SURAU FIKIR

Belajar Tanpa Berfikir Itu Sia-Sia
Dan Berfikir Tanpa Belajar Itu Bahaya !

Tuesday, February 27, 2007

Buletin Surau Pernec No 6

*** ﻪﺗﺎﻛﺮﺑﻭﷲﺍﺔﻤﺣﺭﻭﻢﻜﻴﻠﻋﻭﻡﻼﺴﻟﺍ ***

Buletin Surau Pernec edisi keenam merupakan edisi mukaddimah tahun 2007 Masihi dan tahun 1428 Hijriah. Menemui Warga Pernec yang di hormati sekelian dalam semangat Azam Baru Tahun Baru dalam lingkungan tahun baru masihi dan sambutan Maal Hijrah. InsyaAllah kita akan menjadi manusia yang bukan sekadar Hamba Allah yang lebih bermutu malah kita adalah Khalifah Allah yang memimpin (leads the way) dan bukan sekadar dipimpin (followers). Kita mahu menjadi insan kelas pertama yang mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Kita dambakan sebuah wawasan yang jelas iaitu menuju keredahaan Allah agar layak kita mewarisi Syurga Firdaus dipenghujung segalanya.
Buletin Surau Pernec kali ini akan membicarakan topik berkaitan formula pembinaan insan kelas pertama sempena sebuah seminar oleh Dr Danial Zainal Abidin yang dianjurkan pada 27 Jan lalu di UIA. Seramai sepuluh peserta dari Pernec telah berpeluang menyertainya. Kita juga akan menyentuh agenda membina pasukan cemerlang atau Building Team Excellence (BTE) iaitu sebuah program terkini dalam konteks modul latihan skil kepimpinan dari Focus Learning yang melibatkan barisan pengurusan Pernec. Selari dengan keperluan perubahan semasa. Dimana kita semua warga Pernec sekelian harus bersedia menempuhi segala cabaran dan kemungkinan dengan penuh rasa tanggung jawab, semangat berpasukan, persediaan intelek, minda dan fisikal.

Buletin keluaran lalu banyak membicarakan persoalan Haji menjelaskan kepada kita hikmah dan falsafahnya. Kita dapat memahami syarat-syarat wajib haji, rukun dan wajib haji, jenis-jenis haji beserta larangan-larangan sepanjang kita melakukan ibadah haji ini. Buletin kali ini memaparkan kisah benar pengalaman jemaah haji Pernec di Tanah Suci sebagai kesenambungan dalam topik ibadah Haji yang penuh hikmah dan praktikal itu. Ia sebagai pencetus semangat dan penanam azam bakal-bakal haji yang lain untuk mengorak langkah menuju destinasi Haji sebagai memenuhi tuntutan Rukun Islam dan seruan Illahi.

Kita juga disibukkan dengan urusan persekolahan anak-anak. Banyak perbelanjaan yang dihabiskan demi memenuhi segala keperluan seperti buku-buku, alatulis, pengangkutan, pakaian, pelbagai yuran, dan makan minum. Itulah proses yang rutin di lalui oleh insan yang mempunyai anak-anak yang bersekolah. Warga Pernec yang masih belum berumahtangga atau mempunyai anak-anak yang masih kecil mungkin masih belum melalui suasana dan kehangatan musim permulaan persekolahan ini. Pendek kata hidup berkeluarga menguji kepimpinan dan kepertanggungjawaban kita sebagai ibu bapa dalam memegang amanah Allah mendidik dan membesarkan anak-anak.

Marilah kita sama-sama menanam azam untuk berjaya dalam urusan kita di sepanjang tahun ini. Semoga kita termasuk ke dalam golongan yang dipuji Allah, yang tinggi darjat dan makamnya mengikut piawaian yang di tetapkan Allah di dalam Al Quran. Sudah pasti inilah golongan kelas pertama yang hendak kita contohi iaitu golongan Al-Mukminuun, golongan Ibadur Rahman, dan golongan Ulul Albab. InsyaAllah Buletin kali ini akan cuba menjelaskan ciri-ciri yang ada pada golongan terbaik ini. Akhirnya kita doakan agar Pernec akan terus maju jaya selari dengan visi dan misi organisasi. Juga empat bisnes teras baru yang bakal mencorakkan masa depan dan kewujudan Pernec itu sendiri, sebagai paltform punca rezeki kita warga Pernec sekelian. ###

