SURAU FIKIR

Belajar Tanpa Berfikir Itu Sia-Sia
Dan Berfikir Tanpa Belajar Itu Bahaya !

Thursday, December 18, 2008

Buletin Surau No 14

*** ﻪﺗﺎﻛﺮﺑﻭﷲﺍﺔﻤﺣﺭﻭﻢﻜﻴﻠﻋﻭﻡﻼﺴﻟﺍ ***

Selamat menatap Buletin Surau Pernec edisi ke-14 yang merupakan keluaran ke 5 dan edisi terakhir untuk tahun masihi 2008 ini.

Alhamdulillah kita masih lagi diberi peluang oleh Allah SWT di penghujung tahun hijrah 1429 bersamaan dengan tahun masihi 2008 ini untuk terus menghirup oksigen memenuhi rongga jantung kita bagi meneruskan kehidupan yang fana ini. Bersamaan hembusan CO2 menyumbang kepada putaran eko sistem sejagat dimuka dunia ini, kita dikejutkan dengan beberapa kejadian tanah runtuh bermula di Ulu Yam tempoh hari, disusuli dengan kejadian di Damansara dan minggu lepas di Bukit Antarabangsa. Ini tidak lain bahkan sebagai peringatan oleh Allah SWT akan kebesaran-Nya dan halusnya kita sebagai hamba-Nya. Untuk kita muhasabah diri, dan menilai kembali perjalanan hidup kita selama ini dalam menjadi pemegang amanah-Nya untuk mentadbir dunia ini sebagai khalifah-Nya.

Sudahkah kita menunaikan tanggung-jawab dan amanah itu mengikut sunattullah atau sekadar di pinggiran atau dengan tiada keikhlasan. Apakah nafsu dan harta-benda menjadi raja di mata? Sama-samalah kita tepuk dada dan menjawabnya dengan betul. Apabila segala amaran dan peringatan Allah telah kita abaikan dan kemaksiatan berleluasa, amanah dipecahkan, iman goyang dan jatidiri hilang maka lambat laun kemusnahan akan dijelmakan jua. Semoga pada tahun baru ini, kita akan lebih bersedia untuk mengubah hala tuju kehidupan kepada yang yang lebih baik, jalan yang lurus menuju redha-Nya. Dan bak kata ZZ ianya bermula dari diri kita dulu. Setiap kita ada amanah untuk menjadi insan kamil, insyaAllah.

Doa dan pengharapan kita semoga tahun 2008 yang akan berlalu beberapa hari lagi ini dengan segalan kegiatan dan urusan kerja kita, keluarga dan masyarakat berjaya pula menagih kasihan belas Allah SWT untuk kita mendamba rahmat-Nya. Semoga dengan rahmat Allah SWT itu diberikan pula keampunan-Nya di atas segala dosa dan noda yang telah kita lakukan selama ini. Berkat ibadah penuh tawadduk, solat-solat fardu dan solat-solat sunat, qiyamullail, sedekah, tadarus, zikrullah, puasa, zakat, urusan kerja, sosial dan khidmat masyarakat itu melayakkan kita mendapat rahmat dan keampunan Allah Yang Maha Esa. Dibebaskan kita semua dari azab Neraka-Nya. Harapan menggunung kita agar dapatlah apa kiranya kita ini tergolong ke dalam kelompok hamba-hamba-Nya yang berpeluang menikmati Syurga-Nya.

Kedatangan tahun 2009 ini ingin kita sambut dengan penuh kemeriahan dan kesyukuran kerana berpuas hati dengan tahap amalan dan ibadah kita. Kita mesti sedar bahawa tahun ini akan penuh dengan cabaran. Keruntuhan sistem ekonomi global yang rata-rata berpaksikan riba yang diharamkan dalam Islam itu, sudah tentu akan mempengaruhi sentimen ekonomi negara. Namun insyaAllah kita yakin berkat usaha yang ikhlas, transformasi yang jelas, dan perancangan bisnes yang komprehensif akan dapat menyediakan kita semua untuk menghadapi tahun baru ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Jangan lakukan perbuatan jahat dan jangan balas perbuatan jahat dengan perbuatan jahat yang lain”, boleh kita jadikan pedoman dan amalan untuk kehidupan yang lebih baik. @@@


Semasa Umar r.a menjadi khalifah, beliau telah mengeluarkan satu perisytiharan kepada seluruh pegawai2 yang di bawah pemerintahannya, berbunyi:-
” Kupandang solat sebagai kewajipan yang paling penting. Seseorang yang memberi penuh perhatian pada solatnya mungkin menjaga juga lain2 perintah dalam agama Islam, tetapi jika dia meninggalkan solat dengan mudah dia akan meninggalkan ajaran2 Islam yang lain.”


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Syaitan takut pada seorang Muslim selagi dia menjaga solatnya tetapi dengan sekelip mata jika Muslim itu mengabaikannya, syaitan pun datang kepadanya serta menyesatkannya, selepas itu dia dengan mudah diperdaya supaya melakukan dosa2 besar lagi berat.

Seorang kawan yang mendampingi kita diwaktu kesusahan adalah lebih baik dari seribu kawan yang mendampingi kita di waktu kebahagiaan.


Penilaian terhadap persoalan hati Ustaz Zainuddin Hashim

Fenomena tangisan di kalangan manusia hari ini mempunyai maksud yang tersendiri, ini kerana ada yang menangis sebab ditinggalkan orang yang amat dikasihi, sama ada seorang kekasih, ibu, bapa, anak-anak, jiran, sanak saudara terdekat dan seumpamanya.

Terdapat juga yang menangis kerana terlalu gembira sebab bertemu semula dengan orang yang terpisah sejak sekian lama, ada juga di kalangan mereka yang terlalu mudah untuk mengalirkan air mata apabila menonton sebuah cerita yang berkonsepkan kesedihan dengan pelbagai karenah dan watak dalam filem tertentu.

Apapun amat sukar hari ini untuk mendapatkan jenis manusia yang menangis kerana takutkan Allah sebab ia amat terbatas, ini kerana jiwa serta hati mereka tidak terikat melalui hubungan dengan Allah selaku Pencipta, atau dengan kata lain hati mereka tidak melalui proses tarbiyyah seperti yang dialami oleh generasi silam.

Hati manusia hari ini tidak selembut mereka yang terdahulu daripada kita, malah tidak berusaha untuk mencari jalan bagaimana hati tersebut dapat dilunak dan dijinakkan melalui hubungan dengan Allah SWT.

Pendek kata, faktor yang menyebabkan manusia hari ini tidak mementingkan persoalan pensucian hati dan jiwa adalah disebabkan mereka tidak menggarap ilmu agama dengan sepatutnya, mereka membiarkan hati tersebut kosong dan akhirnya terjebak dalam kancah yang amat dikutuk oleh Allah SWT.

Justeru, baginda Rasulullah s.a.w ada memberi wasiat kepada Saidina Ali Bin Abi Talib yang membawa maksud : Wahai Ali, jika sekiranya berlalu 40 hari di kalangan orang-orang Islam dan mereka tidak duduk (secara langsung) dengan para alim ulama (menadah kitab, maka mereka akan ditimpakan oleh Allah dengan dua implikasi, pertama hati mereka menjadi keras dan kedua mereka berani pula (terjebak) melakukan dosa-dosa besar.

Jelas daripada wasiat baginda s.a.w di atas menunjukkan kepada kita, bahawa apabila seseorang muslim itu yang tidak bersedia untuk duduk bersama alim ulama untuk belajar daripada mereka, maka dia akan ditimpakan dua perkara, hati keras yang tidak memungkinkan dia mendapat petunjuk daripada Allah malah berani pula melakukan dosa-dosa besar seperti meninggalkan solat, membunuh, meragut, memfitnah Islam, membenci ulama, menderhaka kepada kedua ibu bapa, melanggar perintah Allah, menghina hukum-hukum Islam, meletupkan mangsa yang dibunuh dan banyak lagi yang dianggapa sebagai jenayah di sisi Allah SWT.

Sehubungan itu, Allah menjelaskan, menerusi ayat 109 surah al-Isra yang bermaksud: Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangil dan mereka bertambah khusyu.

Itulah sikap dan nilai orang-orang yang beriman sungguh-sungguh kepada Allah SWT, di mana mereka tidak akan mudah mengalirkan air mata melainkan apabila melihat Islam ditekan, diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh tangan-tangan pengkhianat agama, negara dan bangsa.

Keadaan ini amat berbeza sekali dengan orang Islam hari ini yang tidak peka atau prihatin dengan perkembangan semasa yang melibatkan undang-undang Islam yang masih tidak terlaksana dan mereka tidak sedih apatah lagi mengeluarkan air mata kerananya.

Mereka juga tidak berusaha merebut peluang untuk dimasukkan dalam salah satu daripada tujuh kategori manusia yang mendapat naungan Allah pada hari kiamat, seperti yang ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam sebuah riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

Tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari Kiamat (di padang Mahsyar), di mana tidak ada naungan melainkan naungan Allah:- Pemerintah yang adil, seseorang yang hatinya terpaut kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah dan berpisah kerana Allah, remaja yang membentuk dirinya untuk beribadat kepada Allah, seorang lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang rupawan, hartawan dan mempunyai kedudukan, lalu dia berkata, sesungguhnya aku takut kepada Allah (atau sebaliknya), seorang yang mendermakan dengan tangan kanannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui (kerana ikhlas) dan seseorang itu yang mengingati Allah (dengan mengenangkan segala dosa yang dibuat) hingga mengalirkan air mata (kerana takut kepada Allah - Hadis Sohih.

