SURAU FIKIR

Belajar Tanpa Berfikir Itu Sia-Sia
Dan Berfikir Tanpa Belajar Itu Bahaya !

Wednesday, February 18, 2015

Air Mani


Siapa pun kamu, asalmu hanya dari setitis air yang hina iaitu air mani, bukan air holick. Tidak kira kamu ini pegawai majlis daerah, peniaga ikan di pasar, atau ahli keparat lima bintang. Syukur atas nikmat hidup. Ramai yang tidak diberi kesempatan untuk hidup. Besar ke nikmat hidup? Besar.

Mengisi detik kehidupan dengan amalan yang baik2 adalah dituntut oleh Agama. Ramai yang isi masa dengan perkara yang sia2. Ramai yang tak ambil berat langsung tentang tuntutan Agama. "Kesian tok bilal tu, masjid rumah masjid rumah tak ada kerja lain," keluh ahli korporat dengan nada menyindir. 

Hakikatnya nikmat lagi besar ialah mengisi kehidupan dengan tuntutan syariat. Jika terpilih dalam kelompok ini, maka syukur banyak2.

"Dan cukup sedikit hamba-Ku yang bersyukur." Tanya diri sendiri, "Aku ini hamba yang bersyukur?" Brapa ramai antara kita yang doa bangun tidur pagi tadi? Tidur ialah adik-beradik mati. Kalau tidur mampus 2x mati. 

Manusia itu sebaik-baik kejadian. Permulaan manusia ialtu Nabi Adam di cipta daripada tanah. Anak cucu Nabi Adam di cipta daripada air mani. Air mani kalau nak jual kat pasar malam pun tak laku. Itulah hinanya. Maka tidak kira kamu ada PHD ka? ada JKK ka? ada YDP ka? semuanya berasal dari air mani yang hina. Itulah asal kejadian kita.

Siapa yang Sempurnakan kejadian kita? Allah. 

Kita nak tentu hitam putih kulit anak pun tak boleh. Kita mendengar ini kerana ada telinga ka? atau kerana ada pendengaran? Ramai orang ada telinga tapi tak dapat mendengar. Ramai yang ada mata tapi tak ada penglihatan. 

"Tn Haji saya bagi RM2 juta untuk beli penglihatan Tn Haji boleh?" Mudah2an Allah golongkan kita di kalangan orang2 yang bersyukur. Amal soleh dan beriman untuk mencapai kehidupan yang baik di akhirat. Kehidupan yang baik mengikut syariat Allah di dunia ini bakal mendapat ganjaran yang jauh lebih baik di akhirat nanti.

Amal soleh itu ialah sebarang bentuk ketaatan kepada Allah dan Rasul. Dengar apa yang Allah suruh kita buat, bertepatan dengan al-Qur'an dan Sunnah. Amalan yang memberi manfaat kepada diri dan ahli masyarakat. Jogging itu amal soleh. Gotong royong itu amal soleh.

Amal soleh itu mestilah bertepatan dengan apa yang diajar oleh Rasulullah, bukan rekaan sendiri. Dan amal soleh itu niat ikhlas kerana Allah. 

Puasa yang tak ikhlas kerana Allah, sia2. Solat yang tak ikhlas kerana Allah juga sia2. Ikhlas itu ialah melakukan sesuatu biar orang tak tahu pun tak apa, cukuplah Allah tahu. 

Tak ikhlas ialah kalau orang tak tahu kita buat kebajikan itu rasa tak sedap, rasa macam rugi la pulak. Solat yang ikhlas itu ialah solat yang sama saja samada solat depan orang atau solat depan lembu. Semua mengharap redha Allah semata.

Amal soleh mestilah berlandaskan aqidah yang benar, iaitu mestilah seorang mukmin. Orang kafir atau orang yang tidak beriman pada hakikatnya tidak memiliki bekas untuk Allah bagi pahala kepadanya. Kerja mereka, kebajikan mereka dan segala perlakuan baik mereka sekadar sia2 sahaja tanpa mendapat ganjaran pahala Allah.

