi dan Ibnu Jazar dengan ijmak , iaitu ijmak kebanyakkan atau ijmak perbuatan, kerana salaf dan khalaf bersepakat atas amalan Maulid dan menamakan hari kelahiran baginda pada hari tersebut di setiap negeri, sehinggakan di Makkah, tempat kelahirannya…”

2) Berkata kebanyakan Imam-Imam yang menghafal hadis iaitu ulama’ yang terdahulu dan lainnya, bahawa ianya hari kelapan Rabiulawal.

Berkata Syeikh Yusuf Ibnu Ismail Annabhani, “Tetapi, pendapat yang pertama itu masyhur di sisi jumhur ulama’ dan ianya pendapat yang sahih, yang mana dipegangi oleh ulama’ salaf dan khalaf, maka diatas pendapat inilah yang dipegangi.” ###
(Artikel Asal Oleh: Pelajar Pondok Pasir Tumbuh, Kota Bharu)

D E M A MDalam periwayatan hadiskejarlah lima sebelum limahidup sebelum maut menjemput,lapang sebelum sempit menghimpit,muda sebelum tua bersua,kaya sebelum papa menyapa,sihat sebelum sakit menggigit. Oh Rabb, dan kini aku terkedang lumpuhdalam pembaringan yang serba rusuhnamun, haruskah aku mengeluhkerana nanti sesudah sembuhadakah untuk kembali menjadi abdi yang angkuh?(Berita Minggu, 9 Mei 2004)PERKAHWINAN ADALAH SATU IBADAH

Perkahwinan adalah merupakan satu ibadah suci yang termaktub di dalam al-Quran dan hadith-hadith Nabi. Dalam perkahwinan itu sendiri mengandungi banyak hikmah dan keistimewaan. Maka sesiapa yang mampu melaksanakannya dengan sempurna, maka ia dan pasangannya akan mendapat ganjaran.Dalam surah ar-Rum ayat 21, Allah SWT berfirman yang bermaksud:"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untuk mu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya; dan dijadikannya antara kamu rasa kasih sayang."Maka jelas sekali bahawa tujuan perkahwinan itu bukan untuk seronok-seronok atau sekadar melepaskan rangsangan hawa nafsu, tetapi ialah untuk melahirkan pertalian kasih sayang bagi kedua pasangan. Kasih sayang di sini ialah kasih sayang yang sejati dan abadi, dari usia muda sampai ke usia tuanya.Dari sudut syara', hukum berkahwin itu terbahagi kepada empat kategori: wajib, sunat, haram dan mubah. Setiap kategori ada sebab-sebab dan asas-asasnya tersendiri.

Ia jadi WAJIB, kalau sesaorang itu sudah mampu (fizikal, material dan spiritual), dan takut terjerumus kelembah perzinaan kalau ia tidak berkahwin.

Ia jadi SUNAT, kalau sesaorang itu mampu dan dalam waktu yang sama ia mempu menahan diri dari melakukan perzinaan, maka ketika itu baginya adalah lebih baik berkahwin dari membujang.

Ia menjadi HARAM, kalau tujuan berkahwin itu semata-mata untuk balas dendam atau untuk menyakiti orang lain.

Dan ia menjadi MUBAH, kalau sesaorang itu tidak berhalangan untuk berkahwin sedangkan hawa nasfunya tidak kritikal untuk melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama.Kalau kedua-dua pasangan suami-isteri itu dapat memahami konsep ibadah dalam perkahwinan, maka sudah tentu masalah rumahtangga tidak timbul. Kerana setiap pasangan itu sentiasa berusaha memenuhi kehendak-kehendak dan tuntutan-tuntutan ibadah.

Di antara tuntutan ibadah dalam perkahwinan ialah kesetiaan, iltizam, tanggungjawab, kasih sayang, hormat menghormati, bela membela, amanah, jujur, ikhlas dan sebagainya.