LEWAT SOLAT

Rupa-rupanya ada cerita kalau kita lewatkan sembahyang kita ni yea .... Jika berpuasa, amalan kita direct terus padaNya tapi jika bersembahyang ada posmen pula untuk hantar amalan kita padaNya. Kisahnya... Setiap kita ada malaikat yang hantar amalan sembahyang pada Ilahi dan untuk sampaikan amalan kita ia melalui hentian tol di setiap lapisan langit di mana setiap penjaga tol, adalah kroni malaikat juga. Jika sembahyang di awal waktu sekatan tol tiada, free, & tiada "jem".
Malaikat terus sampaikan amalan pada Tuhan untuk dinilaikan. Tetapi jika sembahyang di akhir waktu sekatan tol nya masyaAllah. Di langit pertama, penjaga tol marahkan posmen kita, kenapa lewat poskan amalan kita. Merayu-rayu posmen malaikat kita minta diberi laluan, tetapi penjaga langit pertama tidak peduli. Dicampakkan amalan lewat sembahyang tadi ke bumi. Maka... jatuh berderai… Dikutip semula oleh malaikat posmen kita, satu persatu dikutip sambil terus merayu untuk ke lapisan langit kedua. Dilangit kedua, samalah juga, bebelan malaikat kerana lewat hantar amalan.
Merayu lagi kawan kita, tak dipedulinya. Lalu dilemparkan amalan lewat sembahyang kita tadi. Jatuh berderai lagi… Begitulah berterusan.
Maka… Tak sampailah amalan kita kepada Allah, seolah-olah kita tak sembahyang juga. Maka bersedialah kita menerima pembalasannya.

Ya Allah!!! Ampunkan kami kerana lalai!!! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang. Jadikan hati kami Suka sembahyang di awal waktu. Gawatkan hati kami selagi kami tak segerakan solat. Biarlah kami gawat di dunia agar kami tidak gawat lagi di hari Akhirat kelak. Amiiin @@@

Kalimah Suci Di Langit Mina
12 Zulhijjah 1427 H

Hatiku masih disitu, terpaut pada indahnya masjid Nabiku Masjid Nabawi dan tenang dan syahdunya MasjidilHaram. Istimewanya Masjid Nabawi dengan adanya Makam Rasulullah dan Raudhah di dalamnya. Indah sungguh Raudhah itu sesuai dengan ertinya “Taman Syurga”. Keharuman karpet hijau di dalam Raudhah dan ukiran penuh berseni dan istimewa pasti membuatkan pengunjungnya akan sentiasa merinduinya.Manakala di dalam Masjidilharam pula tersergam Ka’abah yang selama ini menjadi kiblat kita dalam setiap solat. Tak puas aku menatap Ka’abah, tenang dan berdiri megah lambang keagungan Allah swt. Menatapnya sahaja sudah ada anugerah pahala dari Allah.

Rindunya aku pada dua kota Haramain itu Madinah Munawwarah dan Mekah Mukarramah. Doa tak putus ku panjatkan pada Allah agar aku dan suami dapat kembali ke situ. Perjalanan ku selama 46 hari dirasakan terlalu singkat dan hingga hari ini hatiku masih terpaut disitu…

Syukur kehadrat Ilahi, kunjungan aku dan suami buat kali pertama ke Mekah dikurniakan Haji Akbar yang mana hari wukufnya iaitu 9 Zulhijjah 1427H jatuh pada hari Jumaat. Namun Ustaz yang membimbing kami selalu mengingatkan Haji Akbar itu memang anugerah Allah tapi selalunya akan datang dengan ujian yang berat juga. Pengalaman Ustaz yang lepas-lepas semasa haji Akbar pernah terjadi kebakaran di khemah Mina dan banjir di Mekah.

Namun Alhamdulillah perjalanan haji pada tahun ini agak lancar dan tiada tragedi yang menimpa. Tempat jamrahnya dinaik taraf kepada dua tingkat dan laluan satu hala sudah mula dipraktikkan. Tambahan pula sudah ada jadual melontar mengikut negara masing-masing. Ikut saja arahan pihak berwajib, insyaAllah urusan pun dipermudahkan.

Kalimah “Rabbi Yassir Wala Tu’assir” kalimah azimat yang tak lekang di bibirku. Memang itu kalimah azimat, semacam ada kepungan dan ada laluan tersedia untukku terutama ketika bersesak-sesak keluar masjid, ketika tawaf, ketika merentas ribuan manusia hendak ke Hijir Ismail dan ketika berjuang untuk mengucup Hajar Aswad.