Bila ketiga-tiga elemen utama ini ada maka dia akan hidup dengan kehidupan yang baik dan rezki yang halal. Ada tak rezki yang halal tapi tak baik? Ada, contohnya anak yang derhaka atau tidak dapat makan kerana penyakit. 

Apakah hidup bahagia? Hidup sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Bila kamu hidup di landasan Islam, kecukupan dalam setiap keperluan, dan kelazatan dalam beribadah. Apa itu lazat? Lazat ni contohnya kalau makan tak nak berhenti, lazat sungguh.

Jangan sekadar jadi hamba Allah tapi jadilah hamba Allah yang bersyukur. Tanda bersyukur ialah dengan bayar balik segala nikmat pemberian Allah ini dengan melakukan amal soleh. 

Amal soleh ialah amalan yang mengikut saranan Nabi, dengan ikhlas dan aqidah yang benar. Akhirnya mendapat bahagia bukan sekadar di dunia tapi yang lebih utama ialah bahagia di akhirat nanti. 

@@@

Tuesday, December 30, 2014

Sajak Selamat Tinggal Pernec


ALL THE BEST PERNEC

Selamat Tinggal Pernec
Hati Ini Tetap Bersama Mu Pernec
Terlalu Ramai Teman dan Kenangan
Terjalin Persahabatan dan Kemesraan

Pernec Tertegak Begitu Lama
Di Sini Rezki Allah Tercurah Jua
Buat Ribuan Warga Kerja Tercinta
Menyara Diri dan Keluarga

Cinta Bersemi Di Ulu Klang Ini
Pada Keceriaan dan Kepedihan
Berpadu Bersama Denyut Nadi
Menjadi Rutin Harian Kehidupan

Pabila Di Letak Aku Di Sini
Aku Redha Sepenuh Jiwa Ya Illahi
Pabila Tiba Detik Perpisahan Ini
Aku Juga Redha Dengan Jiwa dan Raga Ya Illahi

Semua Sudah Menjadi Ketentuan
Dia Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Ambil Pengajaran dan Jadikan Panduan
Cinta Ilmu dan Faham Agama Memacu Ke Depan

Sentiasa Bersyukur Itu Yang Utama
Pada Nikmat Allah Yang Tidak Terkira
Percuma Di Pinjam Untuk Kita Semua
Dunia Medan Ujian Iman dan Sabar Hamba

Perjalanan Yang Jauh dan Panjang
Carilah Bekalan Sebanyak Mungkin
Menuju Hidup Yang Kekal Abadi
Hijrah Ke Alam Akhirat Nanti

SOT
31/12/14

PERNEC, Ulu Klang.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2015



ُِSalam pagi Rabu 9 Rabiul Awal 1436H,
31 Disember 2014. 


بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
ٍ
اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ وَلاَ عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْن

Ya Allah, di hari akhir tahun 2014 ini, kami memohon keampunan Mu dari segala keterlanjuran kami, segala kesilapan yang telah kami lakukan disepanjang tahun ini.

Ya Allah sayangilah kami dan tutupi lah segala aib kami.

Ya Allah tambahkanlah rezeki kami dan cukupkanlah rezeki kami.

Ya Allah tunjukkanlah kami jalan yang lurus yang Engkau redha.

Ya Allah sihatkanlah kami agar kami selesa dalam menjalankan ibadah kami.

Ya Allah, ingatkan kami bahawa dalam kehidupan ini kami pasti diuji.

Ya Allah, ingatkan kami...

• Bila kami melihat seseorang yang kaya dan bergaji besar, ketahuilah sebenarnya dia sedang diuji.

• Bila melihat seseorang yang cantik dan kacak, ketahuilah dia sebenarnya sedang diuji.

• Bila kami melihat seseorang yang berpangkat dan berkedudukan tinggi, ketahuilah dia sebenarnya sedang diuji.

• Bila melihat seseorang yang alim, hebat dan banyak ilmu, ketahuilah dia sebenarnya sedang diuji.

• Bila melihat seseorang yang sedih, gagal dan ditimpa bencana, ketahuilah dia sebenarnya sedang diuji.