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang itu tidak akan masuk neraka disebabkan dia menangis kerana takut kepada Allah. Hadis riwayat at-Tirmizi.

Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w banyak memberi motivasi kepada umatnya dengan kata-kata hikmat (hadisnya) yang mampu mengalirkan air mata bagi golongan yang memiliki hati yang sejahtera daripada amalan syirik, nifaq dan menyanggah hukum Allah SWT, tetapi bagi mereka yang keras hatinya daripada amalan Islam, atau kosong daripada penghayatan agama, walau dibacakan ayat al-Quran kepada mereka, tetap tidak akan berganjak dan terus berada dalam kesesatan.

Allah SWT menegaskan dalam ayat 23 surah az-Zumar (39) maksudnya: Maka apakah orang-orang yang dibuka Allah hatinya untuk menerima Islam lalu dia mendapat cahaya daripada Tuhannya sama dengan orang keras hati? Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya dari mengingati Allah, sesungguhnya mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata.

Para ulama telah menggariskan beberapa pendekatan bagi memperolehi jalan untuk memastikan agar air mata yang mengalir itu adalah disebabkan takut kepada Allah SWT:-

1- Bergaul dengan para solihin di kalangan orang-orang alim yang sering mengingatkan diri kepada Allah, serta merasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan agama-Nya yang semakin hari semakin tercemar dengan tindakan orang-orang Islam sendiri.

2- Memerhati alam sekeliling ciptaan Allah bagi membangkitkan diri daripada alpa kepada istiqamah dengan Islam dengan merasakan Allah Maha Agung dalam penciptaan-Nya.

3- Sentiasa melakukan muhasabah diri terhadap segenap kesalahan yang pernah dilakukan, ia tidak dapat dikesan melainkan duduk bersama dengan golongan ahli ilmu.

4- Mencari atau menyediakan persekitaran yang baik adalah salah satu kaedah untuk mampu menangis kerana takut kepada Allah.

5- Mencari contoh teladan yang baik lagi solih bagi mencerminkan diri kepadanya.

Jika semua perkara di atas dapat dilakukan, nescaya seseorang muslim itu berjaya menemui noktah penting bagi menjamin dirinya untuk terus menangis kerana takut kepada Allah SWT. @@@

ALLAH MAHA PENGAMPUN

ANAS BIN MALIK MELAPORKAN, BELIAU SENDIRI PERNAH MENDENGAR NABI MUHAMMAD SAW BERKATA, “ALLAH BERKATA, ‘WAHAI MANUSIA, SELAGI KAMU BERDOA DAN BERHARAP KEPADAKU, SELAGI ITU AKU AMPUNKAN DOSA-DOSAMU DAN AKU TIDAK PEDULI BETAPA BANYAK DOSA ITU. WAHAI MANUSIA, SEKALIPUN BANYAKNYA DOSA-DOSAMU ITU SAMPAI MENCECAH AWAN, APABILA KAMU MEMINTA AMPUN, AKU AKAN AMPUNKAN. WAHAI MANUSIA, APABILA KAMU DATANG DENGAN DOSA-DOSA YANG MENUTUPI SELURUH MUKA BUMI BANYAKNYA, TETAPI APABILA KAMU DATANG KEPADAKU DENGAN TIDAK MENYEKUTUKAN AKU WALAU SEDIKIT PUN, AKU BERIKAN KEPADAMU KEAMPUNAN SEPENUH MUKA BUMI.”


SUJUD YANG TERAKHIR Hisham AR

Solat adalah ibadah induk dalam Islam, tiang agama, dan amalan yang pertama2 akan di hisab di Akhirat besok. Tanpa solat segala amalan lain seolah2nya tiada nilaian lagi di sisi Allah. Pada tazkirah mingguan saya di PA syarikat hari ini, sekali lagi saya mengingatkan pada manusia yang lalai dalam solat atau yang lagi teruk insan2 yang sudah meninggalkan solat tanpa rasa bersalah sedikit pun seolah2 ianya tidak apa2, kerana hidup yang tetap mewah dan selesa, pangkat yang tinggi dan sanjungan di sana sini, agar segera insaf dan tidak alpa mendirikan solat lagi.

Walaupun persoalan solat ini sudah kita dengari semenjak kecil lagi, namun majoriti umat yang mengaku Islam masih lagi tidak solat. Atau jika solat pun masih lalai dan tidak dapat kenikmatan atau kebaikannya. Maka di mana silapnya? Ingatlah hanya ada 3 golongan manusia dalam dunia yang fana ini. Mukmin iaitu manusia Islam dan beriman dengannya. Munafik iaitu manusia yang mengaku Islam namun tiada iman, meninggalkan apa yang di suruh, atau sekadar menunjuk2 dalam beribadah tanpa ikhlas. Dan yang ketiga, Kafir iaitu manusia bukan Islam. Maka diringkaskan cerita, muhasabah diri dan letakkan diri kita pada kelompok yang mana. Yang jelas manusia yang mengaku Islam namun tidak mendirikan solat atau lalai dalam solatnya maka yang paling layak baginya adalah kelompok Munafik, Nau’zubillah.


Dalam Bab 20 kitab Khusyuk Dalam Solat karya TGNA yang saya rujuk untuk tazkirah pagi itu mengajak kita merasai keajaiban sujud terakhir dalam kita mencari sebuah solat yang khusyuk. Setiap kali ruku’ dan sujud, sentiasalah membaharui ingatan kepada Allah SWT. Setiap kali mengangkat kedua-dua tangan dan bertakbir bagi perpindahan rukun kepada ruku’ dan juga sujud itu bagaikan seorang yang menyerah diri, minta belas kasihan serta perlindungan dari seksa. Manakala tunduk meletakkan dahi ketika sujud pula hendaklah merasakan bahawa kita sedang merendah atau menghina diri kepada satu zat Allah Yang Maha Agung, dan apabila kita merasa kehebatan Allah Yang Maha Agung maka ketika itu kita juga perlu merasai bahawa diri ini Amat kecil dan terlalu kerdil di depan Allah SWT.

Perasaan itu hendaklah sentiasa tumbuh dan disuburkan di dalam hati ketika ruku' dan sujud agar ia menyedari betapa hebat, perkasa, mulia dan agungnya Tuhan yang disembah itu. Sekaligus merasai betapa hinanya diri, apatah lagi bila mengenang asal manusia adalah dari setitik air yang hina. Apabila ia telah memasukkan kalimat Tuhan di dalam hatinya ketika solat itu, maka dengan sendirinya akan terbitlah rasa khusyuk dan elok perlaksanaan solatnya. Dengan rasa demikian yang sentiasa subur di dalam hati, maka tumbuhlah rasa taat kepada segala peraturan-Nya. Dengan sendirinya akan lenyap ciri2 sifat engkar dalam diri kerana kita sedar betapa kecilnya kita di depan kekuasaan Allah SWT.

Rupa bentuk ruku’ di dalam solat pada zahir perbuatan menunjukkan betapa seseorang itu sedang surrender atau menyerah, malah seperti minta dikasihani. Oleh kerana solat fardhu dalam satu hari satu malam itu mengandungi 17 rakaat, maka bererti 17 kali jugalah ia ruku’ atau tunduk menyerah diri kepada Zat Allah Yang Maha Perkasa itu. Jika sebanyak itu manusia tunduk menyerah kepada Tuhan, maka manusia mana lagi yang mampu untuk membantah atau engkar kepada Tuhan.


Sujud bererti seseorang itu telah meletakkan wajahnya di tempat yang paling rendah di muka bumi.
Ini bermakna ia telah meletakkan seluruh dirinya di atas tanah. Dengan sujud juga bererti dia telah mengingatkan dirinya terhadap punca asal kejadian manusia itu dari tanah dan mengembalikan dirinya kepada tanah. Apabila ia telah sanggup menghantar dahinya dan juga dirinya ke tempat yang hina, maka tidak mungkin ia akan bersikap sombong lagi terhadap Allah SWT yang menciptakan dirinya dan tanah itu.

Sesungguhnya asal kejadian manusia itu seperti yang dijelaskan di dalam al-Qur’an adalah dijadikan dari tanah, maka setiap kali seseorang itu sujud maka ia bertujuan mengasuh hatinya bahawa ia kelak akan dikembalikan kepada tanah iaitu menemui kematian seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT. Dengan demikian bererti sujud itu juga mengasuh hati manusia bukan saja supaya mengingat akan akan asal kejadiannya, tetapi ia juga akan dikembalikan ke tanah iaitu menemui ajal kematian. Maka setiap kali sujud sewajarnya seseorang itu sentiasa ia mengingati akan mati, apabila ia mengingat akan mati maka terasalah olehnya bahawa seolah-olah solatnya itu sebagai solat yang penghabisan. Setiap kali ia sujud seolah-olah ia tidak akan bangun lagi.