Wukuf di padang Arafah sememangnya pengalaman yang amat aku hargai. Hati sungguh tersentuh dengan syahdunya zikir dan alunan doa yang dibaca bersama Mutawwif. Deraian airmataku tak tertahan lagi. Namun sebak yang teramat sangat dirasakan tatkala berada di luar khemah Arafah waktu doa dibacakan pada saat matahari di langit Arafah mulai terbenam sedikit demi sedikit menandakan berlalunya waktu Wukuf pada 9 Zulhijjah 1427H.

Doaku, Ya Allah bawalah aku kembali lagi ke bumi Arafah, aku rindu…

Namun pengalaman di khemah Mina pada hari Tasyrik 12 Zulhijjah 1427H benar-benar akan terpahat di ingatan kami. Tengahari itu langit Mina amat cerah sekali seakan meraikan hamba-hamba Allah yang berkumpul di bumi Mina pada hari itu. Di luar khemah aku terpandang satu kumpulan jemaah lelaki sedang berkerumun sambil mendongak ke langit. Dengan perasaan ingin tahu aku dan jemaah-jemaah wanita segera berkumpul di luar khemah.

Bila aku amati ternampaklah kumpulan awan yang membentuk kalimah suci berangkai di langit yang tertulis “ ﻻ ﺇﻟﮫ ﺇﻻ ﺍﷲ (Lailahaillallah), ﺍﷲ (Allah) dan ﻤﺤﻤﺪ (Muhammad)”. Semakin ramai jemaah berkumpul di luar khemah asyik memerhati kalimah-kalimah di langit. Bisikan “Subhanallah, MasyaAllah, AllahuAkbar” bermain di bibir jemaah-jemaah yang terlalu gembira dengan anugerah itu. Terlalu sebak dan gembira begitulah perasaan hatiku pada saat itu.

Selang beberapa minit kemudian kumpulan awan pertama mulai hilang bentuknya dan terbentuk pula kumpulan awan kedua di bahagian lain dengan kalimah “ﻴﺲ “(Yaasin) dan satu bahagian lagi kalimah ” ﺍﷲ “ (Allah). Begitulah selang berganti pertunjukan kalimah suci di langit Mina selama lebih kurang 30 minit sebelum azan Zohor berkumandang. Tiada kata yang dapat diucapkan lagi melainkan pujian-pujian kebesaran untuk Maha Pencipta.

Ya Allah kami akui kebesaran Mu ya Allah, kami bersyukur dengan anugerah Mu.

Coretan:
Jemaah Maktab 89
Khemah Wadi Muhassir
Mina

Luasnya NERAKA

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh nabi s.a.w.: "Mengapa aku melihat kau berubah muka?" Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya."
Lalu nabi s.a.w. bersabda: "Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam." Jawabnya: "Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh.
Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang dihujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api.
Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan." Nabi s.a.w. bertanya: "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?" Jawabnya: "Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda." (nota kefahaman: iaitu yg lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah s.a.w.: "Siapakah penduduk masing-masing pintu?" Jawab Jibrail:
· “ Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a.s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah.
· Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim,
· Pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar.
· Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha,
· Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah.
· Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa'eir."

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w. sehingga ditanya: "Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?" Jawabnya: "Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat." Maka nabi s.a.w. jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sadar nabi saw bersabda: "Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?" Jawabnya: "Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu."

Kemudian nabi s.a.w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah.(dipetik dari kitab "Peringatan Bagi Yg Lalai") Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari Ku.

Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu? Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat
· Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah
· Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung
· Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah
· Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik
· Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak
· Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum
· Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular
· Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat.
· Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai
· Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat

YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM, lindunglilah dan peliharakanlah kami, kedua ibubapa kami, isteri kami, anak-anak kami, kaum keluarga kami & semua orang Islam dari azab seksa api nerakaMu YA ALLAH.