• Bila melihat seseorang yang sakit dan susah, ketahuilah dia sebenarnya sedang diuji.

• Bila melihat seseorang yang cacat dan lumpuh, ketahuilah dia sebenarnya sedang diuji.

• Bila melihat seseorang yang diberi dengan berbagai kelebihan atau bermacam kekurangan, ketahuilah dia sebenarnya sedang diuji.

Ya Allah berkatilah diri kami dan ampunilah kami atas kelalaian kami Ya Allah.

Ya Allah panjangkanlah umur kami agar kami dapat meningkatkan ibadah kami dan ketaatan kami kepada Mu Ya Allah.

Ya Allah, sucikanlah hati kami dan lembutkan hati kami agar kami senang menerima teguran dan ilmuMu Ya Allah.

Ya Allah Ya Tuhanku, tunjukkanlah kami jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepada kami supaya kami dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai Ya Allah.

Ya Allah sesungguhnya kami bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya kami adalah orang-orang beriman Ya Allah.

Ya Allah hanya kepada Engkau kami memohon dan meminta petolongan Ya Allah.


Ya Allah ringankanlah beban kami dan permudahkan urusan kami Ya Allah.

Ya Allah sucikan jiwa kami dan perlindungi kami daripada ilmu yang sesat dan menyesatkan.

Ya Allah jauhkan juga kami daripada sifat yang keji dan mungkar Ya Allah.

Ya Allah ringankanlah diri ini untuk memperbanyakkan ibadah kami kepada Mu Ya Allah.

Ya Rahman Ya Rahim Engkau peliharalah kami dan lindungilah kami agar kami sentiasa dalam sihat sejahtera, aman bahagia selamanya.

Ya Allah kurniakanlah kami taufiq dan hidayah Mu agar kami sentiasa rajin berusaha untuk kecemerlangan di dunia dan akhirat Ya Allah.َ

Ya Allah janganlah kami menghitung apa yang hilang, tetap biarlah kami melihat apa yang kami miliki sekarang dan bersyukur dengan segala nikmat yang telah kami terima sepanjang hidup kami.

Ya Allah kami memohon Ya Allah, kurniakanlah kepada kedua ibubapa kami tempat yang istimewa di syurga Mu Ya Allah. َ

Ya Allah Ya Ghaffar ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, anak isteri kami, kaum keluarga kami, guru-guru kami, sahabat-sahabat kami serta sekalian muslimin muslimat di mana saja mereka berada.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan para sahabatnya.

Segala puji pujian hanya untukMu Ya Allah. 



رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَّمْ تَغْفِرْلَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

وَصَلَّى الله ُعَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى
ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ

وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.


@@@

Wednesday, December 17, 2014

Ceramah Perdana Penutup Tirai 2014

In sya Allah pihak AJK Surau Pernec akan menganjurkan Ceramah Perdana Bulan Disember sebagai penutup tirai bagi siri Ceramah Perdana bulanan di Pernec pada tahun 2014 ini. Semoga seluruh warga Pernec sekelian termasuklah pihak pengurusan Syarikat dapat meluangkan masa untuk menghadiri majlis ilmu Taman2 Syurga ini. Majlis ini akan diadakan pada hari Selasa 23hb December 2014, pukul 4:00 - 5:00 ptg di lokasi Pernec D'Cafe.

Kita merasa bertuah kerana penceramah undangan kali ini merupakan seorang personaliti TV, seorang pakar motivasi dan pendakwah yang dikenali ramai ialah al-Fadzil Ustaz Hanafiah Bin Abdul Malek. Tajuk Ceramah ialah Kekeluargaan Islam. Semoga majlis yang diadakan ini akan dilimpahi rahmat dan barokah daripada Allah SWT.


Monday, November 24, 2014

Fahaman Sesat Liberalisme dan Pluralisme


Liberalisme ialah falsafah yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik tertinggi.Seseorang yang menerima fahaman liberalisme dipanggil seorang liberal. Walau bagaimanapun, maksud perkataan liberal mungkin berubah mengikut konteks sesebuah negara.