Sedangkan kematian itu adalah pintu bagi seseorang memasuki gerbang akhirat. Dalam keadaan demikian maka hati akan merasa gerun dan merasa kebesaran Allah SWT, dan ketika itulah ia membaharui lagi di dalam hatinya untuk mensucikan Zat Allah Yang Maha Tinggi, di samping lidah mengucapkan perkataan Subhana Rabbi al-A’la wa-Bihamdih.


Justru itu saya sekali lagi ingin menyeru kawan2 sekelian supaya mendirikan solat. Dalam platfom dakwah yang pelbagai, maka saya gunakan platfom tazkirah di PA syarikat saya, buletin surau, media e-mail, dan posting dalam blog sebagai medan dakwah saya. Sesungguhnya dakwah itu adalah sebuah proses yang berterusan. Masing2 punyai sumbangan tersendiri, insyaAllah. Semoga di penghujung ada hidayah Allah untuk menggerakkan hati2 kita semua kepada penghayatan dan pengertian tanggung-jawab sebenar seorang Hamba kepada Tuhan nya. Semoga kita tergolong di kalangan Mukmin yang mendapat redha-Nya. @@@


Telah berkata Hujjatul-Islam, Iman Ghazali rahimullah "Jika anda ingin memilih sahabat, hendaklah anda periksa 5 perkara berikut:

  1. Akal fikiran
  2. Baik budiperkerti
  3. Lurus perjalanan
  4. Tidak terlampau menggantungkan diri kepada dunia semata-mata
  5. Tidak bercakap dusta

Setelah menjadikan seseorang sebagai sahabat atau teman dan sesudah terjalin persahabatan dan ramah-mesra, maka ketika itu ada pula beberapa hak dan kewajipan yang seharusnya kita laksanakan, di antaranya:

  1. Hendaklah mengharapkan sesuatu yang baik baginya sebagaimana kita mengharapkan bagi diri sendiri.
  2. Membenci sesuatu yang tidak baik baginya sebagaimana kita membencinya bagi diri sendiri.
  3. Hendaklah mengambil berat tentang urusannya, mengingat kebaikannya serta gembira ketika ia gembira dan bermuram ketika ia merasa sedih.
  4. Hendaklah berusaha untuk menimbulkan kegembiraan di dalam hatinya.
  5. Hendaklah memelihara namanya di waktu ia masih hidup mahupun sudah meninggal dunia.
  6. Hendaklah membantu keluarganya walaupun sesudah ia meninggal dunia.
  7. Hendaklah membantunya ketika ia dalam keperluan/kesulitan".

Bercakap mengenai teman atau kawan ni.. alhamdulillah ramai sudah bilangan kawan yang bertamu di hati saya sehingga ke hari ini. Selari dengan perjalanan hidup dalam melalui berbagai peringkat usia, kawan datang dan bertukar silih berganti. Namun sehingga kini, syukurlah kerana masih ada bilangan kawan yang tetap menjadi sahabat biarpun masa beredar dan suasana bertukar.

Sahabat yang baik itu dapat kita kenal bila sudah lama kita bersahabat dengannya, bila sudah melalui bermacam perkara atau pengalaman bersama-sama yang dari situ kita dengan sendirinya boleh menilai apakah seorang sahabat kita itu merupakan intan atau kaca.

Hidup kita ibarat roda yang berputar, ada masa kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Semasa kita di atas kita biasanya tidak kisah dan tidak begitu memandang berat siapa sahabat sejati kerana kita punya banyak kemampuan untuk tidak merasa perlunya bergantung kepada seseorang sahabat.

Namun bila kita berada di bawah, tiada kelebihan dalam urusan agama maupun urusan dunia untuk dimuliakan, agak kesempitan dalam harta duniawi maka dengan sendirinya akan terasa kerenggangan persahabatan dengan orang yang kita anggap kawan di masa kesenangan kita dulu.

Itu lah adat dunia dan itulah hakikat manusia. Semuanya bermula dari hati di mana hati itu ialah penghulu segala anggota. Padanya tersimpan semua asas akidah, akhlak dan budipekerti, niat yang baik dan niat yang tidak baik. Tiada kebahagiaan di dunia mahupun akhirat selagi hati itu belum dibersihkan dari sifat-sifat buruk yang tercela untuk kita segera menyerikannya pula dengan sifat-sifat yang terpuji.

Saya seringkali teringat akan firman Allah iaitu: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling banyak taqwanya kepada Allah" (Al-Hujarat:13)

Moga Allah swt menggolongkan kita sekelian ke dalam kumpulan orang-orang yang lurus dan bersih hatinya lahir dan batin. InsyaAllah.

www.pkasih.blogspot.com




Permohonan Dari Seorang Suami

norazmanad@yahoo.com


Meon bin Malau
69, Jalan Daun Mengkudu,
Simpang Empat,
24300, Pokok Sena
Kedah.

Puan Tijah binti Saad
69, Jalan Daun Mengkudu,
Simpang Empat
24300, Pokok Sena
Kedah. 1 December 2008

Puan yang dihormati,

PERKARA: PERMOHONAN UNTUK BERPOLIGAMI

Perkara di atas adalah di rujuk.

2. Sebab utama permohonan ini di lakukan adalah kerana saya ingin melengkapkan kuota yang telah di peruntukkan bagi saya. Buat masa ini kuota yang telah di isi cuma satu, memandangkan masih ada 3 kekosongan, eloklah jika dapat di penuhi secepat mungkin. Pihak yang akan mengisi satu kekosongan ini buat masa ini ialah Cik Fasha Sandha binti Hj Ismail Awang yang merupakan setiausaha saya di pejabat. Memandangkan komitmen yang beliau tunjukkan di pejabat amat baik, eloklah jika kita masukkan dia bersama kita di dalam organisasi keluarga kita. Kekosongan yang selebihnya akan di isi di masa akan datang.

3. Untuk makluman pihak puan, yang sebenarnya masalah ini telah lama saya fikirkan tetapi memandangkan pada masa itu masalah kewangan dan faktor-faktor lain yang tidak dielakkan, terpaksalah saya tangguhkan dulu permohonan ini di samping kurangnye rasa keyakinan diri pada waktu itu untuk mengemukakan permohonan ini. Kini, setelah syarikat saya mendapat sedikit keuntungan dan juga mendapat hasil dari pengeluaran duit pelaburan ASB saya, saya merasakan kembalinya semangat atau keyakinan saya yang telah hilang selama ini.

4. Permohonan ini amat setimpal kerana dengan kedudukan sekarang ia menguntungkan kedua belah pihak dan juga pihak ketiga. Selama ini hidup kita bahagia sebab jika tidak, manakan mungkin puan dapat menjadi seperti sekarang. Semua yang puan miliki sudah bertambah besaq. kereta besaq, rumah besaq, rantai emas besaq, gelang emas besaq, tv plasma besaq dan puan sedia maklum jika melihat diri sendiri di kaca cermin di bilik ayaq. Oleh itu, sudilah kiranya dapat kita kongsi bersama dengan insan lain diatas kebahagiaan kita ini.

5. Dalam masa yang puan juga akan dapat menikmati faedah dari kelulusan permohonan ini kerana puan akan tetap menikmati apa yang telah puan miliki sekarang dengan waktu bekerja lebih singkat dan sistem syif akan di perkenalkan iaitu 1 hari kerja dan 1 hari cuti rehat. Waktu bekerja yang selebihnya akan ditampung oleh pihak ketiga. Kebaikan yang puan akan nikmati ialah waktu rehat yang cukup bebas kerana dalam waktu puan bercuti, saya selaku Penyelia tidak akan memantau segala aktiviti-aktiviti yang puan lakukan. Pada waktu itu saya cuma akan fokus kepada hasil kerja pihak ketiga. Menguntungkan bukan?

6. Segala kerjasama dari pihak puan saya dahulukan dengan ribuan terima kasih. Saya amat berharap pihak puan dapat segera meluluskan permohonan saya ini di bulan hijrah yang penuh berkat ini dan bersama-samalah kita berhijrah mengubah minda kita supaya lebih terbuka dalam isu-isu seperti ini supaya ia dapat menjadi satu contoh ikutan atau tauladan kepada insan-insan lain supaya lebih berani dalam menyahut cabaran yang penuh dugaan ini. Ingatlah adat kita orang melayu haruslah di jaga dengan baik dan penuh sopan bak kata pepatah Melayu dulu: Gadis Acheh berhati gundah, Menanti teruna menghulur tepak, Gula manis sirih menyembah, Adat dijunjung dipinggir tidak. Semoga permohonan saya ini di balas dengan senyuman dan tandatangan atau cap jari kanan dengan penuh keikhlasan dari pihak puan dan bukannya balingan periuk nasi, pinggan-mangkuk, ketukan senduk dan perkara-perkara yang menyukarkan pihak puan untuk melakukannya.

7. Janganlah ada rasa berat dihati diatas permohonan ini dan hadirkanlah senyumanmu sebagaimana ketika kita menyambut orang baru iaitu bayi kita kedalam keluarga kita 10 tahun lepas. Situasinya lebih kurang sama dengan masa kini. Kita akan menerima orang baru juga cuma bezanya ialah jika 10 tahun yang lepas kita perlu menjaga dan membelainya dengan manja bersama-sama tidak kira malam atau siang pendek kta Berat sama Dipikul, Ringan sama Dijinjing, tetapi bezanya kali ini setiap urusan terperinci tentang penjagaan dan belaian manja itu akan di tanggung dan dilaksanakan oleh saya sepenuhnya.