Dalam sebuah hadith, Baginda Rasulallah pernah bersabda yang bermaksud:"Bahawa dua rakaat solat orang yang beristeri adalah lebih baik daripada tujuh puluh rakaat solat orang bujang".Dengan kata lain, beristeri itu mendapat ganjaran dan pahala yang berlipat ganda berbanding dengan ibadah seorang bujang. Hikmahnya jelas sekali, ketika melakukan ibadah seorang yang sudah beristeri adalah lebih mantap dan tenang serta lebih khusuk. Atas asas inilah maka ibadah orang beristeri itu lebih baik dan lebih rewarding.Dunia perkahwinan adalah dunia tanggungjawab dan iltizam yang berterusan, dari sebelum mendapat anak kepada sampai mendapat cucu-cicit. Di mana setiap pasangan diwajibkan menunaikan tugas masing-masing sehingga melahirkan rumahtangga yang aman damai dan bahagia.Dalam sebuah hadith lain Baginda Rasulallah bersabda yang bermaksud:"Apabila seorang perempuan menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatan, serta menutup aurat dan taat kepada suami, maka berhaklah ia masuk ke syurga dari mana-mana pintu syurga yang disukainya."Dalam surah An-Nur ayat 26, Allah SWT berfirman yang bermaksud:"Sesungguhnya lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan baik; perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik. Sebaliknya, lelaki yang jahat adalah untuk perempuan-perempuan yang jahat: perempuan-perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat pula."Ringkasnya, kalau satu-satu pasangan itu berjaya memahami dan mengamalkan konsep ibadah dalam perkahwinan, maka kebahagiaan dan ketenteraman hidup itu boleh dicapai. Kerana konsep ibadah itu ialah konsep hidup bersih. Bersih lahir dan bersih batin. Tidak ada ibadah yang berasaskan kekotoran hati atau hasad. Inilah keindahan Islam bagi kehidupan manusia berumahtangga, berkeluarga, dan bermasyarakat. ###

Benarkah Perbankan Islam Lebih Mahal dan Zalim ?

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Melalui tulisan ini, saya akan cuba menjawab beberapa persaoalan yang seringkali kedengaran di kalangan masyarakat Islam khususnya, bagaimanapun, sedikit malang kerana kerap kali isu yang dijaja ini tidak disandari oleh fakta yang jelas, spesifik dan mantap.

Silap Faham Masyarakat

Masih segar di ingatan saya, salah seorang pemuda yang kelihatan kuat pegangan Islamnya mendekati saya lalu bertanya dengan soalan yang amat kerap saya mendengarnya

" Mengapa bank Islam lebih mahal dari yang Riba ? ". Tatkala saya bertanya apakah yang menyebabkan ia membuat kesimpulan demikian.

Lalu dengan tegas si pemuda ini menjawab : "Sebagai contoh" katanya dengan yakin, "Ibu saya mengatakan pembiayaan perumahan bank Islam jauh lebih tinggi dari Perbankan Konvensional, bagaimana tu ustaz ?" katanya sambil membulatkan matanya ke arah saya.

Saya bertanya kembali, " bagaimana cara ibu saudara mengira sehingga dapat jumlah itu? " kata saya, "adakah saudara tahu berapa kadar keuntungan yang dikenakan oleh Bank Islam dan berapa pula, yang dikenakan oleh Konvensional?" Tanya saya lagi.

Pemuda itu menjawab : "bank Islam ini mengenakan kadar 7.60 % setahun untuk tahun ke tiga ke tiga puluh", manakala bank konvensional hanya mengenakan 6.75 % , tambahan pula, bank islam kena bayar RM 1050 sebulan, bank konvensional hanya RM 850 sahaja " katanya membawa contoh dengan amat yakin.


Teknik Yang Tidak Disedari

Inilah antara bentuk kekeliruan yang menjalar di kalangan orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan perbankan Islam di ketika ini. Mereka tidak dapat memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Bayangkan, Perbankan Islam hanya mengenakan 7.60 % (tahun 3-30 sebagai contoh), ini bermakna kadar ini tidak akan bergerak hinggalah 30 tahun itu, bukankah bank Islam menanggung risiko yang besar ?. Bank Konvensional tidak menawarkan bayaran bulana sedemikian kekal sehingga 30 tahun, ia akan disemak dari masa ke semasa.