Liberalisme menekankan hak-hak peribadi serta kesamarataan peluang. Dalam fahaman liberalisme, pelbagai aliran dengan nama "liberal" mungkin mempunyai dasar dan pandangan yang berlainan, tetapi secara umumnya aliran-aliran ini bersetuju dengan prinsip-prinsip berikut termasuk kebebasan berfikir dan kebebasan bersuara, batasan kepada kuasa kerajaan, kedaulatan undang-undang, hak individu ke atas harta persendirian, pasaran bebas dan ketelusan sistem pemerintahan. Mereka yang liberal menyokong sistem kerajaan demokrasi liberal dengan pengundian yang adil dan terbuka, di mana semua rakyat mempunyai hak-hak yang sama rata di bawah undang-undang

Pluralisme adalah suatu ideologi atau fahaman yang mengisbatkan kepelbagaian hakikat, yang semuanya dianggap setara, sama benar, sama sah. Prinsip ini menganjurkan agar pandangan semua pihak, bangsa atau puak, semuanya mesti diterima sebagai setaraf, tiada yang lebih benar atau kurang benar, kalau kita hendak hidup aman. Agama dianggap hanya mendatangkan konflik serta pertentangan yang berterusan, dan sampai bila-bilapun tidak akan selesai. Jalan penyelesaian yang mudah adalah dengan menerima sahaja semua pandangan sebagai sama benar atau sama sah bagi memuaskan hati semua pihak.

Pluralisme agama’ merupakan fahaman yang menyamaratakan semua agama. Fahaman ini turut didukung oleh sekelompok umat Islam yang dikenali sebagai penganut ‘Islam Liberal’. Aliran  atau  manhaj Islam Liberal menekankan ciri keterbukaan dan kebebasan dengan mengutamakan akal logik dalam mentafsir ajaran Islam. Aliran ini berusaha untuk keluar daripada kaedah pentafsiran ilmu tradisi serta apa yang sedia ada dalam syariat Islam yang asli dan tulen.

Mereka mempertikaikan ilmu-ilmu turath (warisan Islam) sehingga melibatkan al-Quran dan al-Hadis. Penganut Islam Liberal menyatakan al-Quran yang ada sekarang bukan wahyu Tuhan ynag asli tetapi ia adalahciptaan Nabi Muhammad. Bagi mereka hadis-hadis adalah saling bertentangan sehingga tidak dapat dipastikan kebenarannya. Kenyataan mereka itu persis seperti tuduhan orientalis Barat.

Dalam mentafsir dan menilai semula hukum hakam agama, mereka mengguna pakai tafsiran ulama-ulama yang telah ditolak oleh jumhur ulama muktabar yang menggunakan disiplin ilmu yang benar. Islam dianggap sama dengan agama-agama lain adalah terbuka untuk dikritik dan ditinjau kembali.

Pluralisme agama mendakwa semua agama adalah bersifat relatif. Justeru, tidak ada satu agama pun yang berhak mendakwa agamanya adalah benar dan mutlak. Mereka menganggap semua agama mempunyai tujuan yang satu iaitu membawa manusia kepada keselamatan di akhirat.  Ia amat bercanggah dengan apa yang disebut al-Quran bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan diterima di sisi Allah SWT.

Pendokong fahaman liberalisme dan pluralisme adalah golongan berfikiran sekular, yang percaya bahawa kehidupan yang lebih baik akan tercapai apabila manusia dibebaskan daripada kongkongan agama. Bagi mereka satu-satunya jalan ke arah kemajuan ialah dengan membebaskan diri daripada kongkongan agama. Lama kelamaan agama itu akhirnya ditolak sama sekali daripada kehidupan. Seseorang yang liberal ialah yang berpandangan bahawa agama itu hanya menyebabkan manusia itu berfikiran tertutup, jadi jumud, satu arah sahaja. Agama kepada tanggapan golongan Liberal, adalah musuh kepada kebebasan dan kemodenan.