8. Akhir kata, saya harap permohonan saya ini dapat dibalas secepat mungkin. Semoga kita bersama-bersama dengan pihak ketiga akan dapat melaksanakan program ini dengan jayanya dan saya ingin sudahi surat permohonan ini dengan rangkap pantun: Walau bunga banyak di taman, Bunga mawar masih kupuja, Walau sudah mendapat teman, Rupa wajahmu tidak ku lupa.

Sekian, Terima Kasih.

"BERKORBAN DAN BERKONGSI KEBAHAGIAAN LAMBANG RUMAHTANGGA BAHAGIA"

Yang Ikhlas Memohon,

Meon bin Malau

HAKIKAT PERKAHWAINAN

Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat itu atau ini. Hakikatnya, apabila kita benar² mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah. Kita selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya orang itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tengah² bandar raya. Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar² membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya.Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat di samping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing² padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata? Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa² belum bersedia untuk bersabar dgn kerenah anak², carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik. Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar² mengerti tuntutan2nya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus² bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui rahsia²nya. @@@


MENCARI BAROKAH www.saufulislam.com

"Hasrizal, malam ini kamu gorengkan ayam boleh tak?", Fatih bertanya. "Goreng cara Turki, atau cara Malaysia?", saya bertanya dengan nada gurau. "Kalau cara Turki, baik saya sendiri sahaja yang melakukannya. Saya ini tidaklah sejahil yang kamu semua sangkakan.", Fatih cuba mempertahankan kelemahan dirinya yang tidak mahir di dapur. Faruk dan Hasan turut ketawa.

Setiap kali saya berkunjung ke Istanbul, Fatih mesti akan meminta saya menggorengkan ayam ala Malaysia. Sebenarnya, ayam goreng ala Malaysia yang dia maksudkan itu hanyalah ayam yang digoreng dengan serbuk kunyit serta secubit garam. Kalau orang Turki, ayamnya tidak digoreng begitu. Mereka lazim menggoreng ikan dan ayam dengan tepung gandum bercampur tepung beras dan sedikit serbuk lada putih.

Syukur Alhamdulillah, persahabatan saya dengan Fatih dan rakan-rakan yang lain memberikan peluang kepada kami untuk belajar banyak perkara baru. Seperkara tentang orang Turki yang menarik perhatian saya adalah sikap mereka yang cermat terhadap perkara-perkara yang kecil dan halus. Kadang-kadang pada kita, hal seperti ini tidak mempunyai sebarang signifikasi, tetapi bagi orang Turki, mereka cukup mengambil berat mengenainya.

TERTIB ORANG ISTANBUL

Saya masih ingat, semasa yang bertandang ke rumah Mahmud Bilici, rakan baik saya semenjak di Jordan. Beliau merupakan pelajar Turki yang disegani oleh rakan-rakan Turki yang lain di Amman. Mungkin sifat rendah diri, keluasan ilmu dan kefasihan Bahasa Arab yang dituturkannya, menjadikan beliau begitu karismatik seawal hari pertama saya bertemu dengan Mahmud.

Saya bertandang ke rumah Mahmud yang terletak di Draman. Ia tidak jauh dari Masjid Ismail Aga Camii yang menjadi markaz Tarikat Naqsyabandiyyah di Istanbul. Malam itu sebelum kami melelapkan mata, saya meminta segelas air masak untuk membasahkan tekak. Mahmud mengambil cawan yang tersimpan di rak pinggan, membasuhnya terlebih dahulu sebelum diisi dengan air yang diminta.

Saya kagum dengan ketelitian Mahmud. Kalau saya, mungkin cawan yang sudah sedia bersih itu akan terus diisi dengan air masak. Tetapi Mahmud membilasnya dengan air terlebih dahulu sebelum diisi dengan air masak. Orang Turki memang pembersih. Saya juga selalu melihat tong sampah di lokasi pembuangan sampah di Istanbul diberus dan dibersihkan oleh pekerja Istanbul Buyuksehir Belediyesi (Dewan Kota Metropolitan Istanbul) dengan berus dan air. Wah, tong sampah pun mesti bersih dan kemas!

Kebersihan rumah kawan-kawan Turki juga sentiasa mengagumkan saya. Walaupun ada di kalangan mereka yang merokok, rumah bujang perokok mereka juga masih bersih. Buku-buku tersusun rapi, pakaian elok terletak, malah bilik mandi dan tandas juga tidak pernah bercampur. Kebanyakan rumah di Istanbul, mempunyai sekurang-kurangnya dua bilik air. Maka satu digunakan untuk mandi manda dan satu lagi dikhususkan untuk buang air. Bilik mandi pula lazimnya berkarpet dan saya belajar untuk mandi dan berwudhu' tanpa membasahkan karpet itu. Hmm, agaknya kalau ada orang Turki yang bergaduh laki bini, tidur dalam bilik air pun masih okay lagi.

Saya kira, kebersihan yang terbit dari iman, memang benar-benar dapat dirasakan di Turki. Kalau di masjid, berhati-hati. Anda mungkin akan diminta keluar oleh 'orang masjid' sekiranya anda masuk ke masjid dengan stokin yang 'tidak molek'. Apabila anda keluar dari pintu masjid, junjung kedua-dua pasang kasut anda ke atas kerana orang Turki tidak mahu kasut yang dijinjing menyentuh pakaian orang lain.

Tidak lupa, di sesetengah masjid, seperti yang pernah saya lihat di Bursa, akan dikhususkan masa sekitar jam 10 pagi untuk kaum ibu sahaja. Mereka datang ke masjid untuk mengelap dinding, anjung tingkap, tiang dan perabot masjid, agar sentiasa bersih dan kemas. Saya belajar bagaimana tuntutan iman menjadi corak hidup, semasa saya di Turki. Malah soal teliti mereka dengan perkara-perkara yang sering dipandang ringan oleh sesetengah kita, mempunyai akar umbi yang panjang di era Islam Othmaniyyah.

TERTIB DI ERA OTHMANIYYAH

Sultan Suleyman al-Qanuni yang memerintah Khilafah Othmaniyyah dari tahun 1520 – 1566 telah memberikan contoh yang sama. Semasa beliau mengeluarkan belanja sendiri membina Masjid Suleymaniye di Istanbul, Sultan Suleyman telah mewajibkan semua pekerjanya bekerja membina masjid itu dalam keadaan berwudhu'. Tentunya ia tidak ada dalam 'rukun membina masjid'. Tetapi ada sesuatu yang ingin dicapai oleh baginda. Sultan Suleyman akan memecat sesiapa yang diketahuinya tidak mematuhi syarat tersebut. Apakah yang terhasil daripada ketelitian Sultan Suleyman terhadap perkara-perkara kecil begitu? Jawapannya adalah BARAKAH.

Masjid Suleymaniye pernah ditutup di zaman Atatürk dan dijadikan kandang kuda. Ia pernah dicemar hingga ke tahap itu. Tetapi hari ini, apabila saya bersolat di Suleymaniye Camii, saya mendapat suatu 'rasa' yang sukar diungkapkan dengan kata. Tenang, tenteram, rasa mahu dan mahu menambah ibadah, pelbagai perasaan yang positif itu mungkin datang dari sebuah masjid yang ada barakah. Masjid yang dibina dengan mengambil kira soal remeh-temeh yang hari ini tidak kita pedulikan.

MEHMET VS MUHAMMAD

Soal orang Turki yang teliti dengan perkara-perkara yang halus ini, mengingatkan juga saya kepada perbualan bersama Pakcik Mehmet, ayah Fatih, semasa kami bercuti di Bolvadin. "Pakcik, saya ingin bertanya sesuatu tentang nama pakcik. Bolehkah?", saya bertanya kepada Pakcik Mehmet, ayah Fatih. "Tentu sahaja, nak. Tanyalah. Kenapa pula dengan nama pakcik?", ayah Fatih sedikit terkejut dengan permintaan saya.

"Saya terfikir, orang Turki ramai yang bernama Mehmet seperti pakcik. Saya kira Mehmet itu bermaksud Muhammad, kan?", saya bertanya. "Betul. Mehmet bermaksud Muhammad. Kenapa, Hasrizal?", tanya Pakcik Mehmet kepada saya. "Jika nabi kita, nama baginda disebut Muhammed. Hazreti Peygamber Muhammed. Mengapa nama Rasulullah disebut Muhammad sedangkan nama pakcik disebut Mehmet?", saya cuba mencari penjelasan dari pakcik.

"Oh, itu rupanya soalan kamu. Setahu pakciklah, nama Muhammad itu kami khususkan hanya pada baginda Rasulullah SAW. Bukan apa. Kalau kami namakan anak-anak kami sebagai Muhammad, nanti kalau mereka buat hal, tercemar pula nama Rasulullah", kata Pakcik Mehmet. "Tercemar macam mana tu?", saya kurang faham apa yang Pakcik Mehmet maksudkan.