Manakala jika dilihat kepada pinjaman perumahan oleh produk konvensional, hampir kesemuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar peratusan BLR ( Base Lending Rate) atau Kadar Pinjaman Asas yang tidak tetap serta dicampur dengan 0.25 % (sebagai contoh). Bagaimana jika % BLR melambung tinggi seperti 10 % sebagaimana yang berlaku ketika krisis ekonomi?, bukankah tatkala itu, kadar interest yang perlu di bayar oleh pelanggan juga amat tinggi.

Ini tidak akan berlaku dalam pengamalan bank Islam kerana di awal kontrak lagi telah menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam bermurah hati untuk memberikan rebate (ibra') atau diskaun jika pihak pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal ‘early settlement'. Perlu dingat bahawa BLR telah naik beberapa kali sepanjang tahun lepas dan tahun ini dari 6 % sehingga 6.75 %. Ia juga boleh melonjak lagi bergantung kepada keadaan ekonomi.

Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi untuk dibayar oleh pelanggan adalah kenyataan yang kurang tepat dan amat boleh dipertikai. Malah jika dilihat kepada kadar pembiayaan yang dikenakan oleh Perbankan Islam untuk produk-produk pembiayaan perniagaan juga membuktikan kadar adalah setara dengan yang di tawarkan oleh Bank Konvensional malah lebih murah dalam banyak keadaan. Hal ini sukar untuk didedahkan kerana sesuatu kadar pembiayaan itu bergantung kepada dua hal terpenting :-

a) Kadar Pengurusan Minima (Cost of Fund) sesebuah Bank Islam itu.
b) Prestasi dan kekuatan sesebuah organisasi yang memohon pembiayaan.
c) Potensi and risiko perniagaan yang ingin diceburi.

Semua yang disebut di atas akan mempengaruhi kadar yang dikenakan kepada pemohon.

Zalim ?

Saya sedar, bahawa walaupun saya telah menerangkan hujjah di atas, akan terdapat orang ramai yang mula menyebut :

" jadi mengapa hanya setanding dengan konvensional?, kami ingin kamu menjadi lebih murah".

"Bukankah bank Islam ni patutnya 'maqasid' (tujuannya) adalah untuk membantu umat Islam, lalu kenapa mahal ?" Tanya seorang pelajar Sarjana (MA) kepada saya di sebuah IPTA.

Ketika itu, saya memberikan ceramah khas berkenaan produk perbankan Islam di sana, turut hadir adalah Ketua Jabatan Fakulti Shariahnya. Lalu saya terus melihat kepada Prof ini lalu saya bertanya pula :

"Prof. jika saya nak buat PhD di sini dalam bidang Fiqh Islam & Perbankan Islam, berapa yurannya?"

" Lebih kurang RM 13,000" katanya

"Mengapa begitu tinggi Prof, kenapa tidak yurannya hanya RM 2000 sahaja?" tanya saya menguji.

"Mana boleh, macam mana nak bayar gaji pensyarah kalau begitu" tegas Prof tersebut.

Demikianlah dapat saya simpulkan hal di Perbankan Islam juga, harga yang ditawarkan adalah menurut kemampuan dan keperluan pasaran. Perlu difahami bahawa Islam menjaga hak penjual dan pembeli secara adil. Bukan hanya hak pembeli sahaja yang perlu dijaga.

Adalah dikira kezaliman pada kita sebenarnya, jika kita 'mengutuk' sebuah kedai nasi lemak seorang islam kerana menjual nasi lemak dengan harga RM2.00, dalam keadaan kedai bukan Islam menjual pada harag yang sama atau lebih murah sedikit. Padahal, si Muslim menjual dengan kadar harga yang ia mampu tawarkan, dan ia juga halal.