Sesungguhnya kami tidak layak untuk menduduki syurgaMu YA ALLAH, namun tidak pula kami sanggup untuk ke nerakaMu YA ALLAH. Ampunilah dosa-dosa kami, terimalah taubat kami dan terimalah segala ibadah dan amalan kami dengan RAHMATMU YA ALLAH......AMIN..... @@@


Insan Kelas Pertama

Golongan yang dipuji Allah ialah golongan yang tinggi darjat dan makamnya, mengikut piawaian yang ditetapkan Allah. Sudah pasti inilah golongan kelas pertama yang hendak kita contohi. Antara golongan yang dipuji Allah dalam al-Quran ialah:

· Golongan al-Mukminun
· Golongan Ibadur Rahman
· Golongan Ulul Albab

Antara ciri yang menghiasi golongan al-Mukminun sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surah al-Mukminuun ayat 1-11:

“Sesungguhnya telah berjaya orang-orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna. Dan orang-orang yang menunaikan zakat. Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri atau hamba sahaya yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak dicela. Barang siapa mencari selain daripada itu, maka mereka itulah yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat (yang dipikulnya) dan memelihara janjinya. Dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal dalamnya.”

Ciri-ciri Ibadur Rahman adalah berdasarkan firman Allah yang terdapat dalam surah al-Furqan ayat 63-76 yang bermaksud:

“Dan hamba-hamba ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di muka bumi dengan rendah hati, dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka menjawab dengan perkataan baik. Dan orang yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri. Dan orang-orang yang yang berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhan kami, jauhkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah kebinasaan yang kekal. Sesungguhnya neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.’ Dan orang-orang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada pula bakhil kedekut; dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain berserta Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina. Sesiapa yang melakukan demikian, akan mendapat balasan dosanya. (Yakni) akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dalam keadaan terhina. Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat. Dan mereka orang-orang yang tidak menyertai majlis dusta, dan apabila mereka bertemu dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan menjaga kehormatan dirinya. Dan orang-orang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta. Dan orang-orang yang berkata: ‘Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan zuriat keturunan kami sebagai penenang hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa. Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya. Mereka kekal di dalam syurga itu. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.”

Ciri-ciri Ulul Albab adalah berdasarkan firman Allah yang terdapat dalam surah Ali Imran ayat 189-190 yang bermaksud:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, ‘Wahai Tuhan kami Kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka’.”

Ciri-ciri Kritikal Insan Kelas Pertama

Sebagai rumusan daripada ayat-ayat di atas, antara ciri kritikal yang perlu menghiasi insan kelas pertama ialah:

  • Menguasai ilmu naqliah dan akliah.
  • Memiliki kompas iman serta akidah yang sejahtera.
  • Jelas wawasan menuju akhirat.
  • Memelihara hubungan dengan Allah melalui amal soleh yang berkualiti terutamanya dalam bentuk solat, zikrullah dan doa.
  • Menjauhi serta tidak subahat dengan dosa, kemungkaran dan maksiat.
  • Sentiasa bersedia untuk berubah demi kebaikan serta selalu bertaubat.
  • Memelihara integriti serta amanah.
  • Mementingkan pembinaan keluarga yang taat kepada Allah.
  • Berakhlak, memlihara lidah serta memelihara hubungan baik sesama manusia.
  • Bersikap sederhana dalam hidup terutama dalam aspek perbelanjaan.
  • Bijak mengurus masa.
  • Memiliki minda pemimpin dengan menjadikan diri sebagai contoh yang layak dihormati dan diteladani di mana saja.

Apabila ciri-ciri ini menghiasi diri seseorang, dia akan menjadi seorang yang mementingkan ilmu serta suka mengkaji dan melakukan analisis secara logikal sekali gus meningkatkan intelligence quotient (I.Q.) atau darjah kecerdasan otaknya. Pada ketika yang sama, dia juga mampu mengawal emosi serta mempunyai kemahiran interpersonal yang positif. Hal ini dikenali sebagai emotional intelligence (E.Q.) atau kepintaran emosi. Tambahan daripada itu aspek spiritual akan dipandang penting dan dengan itu agama menjadi paksi penting dalam hidupnya sekali gus meningkatkan spritual quotient (S.Q.) kepintaran spiritualnya.