"Bayangkan, kalau si Fatih ni pakcik namakan Muhammad. Tiba-tiba dia mencuri buah epal jiran sebelah. Nanti apa kata orang kampung? Isy, jahat sungguh Muhammad tu. Curi epal jiran! Hah, kan tak elok, perbuatan mencuri dinisbahkan kepada nama semulia Muhammad!", Pakcik Mehmet begitu bersemangat bercerita kepada saya. Terlopong saya dibuatnya!

Begitu sekali mereka mengambil kira soal 'sekecil ini'. Maka amat tidak benarlah apa yang pernah ditulis oleh seorang penulis di dalam akhbar di tanah air. Sekembalinya beliau dari lawatan di Turki, beliau menulis dan menyentuh secara khusus isu nama Mehmet ini. Katanya, orang Turki sudah terlalu sekular sehingga hendak menyebut nama Rasulullah pun sudah tidak mampu. Sudah pelat, katanya. Walhal pemikiran penulis itu yang pelat! Menafsirkan budaya orang lain dengan pandangan sendiri. Mujur artikelnya di dalam Bahasa Malaysia. Kalau dibaca oleh orang Turki, tentu tersinggung hati mereka dengan persepsi kita seperti itu.

PELAJARAN DARI SERBUK KULIT ROTI

Ayam sudah siap terhidang. Lama pula saya mengelamun. Pelbagai perkara yang mengimbau ingatan saya sambil memasak di dapur. Kebetulan Fatih, dan rakan-rakan yang lain sedang sibuk menelaah pelajaran untuk peperiksaan akhir semester. Saya sudah selesai menjalani peperiksaan yang sama di Jordan dua minggu lalu. Kehadiran saya ke Turki sekurang-kurangnya dapat membantu kawan-kawan saya ini belajar dengan lebih baik. Biar soal makan minum, saya bantu seadanya.

"Fatih, Islam, Hasan, Faruk, Osman, marilah makan!", saya menjerit memanggil mereka yang khusyuk di meja membaca masing-masing. Setiap kali makan, kami akan membentangkan dua keping surat khabar lama. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan sisa makanan tidak jatuh ke karpet. Akan tetapi, malam itu perhatian saya terpaut kepada tindak-tanduk rakan saya ketika makan, terutamanya Islam. Setiap kali beliau mematahkan roti, beliau akan melakukannya di atas mangkuk nasi. Seandainya masih ada serbuk-serbuk dari kulit roti itu bertaburan di atas lapik, Islam akan mengumpulkannya untuk dimakan. Tidak ada langsung sisa makan yang terbuang.

"Islam, saya suka tengok cara awak makan. Tidak ada yang tersisa langsung. Berkat, berkat…!", saya memuji Islam. "Betul Hasrizal. Ia soal keberkatan. Walaupun macam-macam yang kita makan,kita tidak tahu pada bahagian mana makanan kita yang Allah pilih sebagai asbab untuk-Nya menurunkan barakah", kata Islam.

Ya, apa yang Islam katakan itu memang benar. Ia mengingatkan saya kepada sepotong hadith Nabi SAW: Dari Jabir, beliau mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Apabila sesiapa dari kalangan kamu makan, dan jatuh sejemput dari tangan, maka bersihkanlah habuk yang terlekat pada makanan itu dan hendaklah dia memakannya. Jangan tinggalkan bahagian itu untuk syaitan. Dan janganlah dibersihkan tanganmu dengan kain pengelap sehingga dia telah menjilat (jari-jari) nya. Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu pada bahagian manakah makanannya yang diberkati Allah.”

Islam telah mengingatkan saya kepada pelajaran yang amat berharga. Pakcik Mehmet juga telah mengingatkan saya tentang ilmu yang berguna. Jangan pandang kecil, selagi ia berupa satu kebajikan dan kebaikan. Penilainya adalah Tuhan, Allah yang menilai amal pada harga sebuah iman. Jangan tangguhkan kebaikan yang kecil semata-mata mahu menunggu peluang amal yang besar. Itu di Turki.

TERTIB MAK ANJANG DI LONDON

Hal ini juga mengingatkan saya kepada peristiwa semasa saya berjamu makan di rumah Pak Anjang saya di Baker Street, London. Pagi itu, kebetulan Pak Ngah sekeluarga datang dari Malaysia. Maka kami semua berkumpul di rumah Pak Anjang. Rumah di Baker Street ini Pak Anjang belikan untuk anaknya, Ziad yang belajar di Westminster University, di seberang jalan.

Saya amat kagum semasa melihat Mak Anjang memasak di dapur. Lebihan nasi malam tadi dikumpulkannya. Kemudian kerak nasi itu pula direndam di dalam air panas dan kemudian ditos. Semua bahagian nasi yang berlebihan malam tadi, Mak Anjang gunakan untuk memasak nasi gorengnya. Tidak ada bahagian makanan mana yang tersisa. Mungkin ini sebahagian daripada sikap Mak Anjang sekeluarga yang menjadi tangga mereka membina kehidupan yang berjaya. Walaupun sudah bertaraf jutawan, Mak Anjang dan Pak Anjang sekeluarga masih mengambil kira soal-soal kecil seperti kerak nasi di dapur.

Saya amat menghargai pelajaran itu. Marilah kita bersama-sama menghitung dan mengambil kira benda-benda kecil yang kita abaikan selama ini. Mungkin pada yang kecil halus itulah Allah menyentuh kehidupan kita dengan barakah. Sebagaimana kebaikan yang kecil mungkin menjadi punca keberkatan Allah, maka berhati-hati jugalah dengan dosa-dosa yang kita anggap kecil. Ia menjadi punca murka Allah. Dalam setahun, mungkin seorang dua sahaja warga negara kita yang mati dibaham harimau. Namun, jumlah yang mati kerana gigitan seekor nyamuk, jauh berganda. Yang kecil jangan dipandang remeh, yang besar yang disangka segala-galanya.

Mari luruskan saf, mari kemaskan saf, mari habiskan makanan, mari pelihara adab dalam iman. Murahkan senyuman, banyakkanlah membuat kebaikan yang mudah dan kecil tapi berpanjangan.Mengubah ranting dari jalan agar jangan ada yang kesakitan, memandang wajah saudara dengan air muka manis penuh senyuman. Banyak-banyakkan berbuat kebaikan, tidak diketahui yang mana bakal dipilih Tuhan, jadi pemboleh ke syurga yang berkekalan. Jangan pandang kecil pada RM1 yang mahu didermakan kepada mustadh'afeen di Palestin! Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. @@@

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU - 1430 HIJRAH & 2009 MASIHI


Wednesday, August 27, 2008

Ramadhan Berkunjung Lagi

Alhamdulillah pada hari Isnin ini kita akan mula berpuasa Ramadhan. Jadikan lah Ramadhan tahun ini sebagai yg terakhir buat kita dan lakukan dengan terbaik. Ramadan tahun depan tidak tentu lagi kita ketemui.

Wahai orang2 yang beriman! telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga2 kamu bertaqwa. (Al-Baqarah: 183)

Di dalam bulan Ramadhan juga, Allah SWT telah menurunkan Al-Qur'an, dan dipilih di antara malam2nya suatu malam Lailatul-Qadr, yg mana ia adalah lebih utama dari 1000 bulan (kira2 83 tahun).

Sabda Rasulullah SAW: Mulanya (bulan Ramadhan) rahmat, tengahnya pengampunan, dan akhirnya merdeka dari api neraka.

Justru itu marilah kita sama2 memperbanyakkan kebajikan di bulan Ramadhan ini. Ganjaran Allah pada bulan ini adalah digandakan di samping pahala yang banyak dan kemudahan terdorongnya seseorang untuk melakukan yg baik. Alangkan ruginya kita jika masih bermalas2 dan mensia-siakan peluang yg hebat ini.

Tuesday, July 31, 2007

Buletin Surau No.8

*** ﻪﺗﺎﻛﺮﺑﻭﷲﺍﺔﻤﺣﺭﻭﻢﻜﻴﻠﻋﻭﻡﻼﺴﻟﺍ ***

Bertemu kita di Buletin Surau Pernec edisi ke lapan. Alhamdulillah, kita kini sudah berada di penghujung bulan Julai 2007 bersamaan dengan bulan Rejab 1428 Hijrah. Maknanya kita sudah melangkah ke trilogi bulan-bulan yang penuh barokah. Rejab bulan Allah. Di susuli dengan Syaaban bulan Rasulullah dan Ramadhan al-Mubaraq bulan penuh mulia untuk umat Rasulullah seluruhnya. Justru marilah kita sama-sama panaskan badan dari sekarang untuk mara menuju kemuliaan dan kesejahteraan di dunia dan lebih-lebih lagi untuk akhirat yang kekal abadi.

Ramadhan pembakar semangat. Ganjaran pahala yang berlipat ganda. Peluang pelaburan yang terbaik dengan pulangan yang maha hebat. Perbetulkan nawaitu kita kerana Allah. Zahirkan melalui amalan kita InsyaAllah. Kita mantapkan Aqidah iaitu persoalan Iman kepada Allah, MalaikatNya, Wahyu dalam Kitab-kitabNya, Pesuruh-pesuruhNya, Hari Akhirat, dan Qadha dan Qadar. Kita kukuhkan persoalan Syariah iaitu mengenai Ibadah dan Muamalah. Dan perbaiki Akhlak iaitu akhlaq terhadap Allah dan akhlaq terhadap makhluk. Semoga perjalanan kita menuju Ramadhan tahun ini lebih teratur, penuh perancangan dan sistematik.