Kunci Untuk Faham

Bagi meneruskan jawapan persoalan ini, adalah terlebih baik jika pembaca dapat menghayati fakta berikut terlebih dahulu :-

a) Bank-bank Islam adalah merupakan syarikat-syarikat berlesen dan berdaftar yang juga mensasarkan keuntungan agar organisasi dapat mara lebih maju lagi ke hadapan. Bagi mencapai sasaran itu, perbankan Islam menawarkan khidmat kewangan menurut Islam melalui produk-produknya yang diiktiraf Shariah. Ia bukannya badan kebajikan yang menawarkan perkhidmatan secara percuma.

b) Bank-bank Islam juga mempunyai pelabur-pelabur yang mengharapkan pulangan yang baik hasil pelaburannya, dan ia bukannya wang subsidi yang diberi secara percuma.

c) Bank-bank Islam juga mempunyai para kakitangan yang perlu di bayar gaji selaras dengan nilai pasaran. Keuntungan adalah amat penting bagi menjamin kakitangan yang berkualiti dapat di kekalkan bagi meneruskan "bank's efficiency" dan "its competitiveness".

d) Bank-bank Islam juga perlu membayar seluruh kos operasi bangunannya dan peralatan-peralatannya. Justeru jika khidmat yang di tawarkan adalah percuma dan amat murah, bagaimana mungkin sebuah bank Islam mampu terus berkembang.

Selepas memahami empat fakta di atas, cuba fahami fakta berikut pula :-

a) Jika anda mengatakan bahawa, perbankan Islam sepatutnya sentiasa lebih murah berbanding konvensional kerana ia perlu membantu orang ramai terutamanya orang Islam. Anda perlu menyedari bahawa, kebajikan dan kepentingan bank juga perlu dijaga agar mampu terus menerus membantu segenap lapisan masyarakat. Nabi SAW tidak membenarkan kawalan harga dibuat oleh kerajaan pada masa yang tidak terdesak. Ia adalah kerana Nabi SAW tidak mahu menghadkan hak peniaga bagi mendapat keuntungan, justeru, selagi mana ruang keuntungan masih berada di paras pasaran, ia adalah dibenarkan. (Mahanij Ijtihad Fi Istinbad bi rakyi, Dr Fathi Ad-Durayni, ketika menghuraikan isu tas'ir iaitu penetapan harga oleh kerajaan)

b) Jika anda mengatakan, perbankan Islam sepatutnya membantu orang-orang yang susah dan bukan semakin menyukarkan mereka. Maka anda perlu memahami bahawa jika sesebuah bank islam itu memperolehi keuntungan, ia akan mengeluarkan zakat bagi asnaf (kumpulan) yang layak menurut Shariah. Malah selain itu, Bank-bank Islam juga mempunyai peruntukan sumbangan kebajikan "charity" yang diberikan menurut keadaan. Bukankah itu juga membantu individu yang susah dan memerlukan.

Ini jelas, kerana orang yang benar-benar susah tidak akan mampu langsung untuk mendekati Bank dan mengajukan permohonan. Maka sesiapa yang diluluskan permohonannya oleh Bank-Bank Islam sebenarnya adalah orang yang agak senang. Justeru, bukankah amat baik apabila zakat yang dikeluarkan oleh Bank disalurkan kepada orang yang benar-benar susah berbanding yang sederhana susah.

Kita perlu mengetahui bahawa jumlah peruntukan zakat yang sediakan oleh Bank-Bank Islam dan jendela "windows" perbankan Islam bagi tahun kewangan 2005 sebagai contoh adalah seperti berikut : RHB ISLAMIC Bank : RM 920 ribu, HSBC Amanah : RM 49 ribu, Maybank "Islamic windows": 1.172 juta ; Public Bank "Islamic windows": 55 ribu ; Hong Leong Islamic : RM 45 ribu Rujukan : Laporan setiap Bank Berkenaan bagi Tahun Kewangan 2005). Bukankah ini benar-benar membantu orang yang susah sebagaimana yang diinginkan?.

c) Keuntungan baik yang diperolehi oleh Bank-Bank Islam juga akan membolehkan Bank ini meluaskan lagi jangkauan operasinya, selain memantapkan lagi keuntungan akan datangnya. Ia adalah amat baik kerana bakal menghasilkan lebih banyak peluang kerjaya baru bagi individu Muslim di Perbankan Konvensional yang ingin berhijrah ke perbankan Islam, ia juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan buat rakyat sekaligus membantu mereka. Malangnya, ramai yang suka menyempitkan pemikiran mereka dengan hanya melihat kepada kadar-kadar pembiayaan sahaja.