Formula I.S.L.A.M

Ciri-ciri khusus yang dinyatakan di atas dapat dirumuskan dalam bentuk satu formula pembinaan insan kelas pertama. Formula itu ialah Formula I.S.L.A.M. iaitu singkatan kepada:
· Ilmu
· Sikap
· Ledak
· Agama
· Mahir

ILMU
Ilmu dikuasai melalui penguasaan dua ayat, iaitu, pertamanya, menguasai ayat-ayat al-Quran dan, keduanya, ayat-ayat Allah yang tersembunyi di alam semesta.
Penguasaan ayat-ayat al-Quran adalah penting untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat. Melalui al-Quran manusia mengenali tujuan hidup dan cara hidup. Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 89, “Dan Kami telah menurunkan kepadamu sebuah Kitab yang menjelaskan tentang setiap perkara (di samping itu) ia merupakan petunjuk serta rahmat dan berita gembira bagi mereka yang Muslim.”
Selepas penguasaan ayat al-Quran, ayat kedua yang perlu dikuasai ialah ayat-ayat yang tersembunyi di alam semesta. Ayat-ayat ini merupakan tanda serta bukti tentang kekuasaan Allah yang tersembunyi di alam semesta. Untuk mencapai tujuan ini umat Islam perlu mengkaji alam ini secara sistematik. Antara ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan tentang perkara ini ialah ayat 53 dalam surah Fussilat yang bermaksud, “Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar.”
Penguasaan ilmu menyebabkan umat Islam mampu:
· Membezakan akidah/kepercayaan yang benar dan yang sesat
· Membezakan yang hak dengan yang batil
· Membezakan yang halal dengan yang haram
· Membezakan yang sah dengan yang batal
· Mengetahui keutamaan-keutamaan dalam hidup
· Mengenali kehebatan Islam melalui ilmu semasa
· Membuat perbandingan antara Islam dengan falsafah hidup lain.

SIKAP
Menekankan kepentingan sikap untuk cemerlang. Antaranya yang akan ditekankan ialah:
· Amanah
· Ikhlas
· Sabar dan Cekal
· Rajin dan Tawakkal
· Konsisten
· Tawaduk
· Penyantun
· Tolong-menolong
· Berlapang Dada

LEDAK
Allah mahu umat Islam menjadi imam (pemimpin). Justeru itu umat Islam perlu meledakkan Islam pada diri mereka. Dan meledakkan kebenaran Islam kepada orang lain dengan memimpin dan membimbing mereka kepada kebenaran. Kita perlu mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran.

AGAMA
Tanpa Agama manusia akan hidup seperti haiwan malah mungkin lebih sesat daripada itu. Terdapat beberapa aspek tentang agama yang perlu difahami:
· Memahami Islam daripada sumber yang sahih lagi autentik. Asas-asas agama tidak boleh dibina berasakan hadis-hadis daif dan seumpamanya.
· Iman adalah asas yang utama.
· Amal salih menyempurnakan iman.
· Takwa Penentu kemuliaan
· Wawasan hasanah iaitu menuju redha Allah untuk mewarisi Syurga Firdaus.

MAHIR
Antara kemahiran yang diperlukan ialah dalam aspek komunikasi, pengurusan masa dan interpersonal (E.Q.)

Kemahiran Komunikasi
· Sentiasa bercakap benar
· Menjauhi tutur kata yang haram
· Menjauhi perbantahan dalam perbincangan
· Berfikir sebelum bercakap
· Mengamalkan apa yang dikatakan
· Berlemah lembut dan lunak dan bukannya menengking atau mengherdik
· Menggunakan bahasa yang mudah difahami
· Menjadikan komunikasi sebagai alat mengajak manusia kepada kebenaran.
· Menjadi pendengar yang bijak.

Kemahiran Pengurusan Masa
· Laburkan masa untuk merancang
· Tentukan matlamat
· Tentukan keutamaan
· Tuliskan senarai perkara perlu dibuat
· Bersikap fleksibel
· Tentukan masa produktif anda
· Lakukan perkara yang betul
· Hapuskan kerja-kerja yang mendesak (urgent but not important)
· Ketepikan tugas secara bijak (delegasi)
· Jangan jadi sang sempurna (jauhi waswas)
· Hancurkan sikap suka menangguhkan kerja
· Belajar untuk berkata tidak
· Anugerahi diri anda (cari masa untuk bersantai)

Kemahiran Interpesonal
Kemahiran ini penting kerana hubungan dan interaksi sesama manusia tidak dapat dielakkan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, nabi berpesan, “Dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik.”
Sikap memuliakan orang lain melambangkan iman yang tinggi. Bersikap sombong dalam pergaulan akan menempah kebencian orang lain. Tahu menghargai sumbangan dan jasa orang lain adalah sifat insan berjiwa besar. Jika ia dilakukan dengan cara yang betul, ia mampu meransang orang lain ke arah kebaikan. Di samping itu, sikap bertimbang rasa, bertolak ansur serta tidak mementingkan diri sendiri juga adalah penting untuk mengelokkan hubungan sesama insan. Apabila sifat-sifat ini menghiasi individu-individu dalam sesebuah organisai, ia menjadi seperti baja yang menyuburkan. Ia akan melahirkan satu pasukan yang mantap.