Jika pendokong dan pejuang pluralisme dan liberalisme beranggapan agama sebagai pengongkong kebebasan, orang Islam melihat agama Islam sebagai pembebas jiwa dan raga mereka. Membuka fikiran dan membebaskan penganutnya daripada kepercayaan tahyul dan karut-marut, kejahilan dan cara hidup purbakala yang menindas manusia.Yang kita perlu lakukan ialah membebaskan manusia daripada kejahilan dan kekeliruan yang membelenggu pemikiran dan amalan hidup kita.

Dalam amalan sekarang akhlak itu sudah menjadi hak peribadi semata-mata sedangkan menurut ajaran Islam, tidak ada apa yang boleh dipisahkan daripada agama. Segala-galanya, hidup dan mati kita, seluruh kehidupan kita dipandukan oleh panduan wahyu, panduan agama, panduan Al Quran dan panduan sunnah Nabi. 

Kemelut yang berpunca daripada kekeliruan pemikiran ini hanya boleh ditangani dengan berkesan melalui kaedah pendidikan yang betul dan terancang. Pendidikan yang berasaskan kepada akidah dan fardhu ain. Ilmu fardhu ain perlu diajar dengan betul dan mencukupi bagi menangani persoalan pemikiran semasa supaya orang Islam tidak mudah hilang makna diri.

Ilmu fardhu ain adalah suatu yang bersifat dinamik dan ia bukan hanya layak diajar untuk budak sekolah rendah. Sebaliknya ia perlu diteruskan dan diperkukuhkan sehingga ke peringkat universiti kerana pada peringkat itulah idea-idea asing tentang kebebasan, hak asasi manusia, pluralisme, kepelbagaian budaya, sejarah dan falsafah diajar dan diterapkan tanpa tapisan dan kritikan yang tepat.

Maka cintailah majlis2 ilmu agar kita tidak kekal jahil dan mudah terperangkap dengan fahaman yang sesat ini. Sesungguhnya tuntutan menuntut ilmu Agama ini adalah wajib bagi setiap individu muslim hingga ke akhir hayat. Bagi orang awam platform terbaik ialah dengan duduk di majlis2 ilmu yang diadakan saban malam di surau2 dan masjid2 di seluruh negara diantara waktu maghrib dan isyak. Tepuk dada tanya iman.

@@@

Thursday, November 20, 2014

Jemputan Ke Ceramah Perdana November 2014

Ancaman Liberalisma Galak Menular
Persis Susupan Ular Ke Segenap Celah Belukar

Thursday, October 30, 2014

Jom Hijrah Bro


Alhamdulillah program Ceramah Perdana bulan Oktober selamat di adakan di premis Pernec semalam di hadiri kira2 71 org warga Pernec yg peka dan rindu ilmu. Penceramah yg di raikan ialah Al Fadhil Ustaz Nushi Dato' Mahfodz, ketua Unit Syariah Matrikulasi, KUIS lulusan Universiti Yarmouk Jordan telah berjaya memberi penyampaian yang mantap persoalan Hijrah dari perspektif yang agak di luar kotak dan un-conventional. Itu yang menarik dan memberi nafas baru. Para odion nampak fokus dan teruja walaupun ceramah berlanjutan hingga ke pukul 5:30 ptg setelah bermula kira2 pukul 4:10 ptg.

Ustaz memetik kata2 Steven Covey yang popular iaitu 'Begin With End in Mind.' Islam itu melihat dan memikir untuk masa depan.Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW itu sendiri merangkumi SWAT analysis yg jitu dan penuh strategi. Sebagai benchmark bagi individu Muslim, contoh dan idola terbaik sudah tentulah Rasulullah SAW. Bagi umat Nabi SAW, Islam meletakkan 'Kamu Sebaik-baik Umat,' sebagai penanda arasnya. Kita dituntut untuk jadi cemerlang terbilang gemilang dan terhebat sebagai seorang Muslim. Islam bukan gitu2 je. Islam itu ialah cara hidup yang sempurna lengkap menyeluruh yang di redhai Allah. Satu2nya cara hidup yang di redhai Allah. Itulah Islam. The rest has no value and worthless.