d) Tidakkah anda sedar bahawa, apabila bank mendapat kentungan yang baik, maka ia juga akan menghasilkan kadar pulangan yang tinggi bagi penyimpan-penyimpan di akaun Islam sebagai contoh Akaun Mudharabah, sudah tentu penyimpan ini akan mendapat pulangan yang lebih besar. Demikian juga penyimpan yang menyimpan di dalam akaun simpanan jenis wadiah. Mereka juga berpeluang mendapat pulangan ‘hibah' yang lebih menarik. Ia juga satu lagi bentuk bantuan tetapi tidak disedari oleh orang yang merungut ini.

Jika hujjah ini masih lagi tidak mencukupi, saya sertakan lagi hujjah lain bagi memahamkan rakyat Malaysia terhadap perbankan Islam :-

1) Nilai sesuatu yang halal adalah tidak ternilai.

Seorang usahawan Malaysia pernah memberitahu saya pengalamannya di London, bahawa harga ayam yang disembelih jauh lebih mahal dari ayam yang tidak di sembelih. Bagaimanapun, umat Islam tetap terpaksa membeli ayam yang mahal tadi demi memastikan makanannya halal walaupun ia lebih mahal.

Demikian analogi yang ingin saya utarakan; jikalau benar sekalipun tuduhan yang mengatakan produk Bank Islam lebih mahal ; perlu diingat ia telah dipastikan halal di sisi Shariah menerusi pengesahan Majlis Penasihat Shariah masing-masing berbanding produk-produk yang tidak di ‘sah' kan Shariah.

Satu fenomena yang agak ganjil berlaku hari ini apabila wujud di kalangan orang Islam yang amat mengambil berat agar tidak memakan makan yang dicampur dengan ayam tidak sembelih dan sebagainya, tetapi sering melupakan bahaya dosa keterlibatannya dengan Riba, sedangkan dosa Riba adalah jauh lebih berat dari memakan ayam bangkai atau khinzir.

2) Kos tambahan untuk khidmat professional pengesahan Shariah.

Jika dilihat dari perspektif perniagaan dan logik pula. Perlu kita sedari bahawa proses pengesahan Shariah amat diperlukan di dalam semua produk, aktiviti pelaburan dan pembiayaan oleh Bank Islam. Justeru, keadaan ini boleh di anggap sebagai satu proses penambah piawanan professional yang pastinya memerlukan kos masa, tenaga dan kepakaran tambahan. Keadaan ini sekali lagi menyebabkan semua produk yang di tawarkan Bank Islam adalah unik, istimewa dan melalui proses Shariah Screening. Sesuatu yang lebih unik dan berkualti sudah tentu mempunyai nilai pasaran yang sedikit berbeza.

3) Bank-bank Islam adalah pemain-pemain kecil yang sedang meningkat naik.

Ini ternyata dari statistik yang dikeluarkan oleh Laporan bank Negara Malaysia Tahun 2005 yang menyebut bahawa aset semua Bank-bank Islam dan Jendela Perbankan Islam di Malaysia sebanyak RM 111.8 Billion dan ia hanya merupakan 11.6 % dari kesleuruhan aset bank di Malaysia. Ini bermakna, bank konvensional masih menguasai industri perbankan dengan cukup jauh sekali. Bagaimanapun, kita bersyukur kerana prestasi perbankan Islam mencatatkan pertumbuhan sebanyak 17.7 % berbading tahun 2004.