Buletin kali ini menyentuh topik Ego iaitu satu sifat mazmumah yang perlu dikikis sebagai satu penawar bagi hati dan peribadi.

Dalam persoalan murtad, memetik kata-kata Ust Mohd Fikri Abdullah pada ceramah perdana tempoh hari, antara penyebabnya ialah percintaan, perkahwinan, pengaruh filem hiburan, kesempitan hidup, lemah pegangan agama, jahil tentang aqidah, pengaruh kebendaan, pengaruh persekitaran, tiada suasana yang membentuk keimanan, pengaruh kelompok tertentu, tidak ada pembimbing, hubungan keluarga yang rapuh, terlanjur, dan penguatkuasa undang2 yang lemah.

Menjadi tanggung jawab setiap kita yang mengaku Islam ini untuk menjaga hati, amalan dan lisan supaya tidak tergelincir aqidah hingga batal keislaman. Janganlah terpedaya dengan ajaran sesat aqidah dengan sama2 meningkatkan kesedaran melalui aktiviti dakwah, menghayati sunnah, dan menguatkan iman bermula dengan keluarga kita masing2, insyaAllah.

Seterusnya kita paparkan sebuah artikel menarik oleh Ustaz Hj Zaharuddin dalam permasalahan Aurat. Berdasarkan dalil Al-Quran dan al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati'e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh Syaitan.

Asas umat yang berkualiti bermula dari institusi berkeluarga yang mantap. Justru itu kita sajikan Tips Rumahtangga sebagai pemanis kebahagiaan rumahtangga dalam menuju usia senja. Dan akhir sekali artikel tentang kelebihan Bulan Rejab dan Syaaban yang penuh kemuliaan. Semoga Buletin Surau #8 dapat sedikit sebanyak memenuhi citarasa warga muslim Pernec sekelian. Kita dambakan Rejab yang hebat, Syaaban yang penuh amalan, menuju Ramadhan yang penuh keberkatan. @@@

E G O

EGO atau sombong adalah sifat mazmumah (keji dan tercela) yang wajib ditinggalkan. Ia bermaksud tidak mahu menerima kebenaran, menganggap diri lebih tinggi dan mulia daripada orang lain. Jika ditanya adakah kita tergolong dalam golongan orang yang ego atau sombong, tentu ramai mengatakan tidak.
Sebenarnya kita perlu menilai diri dan menjawab sejujur-jujurnya, sejauh manakah keegoan atau kesombongan dalam hati selama ini. Pernahkah kita mengatakan orang lain sombong?
Kadangkala perkelahian dan perselisihan pendapat menyebabkan kita tidak bertegur sapa untuk beberapa hari. Dalam hal ini, adakah kita mulakan salam kepadanya atau menunggu dia memulakan dulu?
Jika kita enggan menegur dulu, bermakna kita sombong dan ego. Orang yang merendah diri akan berbaik semula dengan temannya, tanpa menghiraukan maruahnya tercemar atau menampakkan dia yang bersalah.
Sebenarnya orang yang mengatakan orang lain itu sombong atau ego menunjukkan dirinya yang ego. Bukankah Islam menuntut umatnya saling bertegur sapa dan mengeratkan hubungan silaturahim.
Orang yang ego selalu mengiyakan pendapat atau pandangan orang lain apabila berhadapan dengan orang ramai. Di belakang mereka, dia akan mencaci dan menganggap pendapat itu tidak bernas, malah merendahkan personaliti orang berkenaan. Orang sombong juga enggan mengalah walaupun dia bersalah. Dia sanggup bertegang urat asalkan dia menang.

Mereka yang sebegini akan berasa puas apabila melihat orang lain diam dan hanya mengiyakan kata-katanya. Dia langsung tidak menghiraukan larangan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan taatilah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46)
Antara sifat sombong atau ego ialah tidak memaafkan kesalahan orang lain terhadapnya. Bagaimanapun, apabila dia melakukan kesalahan tidak pula berasa kesal di atas perkara yang berlaku.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tiadalah Kami mencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu, melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat; dan sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang; oleh itu biarkanlah (golongan kafir yang mendustamu itu wahai Muhammad) serta layan mereka dengan cara yang elok.” (Surah al-Hijr, ayat 85)
Satu lagi sifat ego ialah suka ‘pilih bulu’ dalam pergaulan. Jika kita daripada jemaah A, kita tidak mahu bercampur dengan jemaah B atas alasan dasar perjuangan berbeza.
Kadangkala, kita juga hanya bergaul dengan mereka yang difikirkan setaraf dari segi kemewahan dan pangkat serta pendidikan. Ada juga menganggap diri cukup ilmu agama, hingga enggan bergaul dengan mereka yang kononnya cetek dan tidak mengamalkan Islam sepenuhnya.
Ada juga golongan yang suka mengasingkan diri daripada mereka yang miskin dan susah. Mereka bimbang orang miskin itu akan menyusahkan mereka.

Dalam kehidupan, tanpa disedari kita selalu berkasar dengan orang di sekeliling. Di rumah, seorang ibu atau ayah menunjukkan keegoannya dengan memarahi anaknya, biarpun anak hanya melakukan kesilapan kecil.
Perkataan seperti ‘anak degil’, ‘tidak guna’ dan ‘keras kepala’ menjadi amalan biasa. Natijahnya, tidak hairanlah jika dilihat apabila anak bergaduh sesama mereka, perkataan yang sama akan dilafazkan.
Apabila anak meningkat dewasa, mereka tidak lagi menghormati ibu bapa. Puncanya kerana sewaktu kecil kita menganggap kehadiran mereka menyusahkan dan tidak menghormati mereka sebagai anak.
Allah memerintahkan hamba-Nya agar sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan tidak kasar dalam berbahasa.

Allah berfirman yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kelilingmu. Oleh, itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali Imran, ayat 159) @@@

Sekilas Renungan

Sampaikanlah daripadaku walau pun sepotong ayat. Inilah antara maksud hadis Rasulullah s.a.w dalam memastikan umat Islam sentiasa peka dalam menasihat dan berdakwah mengikut kadar ilmu yang tersimpan dalam diri. Kerja dakwah bukannya seratus peratus terpikul di atas bahu ulama' dan golongan yang belajar agama secara khusus sahaja tetapi ia mesti dijalankan oleh setiap lapisan umat Islam setakat kemampuan dan ilmu yang ada. Jika setiap diri umat Islam memainkan peranan dalam berdakwah maka Islam lebih cepat berkembang dan difahami tetapi kerana setiap individu sering melepaskan tanggungjawab ini kepada orang lain maka ia menyebabkan banyak kerja dakwah terbantut. Jika dikatakan tiada ilmu maka tanyalah diri sendiri sampai bilakah kita akan terus jahil dengan agama sendiri dan bilakah kita akan belajar kembali agama kita.
Adakah disebabkan kesuntukan masa ditelan oleh kesibukan kerja maka ilmu agama sendiri dipinggirkan. Adakah hari mati kita masih jauh yang menyebabkan kita lebih gembira menghabiskan masa untuk mengejar harta sehingga melupakan kita kepada hari akhirat yang semakin hari semakin dekat kepada kita samada kita bersedia atau pun tidak untuk melaluinya. Jika diri umat Islam terus dikuasai dengan material maka selamanya mereka akan ketinggalan dan terhina walau pun di bumi sendiri. Bangkit dari ulikan mimpi indahmu, bangun dari tempat tidurmu. Ayuh kita orakkan langkah, hayunkan tangan untuk maju bersama Islam bagi menggapai kebahagian dunia dan akhirat.
Betapa hina dan kerdilnya kita apabila mendengar kata-kata seorang bekas pegawai kedutaan Amerika di Kuala Lumpur yang menyatakan bahawa beliau lebih arif mengenai Islam walau pun bertugas lebih kurang 10 tahun di Malaysia berbanding dengan orang bukan Islam daripada kalangan Cina dan India yang tidak mengetahui banyak perkara tentang Islam walau pun hidup begitu lama di Malaysia. Di manakah usaha kerajaan dan kita sendiri dalam menyampaikan keindahan Islam kepada orang bukan Islam atau pun kita sendiri jahil malah merasa Islam ini tidak memberi apa-apa kebaikan kepada diri kita apatah lagi kepada orang lain.
Alangkah anehnya diri kita yang begitu jahil mengenai agama kita sendiri sedangkan orang lain begitu rindu dan mengharapkan penjelasan kita mengenai apakah Islam. Islamnya kita berdasarkan keyakinan yang kukuh atau pun disebabkan keturunan atau pun ikutan semata-mata. Tepuklah dada tanyalah iman.
Pendakyah kristian melompat kegirangan memandangkan umat Islam sendiri tidak mengenali identiti diri dan agama mereka. Ini memudahkan kerja mereka dalam mengkristiankan umat Islam dan melawan mereka melalui serangan pemikiran yang sudah tentu ramai umat Islam sendiri tidak mampu melawannya kerana kejahilan yang menguasai diri. Wahai teman, wahai rakan sanggupkah kita membiarkan diri kita terus hanyut dalam mengejar dunia sehingga Islam tergapai-gapai mengharapkan tibanya pembela.
Ya Allah! betapa hinanya kami hari ini walau pun jumlahnya begitu ramai tetapi umpama buih dilaut. Jangan biarkan kami dihina sebegini rupa. Berilah semangat dan bantuan serta istiqamahlah kami dalam memperjuangkan Islam. Islam yang memuliakan kami bukannya jawatan dan harta yang melimpah. Kami rela mati berlapikkan tanah daripada terus hidup bercerminkan bangkai.