Perjuangan Rasulullah selama 13 tahun di Mekah memberi fokus kepada pengukuhan akidah dan akhlak. Ayat2 al-Qur'an tentang Akhirat memberi gambaran benda2 yang jauh. Begin with the end in mind. Where we are heading. Namun sebelum pergi jauh, maka toleh dan tengok ke belakang untuk panduan dan keselamatan. Cermin belakang kereta saiznya kecil sahaja namun amat penting. Cermin depan kereta luas lebar dan besar kerana yang utama ialah bergerak ke depan menuju destinasi yang di tuju.

Islam bukan Agama main2. Peristiwa Hijrah ini berlaku 13 tahun setelah Nabi SAW di angkat menjadi Rasulullah. Di angkat menjadi Rasul di usia 40 tahun dan wafat di usia 63 tahun setelah mendakwah manusia kepada Islam selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Jika dicari titik tengah 13 tahun dan 10 tahun, nampak tidak seimbang tika berlaku peristiwa Hijrah itu. Namun melihat sedikit ke belakang iaitu kira2 18 bulan sebelumnya, maka di sana ada peristiwa besar yang berlaku iaitu Israq wal Mikraj.

Kalau 13 tahun itu di tolak dengan 18 bulan itu dan 10 tahun di campur dengan 18 bulan itu maka tercipta sebuah titik tengah yang baru iaitu 11 1/2 tahun setiap satu, nampak seimbang dan seiring. 11 1/2 + 11 1/2 = 23. Yes. Titik tengah yang di cari rupanya ialah peristiwa Israq wal Mikraj. Ibarat perlawanan bolasepak, titik tengah itu ialah half time. Apa yang di lakukan tika rehat half-time itu? Jumpa coach. Coach bagi tips bagi strategi untuk memenangi perlawanan. Final stage format. 

Apa strategi itu? Pilih watak2 terpilih yang punyai kekuatan masing2. Rasulullah pilih Abu Bakar, pilih Ali, settle kan cycle yang paling rapat. Nabi SAW di angkat berjumpa Allah menerima syariat Solat. Solat itu ibadah yang penuh strategi. Ada rukun solat ada syarat sah solat. Ada syarat nak pilih imam.

Orang2 tua dulu banyak mengungkapkan kata2 yang penuh hikmah. Katanya, "Kalau nak mandi, carilah telok, carilah pantai." Bukan mandi di paya atau di lubuk. Cari tempat yang terbaik. "Kalau nak pilih pemimpin negeri, carilah orang yang elok dan pandai." Elok akhlaknya, amanah orangnya, bijaksana pandai dan cerdik. Kena pilih pemimpin yang ada competency. Begitulah sebenarnya yang Islam anjurkan iaitu orang yang al-Qawi dan al-Amin.

Asas utama ialah kena settle bab solat dulu. Pernah tak majikan bila menemuduga nak ambil pekerja bertanya, "Awak solat ke tidak?" Jika perkara basic pun tak settle, maka tunggulah kehancurannya. Perjuangan dan pergerakan NAbi SAW selepas Hijrah sangat fokus dan penuh berstrategi. Kalau dulu di Mekah, Rasulullah lebih terbuka pendekatannya. Seolah-olahnya Nabi SAW buat SWAT analysis.

Apa kekuatan Mekah? Kekuatanya ialah Kaabah. Nabi SAW lahir pada tahun gajah. Kenapa di panggil tahun gajah? Why? Angkatan perang bergajah dari Yaman yang dipimpin oleh Abrahah mara untuk memusnahkan kekuatan Mekah iaitu Kaabah. Kerana dia kecewa gagal menarik orang ramai berrtumpu ke Yaman walaupun dia telah membina pelbagai binaan yang hebat. 

Abrahah ini orang luar bukan orang Yaman. Memang kalau kita lihat foreigner selalunya sangat hebat. Siapa yang membuka Mekah? Nabi Ibrahim, orang luar iaitu dari Palestin. Siapa yang buka Madinah? Nabi SAW, orang Mekah. Siapa yang buka Australia? Banduan dari UK. Siapa buka Malaysia? Parameswara. KL? Yap Ah Loy. Orang luar yang nak berjuang, nak kerja kuat, menjadi orang hebat.