Maka, sebagai pemain-pemain kecil yang sedang naik, kadangkala harga yang di tawarkannya mungkin lebih tinggi sedikit berbanding pemain-pemain besar. Ia bolehlah dianggap seperti harga barangan yang ditawarkan di Kedai Runcit di bandingkan dengan harga di hypermarket. Sebagai penguat hujah ini, seseorang perlu memahami bahawa sebuah bank konvensional yang mempunyai aset besar sekitar RM 150 billion (sebagai contoh), jika ia menghadapi hutang tidak berbayar (non performing loan) dari peminjamnya berjumlah RM 150 juta, kedudukan Bank itu masih tidak tergugat. Bagaimanapun, sekiranya sesebuah bank Islam dengan asetnya berjumlah RM 8 billion, mempunyai jumlah nilai hutang tidak berbayar yang sama, sudah tentu ia akan amat memberikan kesan yang besar kepada jangka hayat bank Islam itu.

Kesimpulannya, Bank-Bank Islam serta kaunter/ jendela "windows" Islam hari ini perlu diberi lebih sokongan oleh semua rakyat demi memampukan ia mencapai tahap yang di gariskan kerajaan (iaitu 20 % aset perbankan Islam berbanding konvensional), malah mengatasinya. Jika hari ini kita sanggup berkorban sedikit demi memajukan bank-bank Islam, nescaya sudah pasti generasi akan datang mampu melihat dan menikmati kadar yang sangat hebat serta halal dari institusi kewangan Islam dan produk-produk Islam

Petikan dari laman web:
http://www.zaharuddin.net/

Malam Itu Gelap Dan Panjang Bagi Yang Terus Tidur
Malam Itu Terang Dan Pendek Bagi Yang Bangkit Dan Beramal Dengannya

BULAN RABIUL AWAL
Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah, jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;
· Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awal tahun Gajah.
· Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Dibulan Rabiul Awal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.
· Hijrah - Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiul Awal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.
· Peperangan - Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiul Awal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.
· Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiul Awal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.
· Abu Bakar ra. menjadi khalifah - Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw.
· Pembukaan Iraq - Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.
· Pembukaan Baitul Muqaddis - Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.
· Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol - Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.

Tujuh orang yang dilindungi Allah dalam lindungan-Nya pada hari yang tidak ada perlindungan selain lindungan-Nya, iaitu :-
1. imam yang adil,
2. pemuda yang senantiasa beribadah kepada Allah ,
3. dua orang saling mencintai kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah kerana-Nya,
4. orang yang hatinya bergantung kepada masjid dari saat keluar darinya hingga ia kembali kepadanya,
5. orang yang mengingat Allah di tempat yang sunyi lalu matanya berlinangan,
6. seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu lelaki itu menjawab sesungguhnya aku takut kepada Allah serta
7. orang yang mengeluarkan sedekah lalu disembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.
(Hadis Riwayat Muslim)

Pesanan Imam Ghazali

  • Adapun menyebut-menyebut tentang keburukan rakan-rakan serta keaiban isteri dan anak-anak itu dikatakan 'ghibah' atau mengumpat maka hukumnya haram atas setiap muslim
  • Barang siapa menyimpan perasaan dendam di dalam hatinya terhadap seseorang muslim, maka hatinya lemah dan perkara ini amat membahayakan diri, hatinya yang busuk tak sesuai bertemu dengan Allah s.w.t
  • Ingatlah bahawa sebab yang paling berat sekali dalam menyalakan api kedengkian sesama saudara ialah dengan menimbulkan pertengkaran dan perbantahan. Kedua-duanya menjadi punca kepada permusuhan dan putus hubungan
    Teguran dan nasihat itu hendaklah disampaikan secara rahsia kerana teguran dan nasihat di khalayak ramai mendatangkan kecemaran yang memalukan
  • Apabila seseorang berkasih sayang dengan Allah, jangan biarkan kasih sayang itu bercampur dengan hasad dengki samada perkara dunia atau agama
  • Hendaklah kamu mempergauli semua manusia dengan budi pekerti yang luhur dan melayani mereka dengan cara yang mereka suka
  • Bila tidak banyak pantang larang dalam persahabatan , persahabatan itu akan kekal
  • Jangan membuang masa menghambur-hamburkan nasihatmu kepada orang yang sudah ternyata enggan menerima nasihat. Malah ia akan memusuhimu pula.

Posting bermanfaat yg berkaitan untuk tatapan..

related post..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...