John C.Maxwell, pengarang buku Developing The Leaders Around You berkata “Kemahiran interpersonal berkait rapat dengan sifat tidak mementingkan diri sendiri, mampu memahami kehendak manusia dan sentiasa mementingkan pergaulan yang baik sesama insan. Sikap kita terhadap orang lain menentukan sikap orang lain terhadap kita. Pemimpin yang cemerlang memahami kepentingan perkara ini.”
Jadi sebagai penutup, dengan memahami serta penghayatan formula ini diharapkan kita akan menjadi umat kelas pertama. Inilah yang Allah kehendaki dari kita. Dalam surah Ali Imran ayat 110 Allah berfirman, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.” @@@

Building Team Excellence

Tujuan program Building Team Excellence (BTE) kelolaaan FocusLearning anjuran PAC ini di adakan ialah untuk;

· Menghayati halatuju strategik Pernec dalam konteks misi, visi, strategi, dan ekspetasi pihak pengurusan mengendalikan cabaran dalam bisnes.
· Memahami kepentingan membimbing staf bawahan dalam situasi bisnes yang semakin mencabar.
· Memahami dan mengaplikasikan pelbagai jenis, stail, dan teknik kepimpinan di tempat kerja.

Antara stail kepimpinan yang popular dan efektif ialah Tegas dan Lembut yang boleh di gambarkan seperti berikut;

TEGAS
· T – Tunjuk ketegasan anda (Be firm)
· E – Elak pilih kasih (Avoid double standard)
· G – Guna saluran kerja yang betul (Use the right channel)
· A – Akur pada peraturan dan polisi kerja (Obey to all rules and policy)
· S – Sentiasa konsisten dalam tindakan anda (Be consistent in our action)

LEMBUT
· L – Luangkan masa bersama pekerja (Spend time for your staff)
· E – Empati dan endah (Emphatise and care – show your concern)
· M – Minta pandangan orang bawahan (Seek subordinates’ opinion)
· B – Boleh diajak berbincang (Be open to discussion)
· U – Ungkapan bahasa yang sedap didengar (Use pleasant language)
· T – Tegas (Firm)

Komponen yang paling penting dalam membina pasukan cemerlang ialah membina kepercayaan. Formula membina kepercayaan (Building trust) menggunakan HATI dan BUDI diringkaskan seperti berikut;

HATI
· H – Hormat (Respect – respect others as team members)
· A – Ambil Berat (Take Care – Care about personal, work, families, and problems of team members)
· T – Tunjuk (Show/Coach – Coach any team member who needs coaching, counseling and guidance)
· I – Ikhlas (Sincere – Our action can be perceived as sincere or not by other team members, depends on how commited we are trying to fulfill what we have promised to do)

BUDI
· B – Berbudilah pada pengikut anda (Be good to our team members, do not matter who they are, then they will remember us as good person)
· U – Untukkan masa bagi membangun pengikut (Spare and spend time for our team members to advice and seek advice in order to improve our life together)
· D – Didik pengikut anda agar mereka lebih baik dari anda (Coach them until they are better than you. Take the spirit of teachers, they never would like to see their students fail in education)
· I – Ikhlas (Again, sincerity is important to plant good deeds in our action)

Wasiat Terakhir Mak Bedah

Selepas beberapa hari ditempatkan di wad ICU HKL keadaan Mak Bedah semakin beransur stabil. Keesokan harinya beliau dipindahkan ke wad biasa, tetapi peralatan pernafasannya masih belum ditanggalkan. Tok Ketua bercadang melawat Mak Bedah yang merupakan salah seorang ahli khariah mukimnya. Bersama isterinya Jenab, Tok Ketua ke hospital lewat petang itu.

Mak Bedah kelihatan amat lemah tetapi masih dapat mengenali tetamu-tetamunya. Dia memandang ke wajah Jenab dengan mulut terkumat kamit. Jenab mendekati Mak Bedah sambil mendekatkan telinga ke bibir beliau. Tok Ketua yang berada di sisi katil sebelah lagi juga turut mendekati bahagian kepala Mak Bedah.