Aurat - Apa Sudah Jadi ?
oleh Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Semasa saya memberikan kuliah kepada satu kumpulan wanita yang terdiri dari golongan professional termasuk para Datin di satu daerah, ketika itu, sedang heboh isu wanita seksi ditangkap di sebuah kelab malam. Lalu timbul isu hak peribadi wanita untuk memakai apa jua pakaian yang diingininya, termasuk yang seksi. Lalu, semasa kuliah ini saya mengambil peluang bertanya kepada kumpulan wanita ini soalan mudah berikut :-
"Apakah agaknya sebab wanita ingin memakai seksi dikhalayak ramai? Dengan skirt pendek, atau baju sendat dan nipis?"
Ada di antara mereka mula memberikan pandangan, tetapi kerana terlampau ramai yang bercakap, saya tidak mendengar butirannya. Apabila saya meminta seorang wakil, seorang menjawab dengan yakin.
" Untuk nampak cantik ustaz..." katanya sambil tersenyum malu.
Saya bertanya pula : "Agaknya kepada siapa nak ditunjukkan kecantikan itu?"
"Tentulah kepada kaum lelaki ustaz, kaum wanita pun iye juga.." sambungnya.
"Baiklah, jika lelaki tersebut sudah tergoda dengan kecantikan tu, lalu ingin menyentuh bahagian indah yang dilihatnya boleh tak ?" Tanya saya menguji.
" Isyh, ustaz ni.. tentulah tak boleh ustaz, dah kira ‘sexual harassment' (gangguan seksual) tu ustaz" dengan yakin sekali hujjahnya kali ini.
"Jika demikian, tidakkah para wanita merasakan, tindakan mereka yang memaparkan bahagian yang menarik di tubuh mereka itu juga merupakan gangguan seksual kepada lelaki?" Tambah saya.
" Erm, macam mana tu ustaz?" Tanya mereka dengan nampak sedikit bingung sambil berkerut dahi.
"Ye la, bila orang lelaki yang dah naik syahwatnya tu, kerana kecantikan peha wanita tu contohnya, mestilah terganggu syahwatnya, lalu terdetik keinginan seksualnya secara tidak terkawal" .."Kerana itu saya katakan berpakaian seksi adalah suatu bentuk gangguan seksual kepada orang lelaki di sekelilingnya"
"Cuba bayangkan, kucing yang lapar diacah-acah dengan ikan ‘fresh' yang digoyang-goyankan di hadapannya tentu geram kucing tu, malah silap haribulan, tentu diterkamnya muka orang yang mengacah juga" Tambah saya lagi memberi keyakinan.
"Tapi perlu diingat, tak semua kucing akan terkam, hanya yang amat lapar dan liar je, demikian juga lelaki, tak semua lelaki gagal kawal nafsunya, tetapi tak dinafikan bahawa ramai juga yang gagal dan liar"
"Akhirnya, kerana suasana yang tak sesuai, mungkin kerana ramai orang dan di tempat awam pula, terselamatlah wanita seksi itu dari terkaman lelaki liar tadi. Masalahnya, anak-anak perempuan kecil berumur 7 hingga 12 tahun yang mungkin menjadi mangsa tempiasan nafsu lelaki begini. Dan di ketika itu, samada wanita itu bertudung, berjubah, kanak-kanak dan sebagainya tidak lagi mampu menahan nafsu si lelaki seperti ini, asalkan suasana cukup sesuai (sunyi dan jauh dari pandangan ramai), akan dilepaskan nafsunya secara kekerasan" Terang saya dengan panjang lebar, mereka mengganguk dengan wajah serius kali ini.
Lebih terangnya, sama-sama fikirkan adakah jika para wanita yakin bahawa jika anda berada di hadapan Baginda SAW hari ini, adakah Rasulullah akan tersenyum atau sebaliknya?. Jika sebaliknya, bagaimana pula peluang wanita seperti ini untuk mendapat Syafaat Nabi SAW di akhirat kelak?. Benar, mungkin seseorang wanita itu berjaya meraih pandangan istimewa dari kaum lelaki hasil pendedahan kecantikannya yang memukau. Tapi keseronokan itu hanyalah palsu dan sementara sahaja, serta tidak menambah sebarang nilai buat kehidupan kekal di Barzakh dan Akhirat selain menambahkan tahap azab sahaja. Apa yang jelas, pakaian yang ditunjukkan oleh wanita Arab yang solehah dengan penutupan aurat yang sempurna di zaman ini sudah tentu boleh memberi sedikit info kepada kita bahawa inilah mugkin pakaian yang dipakai oleh wanita Islam di zaman Nabi serta mendapat redha dari mata dan hati baginda SAW. Tidakkah para wanita hari ini juga berminat meraih redha dari mata dan hati baginda SAW?.

BENARKAH MENUTUP AURAT DAPAT MENGELAK DARI WANITA DISAKITI?

Ramai wanita professional dan yang kurang didikan agama hari ini mencebik bibirnya apabila tajuk ini disebutkan, mereka tidak percaya langsung fakta yang saya sebut diatas. Malah ada yang berpendapat lelaki sengaja melakukan perkara buruk kepada wanita kerana ingin menunjukkan kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar saya dengar hujah ini di media massa.
Hakikatnya, sebagai hamba Allah SWT dan umat Rasulullah SAW kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith bagi mendapat kepastian tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu perkara itu. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman :-
"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)
Jilbab, iaitu pakaian yang lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh badannya. Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerangkan "Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik.
Jadi jelasnya, bahawa ayat tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini adalah kerana bimbang wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau karena tidak percaya kepada mereka, sebagaimana anggapan sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka berzina. (Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit pindaan)
Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa salah satu target utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah SWT adalah sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam dari diganggu dan disakiti.

BANTAHAN KAUM WANITA

"Eleh, tetapi hari ini ramai juga wanita bertudung yang kena rogol, malah setengahnya kena bunuh dijerut dengan tudungnya pulak, kanak-kanak pun kena rogol dan bunuh. Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la ustaz. Ha..macam mana ustaz nak jawab tu ?. Hujah balas yang selalu saya dengar bila isu ini ditimbulkan.
"Pernah tak anda merasa amat marah sepanjang hidup anda ?" Tanya saya kembali.
"Pernah juga ustaz..kenapa ustaz, apa kaitannya?" Bingung sekali lagi mereka nampaknya.
"Biasanya bila seseorang itu sedang amat marah, sempat tak agaknya ia berfikir bahaya atau tidak tindakan yang dibuatnya sebagai contoh; ada orang yang sedang marah kerana bising tangisan kanak-kanak, maka ditendang (seperti berita yang saya baca di akhbar baru-baru ini), ditolak jatuh tangga, ditekup wajah kanak-kanak itu dengan bantal dan macam-macam lagi bagi menghilangkan kemarahan atau gangguan bising itu, setelah beberapa ketika mungkin baru seolah-olah dia tersedar, lalu cemas dan mungkin menyesal".
"Demikianlah juga nafsu jahat, bila ia berada di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat samada kepada pakaian dan umur wanita mahupun isteri orang dihadapannya, sasarannya hanya mendapatkan hajat jahatnya, kerana itulah wanita yang menutup aurat dengan sempurna serta kanak-kanak perempuan juga terancam, tanpa dapat dinafikan juga peranan vcd, laman, akhbar, majalah dan novel lucah " terang saya.
"Tapi macam mana pulak ayat tadi kata tutup aurat dapat mengelakkan wanita dari disakiti ?" Balas mereka dengan penuh minat kali ini.
"Jika kita lihat dengan teliti, ayat tadi sebenarnya ditujukan kepada seluruh kaum wanita. Ini bermaksud, jika sebahagian besar wanita tidak mentaatinya dan memakai pakaian seksi pula. Di ketika itu, faedah dan kebaikan dari tutup aurat bagi menjaga semua kaum wanita dari disakiti secara umum akan tergugat dari mencapai matlamat umumnya. Sebenarnya, ayat itu nak beritahu bahawa seluruh wanita bertanggung jawab menjaga keselamatan kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing" Jelas saya.
"Maka bila ada yang seksi, ini bermakna, ia sedang mengancam kaum sejenisnya yang lain dan di tempat lain kerana telah menghidupkan nafsu kebinatangan lelaki jahat yang sedang tidur".