Tetapi tiba-tiba mengalami sesak nafas dan dadanya berombak-ombak turun naik. Dalam keadaan kelam kabut itu, Tok Ketua terlihat tangan Mak Bedah seolah-olah meminta pen dan kertas. Kebetulan Tok Ketua ada menyimpan beberapa helai kertas kecil di dalam koceknya dan dengan segera menyerahkannya kepada Mak Bedah. “Tentunya Mak Bedah mahu menulis wasiat,” getus hati kecilnya. Nafas Mak Bedah semakin sesak dan akhirnya terhenti sebelum menulis ayat terakhirnya. Demi menghormati jenazah Tok Ketua tidak mahu membaca wasiat itu di depan arwah Mak Bedah.

Keesokannya selepas jenazah selamat disempurnakan, barulah Tok Ketua memanggil kesemua waris Mak Bedah dan menyatakan Mak Bedah sempat menulis wasiat untuk mereka sebelum menghembuskan nafas terakhir. Waris-warisnya berasa hairan kerana setahu mereka Mak Bedah bukan orang berharta. Perlahan-lahan Tok Ketua mengeluarkan kertas yang ditulis oleh arwah Mak Bedah semalam dan memakai cermin matanya.

Mukanya merah padam dan kertas tersebut jatuh daripada tangannya yang terketar-ketar. Tiba-tiba Tok Ketua berlari keluar dari bilek tersebut. Anak sulong Mak Bedah si Rezal mengambil kertas tersebut dari lantai dan membacanya. Wasiat itu berbunyi, “Tolong jangan pijak salur oksigen aku, Tok Ketua !!”.

Kesimpulan - Ada mesej yang tak patut ditangguh untuk dibaca.

~ Manusia dan Hidup di Dunia ~
Abdullah bin Umar melaporkan, Nabi Muhammad pernah memegang bahu saya lalu beliau berkata, “Jadilah saudara di dunia ini ibarat orang asing yang berada dalam sebuah tempat ataupun pengembara yang masih berada dalam perjalanan.”
Selepas itu, Abdullah bin Umar pula berkata:
· Apabila saudara berada pada waktu petang, jangan ditangguhkan amalan baik sehingga tiba waktu pagi.
· Apabila saudara berada pada waktu pagi, jangan ditangguhkan amalan baik sehingga tiba waktu petang.
· Gunakan waktu saudara masih sihat dengan melakukan amalan baik bagi menggantikan amalan yang saudara tidak mampu lakukan semasa saudara sakit.
· Gunakan waktu saudara masih hidup dengan melakukan amalan baik bagi menggantikan amalan yang saudara tidak mampu lakukan selepas saudara mati.

Abu Sa’id al-Khudri berkata, Saya pernah mendengar Nabi Muhammad berkata, ”Barangsiapa di kalangan saudara ternampak perkara yang dilarang oleh Allah, beliau perlu membetulkannya dengan menggunakan tangannya. Apabila tidak berdaya, gunakan lidahnya. Apabila itupun tidak berdaya, betulkan dengan menggunakan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.”

~ Iman Nawawi ~
Nama sebenar iman nawawi adalah abu zakaria yahya bin sharaf al-nawawi. Beliau dilahirkan di kampung bernama nawa, tidak jauh di luar kota damsyik di syria, pada tahun 631 hijrah bersamaan tahun 1233 masihi. Gelaran nawawi adalah sempena nama kampungnya, nawa. Beliau membesar di nawa sehingga berusia 19 tahun. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di damsyik dan tinggal di sana. Awalnya, beliau meminati bidang perubatan, tetapi kemudian menukar fikirannya dan beralih sepenuhnya kepada bidang agama yang amat diminati.
Selepas tamat pengajian, beliau terus tinggal di kota itu sambil berkarya dan berkuliah dalam beberapa mata pelajaran yang dianggap penting pada masa itu.
Beliau kemudian pulang dan menetap di kampung asalnya nawa, dan meninggal dunia di situ pada usia 46 pada tahun 676 hijrah bersamaan 1278 masihi. Sepanjang usianya, beliau tidak pernah berkahwin dan menumpukan seluruh hidupnya dalam agama. Antara karya-karyanya yang terkenal ialah: riyad al-salihin, sharah shahih muslim, al-adhkar & al-minhaj.

Posting bermanfaat yg berkaitan untuk tatapan..

related post..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...