PENGALAMAN MENUMPANG KE MASJID

Saya masih ingat, dalam perjalanan untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah Masjid di Ibu Negara. Pejabat saya di Jalan Sultan Ismail dan pada hari tersebut saya menumpang kereta seorang rakan. Bersama kami beberapa rakan sekerja yang lain. Tiba-tiba semasa berada di lampu trafik, tiba-tiba suasana dalam kereta agak bising dengan bunyi ..uiiiii ..oii. ..peh ..mengancam ...dan sebagainya, diikuti dengan kata-kata :
"Astaghfirullah..korang ini teruk betul la, kan ustaz ada dengan kita ini.." Kemudian "disambut dengan kata rakan di belakang, ye la..ini la yang bagus kita pergi masjid dengan ustaz, terjaga sikit"
Anda tentu dapat mengagak apa yang dilihatnya? Alhamdulilllah saya tidak sempat melihat apa-apa kerana sedang membelek pelbagai mesej soalan hukum hakam tertunda yang memenuhi telefon bimbit saya. Bila saya tanya, kenapa? dengan malu-malu mereka menyalahkan sesama sendiri akibat ‘gatal mata' melihat skirt-skirt pendek wanita KL, samada wanita Melayu mahupun Cina disekitar kawasan segitiga emas itu.
Cuba bayangkan, perasaan lelaki-lelaki ini. Mereka dalam perjalanan ke masjid, semuanya juga telah berumah tangga, tapi nafsu masih teransang apabila didedahkan kepada permandangan seperti itu. Jahatkah mereka?
"Gatal dan dah miang sangat kot orang lelaki ni, memang teruk mereka ni, tak sangka, harap suami kita tak macam ni" mungkin itulah yang akan dikatakan oleh sebahagian besar pembaca wanita sekarang ini.
Tapi itulah cabaran terbesar lelaki wahai kaum wanita, iaitu ANDA, wanita dan seluruh kecantikan yang dikurniakan Allah SWT kepadanya sebagai ujian, ia disebutkan oleh Allah SWT :
زين للناس حب الشهوات من النساء والبنين ..
"Dihiaskan (diuji) bagi manusia itu, nafsu syahwat dan keinginan serta kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta..."
Ayat ini dengan jelas menyebut syahwat utama lelaki adalah pada wanita. Nabi SAW juga pernah bersabda :
ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء
Ertinya : "Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )

ANTARA LAWAK & HUKUM

Saya juga masih ingat, sewaktu di tempat lama, rakan-rakan sepejabat sering kali apabila mereka terlihat aurat wanita sebegini akan disebut .. "tak pe ustaz kan, pandangan pertama tak berdosakan?". Sedih saya melihat sikap sebahagian umat Islam hari ini yang kerap mempermainkan hukum hakam akibat kejahilan mereka.
Sebuah hadith : "Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada Sayyidina Ali r.a.
Apabila ia adalah sebuah hukum, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan apa jua berkaitan dengannya. Nabi SAW bersabda :-
ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب
Ertinya : " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat" ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)

KESILAPAN WANITA TENTANG AURAT

Ketika ini, saya mengambil masa sekitar satu jam untuk ke pejabat, memandu kereta dari Puchong ke Jalan Sultan Ismail. Setiap hari, laluan jalan pergi dan pulang ini akan mempamerkan kejahilan wanita Islam hari ini tentang penutupan aurat. Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini ?. Jawabnya seperti berikut :-
· KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
· KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
· KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
· KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.
· KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
· KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
· KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
· KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT: ertinya :
"Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR." (an-Nur: 31)
Pengertian khumur (tudung), iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Sedang apa yang disebut ‘juyub' kata jama' (bentuk plural) dari kata jaibun, yaitu belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian/baju.
Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.
Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang dimaksud perhiasan perempuan dalam ayat itu pula, iaitu apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya.
Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya.
Misalnya sahabat besar Nabi seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu adalah: celak dan cincin.
Yang berpendapat seperti ini ialah sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti Said bin Jubair, 'Atha', Auza'i dan lain-lain.
Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah r.a, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya.
Menurut Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah haram.
Namun, kiranya sesempurna mungkin seorang muslimah harus bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, termasuk wajahnya itu sendiri kalau mungkin, demi menjaga meluasnya kerusakan dan banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat dikawatirkan akan menimbulkan fitnah.
"Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya." (an-Nur: 31)
Kesemua jenis berpakaian yang disebut tadi adalah diharamkan secara sepakat seluruh Ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan mu'minah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk dinampakkan.
Amat jelas dari dalil al-Quran dan al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti: buah dada, paha, dan sebagainya.
Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)
Mereka dikatakan berpakaian, karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, karena itu mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi)
‘Bukhtun' adalah salah satu macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut karena rambutnya ditarik ke atas.
Disebalik keghaiban ini, seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah pula apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini

Larangan Nipis

Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:
"Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud)
Walaupun terdapat perawi lemah dari hadis, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis lain yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan ketika diyakini tidak akan membawa fitnah.
Dr Yusof Al-Qaradawi menegaskan bahawa melihat secara normal kepada wanita atau lelaki, kepada selain aurat, selama tidak dilakukan dengan syahwat dan berulang-ulang, hukumnya adalah halal. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)
KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :-
يرحم الله المتسرولات
Ertinya : Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya) (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .
Menurut Imam Mujahid, hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respond Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadith di atas. ( Al-Bayan wa At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)
Berdasarkan dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tiadk berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh.
KESALAHAN KESEPULUH : Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki.
Samada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yang sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaja ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya seribu mata lelaki yang memandangnya. Kita tidak tahu dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.
Larangan ini datang dari Firman Allah SWT : "Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit." (al-Ahzab: 32)

TUJUAN TUNTUTAN MENUTUP AURAT

Berdasarkan dalil Al-Quran dan al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati'e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh Syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah ertinya :- “Maka Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya ..” (Al-A'raf : 20)
Ringkasnya, antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah :-
a) Perbezaan dengan binatang.
Allah SWT berfirman : " Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" ( Al-A'raf : 26)
Amat jelas dari ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja yang termasuk dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru barangsiapa yang berpaling dari arahan ini, secara langsung ia menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup kemampuan dan aqal bagi menjalankan arahan penutupan aurat.
b) Agar kaum wanita tidak disakiti
Ia berdasarkan ulasan yang telah saya buat sebelum ini bersandarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.
c) Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.
Ia juga boleh difahami dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT menyebut : “..yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam)”. Dari sini jelas, menunjukkan salah satu fungsi tutupan aurat juga adalah sebagai syiar diri sebagai penganut Islam. Firman Allah : “Barangsiapa yang membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati”.
d) Tanda profesionalism dalam sistem pemakaian Islam.
Kita dapat memerhati bagaimana ‘trend' sesebuah organisasi atau restoran hebat hari ini pasti meletakkan ‘dress code' tertentu bagi kakitangannya dan para tetamunya. Ia pastinya bertujuan penjagaan standard khas bagi organisasi dan restoran itu di tahap tertentu. Sebagai contoh, kita tidak akan dapat melihat individu berselipar Jepun di sebuah Persidangan Antarabangsa di PICC, Putrajaya mahupun di kalangan kakitangan PETRONAS di pejabat mereka di Menara Berkembar. Semua menjaga ‘standard' berbanding Tauke kedai runcit yang tidak beruniform.
Justeru, Islam adalah satu agama dan cara hidup yang profesional pastinya begitu lengkap menyediakan panduan melengkapi setiap sudut kehidupan manusia. Dari hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam tandas hinggalah ekonomi dan kenegaraan. Walaupun demikian, Islam tidak mengarah umatnya membuat perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu ‘standard' pemakaian yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan logik aqal manusia yang sihat.
e) Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah SWT.
Saya kira hal ini amat jelas, dari firman Allah ertinya : Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya". (Al-Mulk : 2)

DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER

Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.
"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya.
"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi.
Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)
Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.
"Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu"
Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang"
Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya ?
Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :
"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.
Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.
Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :
إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من النار
Ertinya : Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka" (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )
Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.
Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW
من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً
Ertinya : Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." ( Riwayat Ahmad dan lain-lain)
Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya ?.
Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya. ? @@@
Abu Sa’id al-Khudri berkata, saya pernah mendengar Nabi Muhammad berkata, “Barangsiapa di kalangan saudara ternampak perkara yang dilarang oleh Allah, beliau perlu membetulkannya dengan menggunakan tangannya. Apabila tidak berjaya, gunakan lidahnya. Apabila itu pun tidak berdaya, betulkan dengan menggunakan hatinya dan itulah selemah-lemah iman”


Bulan REJAB

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.

Hijrah Pertama Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.
1. Hijrah Pertama
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.
Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.
2. Isra' dan Mi'raj
Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.
Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.
Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.
Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu.
Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)
3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran
4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.
5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.

Bulan SYAABAN

Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya,
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
Memperbanyakkan puasa sunat Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
Bertaubat Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

DEMI MASA. SESUNGGUHNYA MANUSIA ITU BENAR-BENAR BERADA DALAM KERUGIAN. KECUALI ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN MENGERJAKAN AMAL SOLEH DAN NASIHAT MENASIHATI SUPAYA MENTAATI KEBENARAN DAN NASIHAT MENASIHATI SUPAYA MENETAPI KESABARAN
( SURAH AL-ASR)

Posting bermanfaat yg berkaitan untuk tatapan..

related post..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...