Begitu juga kita ini. Bukan asal sini pun. Asal daripada tanah yang bersifat menyucikan. Cuci apa? Bersihkan mukabumi Allah. Apa yang paling kotor? Syirik. Datuk kita Nabi Adam asal hidup di Syurga Allah, bukan asal di bumi ini. Hijrah Nabi SAW bukan biasa2. Hijrah NAbi SAW penuh intelektual dan spritual. 

Kenapa orang pergi masjid? Kerana rasa dekat dengan Allah. Ada nikmat beribadah. Bukan sebab masjid yang besar atau gah binaannya. Jangan ikut perangai Abrahah yang membawa makhluk yang paling besar untuk meusnahkan Kaabah kerana logik akalnya kekuatan yang bisa memberinya kuasa hebat. Namun Allah SWT ajar dia dengan menghantar burung Ababil yang kecil untuk memusnahkan Abrahah dan tentera bergajahnya. Gajah besar mana pun, kuasa Allah lagi besar. Begitulah dalam soal kerjaya, sebuah Syarikat yang kecil tapi penuh berkat adalah lebih baik daripada Syarikat yang besar yang tiada keberkatan.

Mekah jadi hebat asbab adanya Kaabah di situ. Namun kekurangannya ialah Mekah telah di kuasai dan di kontrol oleh pembesar kafir Quraish yang begitu anti Islam. Ibadah Haji ini sudah bermula di zaman Nabi Ibrahim lagi. Penduduk Arab akan bertumpu ke Mekah di musim Haji. 

Nabi SAW juga telah uji Hijrah sebelumnya iaiatu Hijrah ke Habsyah, ke Toif, ke Yaman, namun semuanya menemui kegagalan. Kenapa di pilih Yathrib? Nabi SAW sudah ada perancangan daripada awal. Ia bukan sesuatu tindakan yang sembrono atau ad-hoc basis. Yathrib sebuah negeri yang di huni oleh pelbagai kaum dan puak temasuklah kaum Yahudi. 

Orang2 Yahudi ini berpegang kepada kitab samawi iaitu Taurat dan Injil. Di sana sudah di ceritakan akan hadir nabi di akhir zaman. Orang Yahudi kenal Nabi yang akan datang itu umpama mereka mengenal anak sendiri. Namun Yahudi tersilap tafsir bila menyangka tentulah Nabi akhir zaman ini muncul dari kalangan bangsa Bani Israel. Maka penduduk Yathrib telah di dedahkan dengan cerita Nabi akhir zaman ini.

Justru tika berlaku ibadah Haji yang mengundang manusia daripada seluruh pelusuk Semenanjung Arab, Nabi SAW telah fokus kepada kelompok yang datang dari Yathrib. Nabi bersembang dengan mereka dan mempekenalkan dirinya sebagai Nabi akhir zaman itu. Senjata Nabi ialah Al-Qur'an dan Akhlak. Enam orang dari jamaah Yathrib begitu tertarik hati dengan apa yang di sampaikan oleh Nabi SAW. Dalam berdakwah jangan gopoh jangan gelojoh bahkan mestilah dilakukan dengan hemah dan sabar. Nabi menyarankan mereka pulang ke Yathrib dan boleh bercerita perihal Islam kepada penduduk Yathrib.

Maka inilah permulaan MLM, Multi Level Marketing yang sebenarnya. Pada tahun berikutnya jumlah enam orang tadi telah berkembang menjadi 12 orang. Maka berlakulah perjanjian baiatul aqabah yang pertama yang juga dikenal sebagai baiatul nisaa'. Nabi berpesan supaya mereka pulang ke Yathrib dan membawa peribadi mulia seorang muslim. Nabi melantik seorang upline iaitu seorang lebih berpengalaman dan senior dari Mekah iaitu Mus'ab bin Umairah yang faham al-Qur'an dan merupakan dari golongan orang kaya supaya orang nampak wibawanya di tengah masyarakat Yathrib nanti.

Tahun berikutnya jamaah Yathrib ini berkembang menjadi 75 orang termasuk 2-3 orang perempuan di mana perjanjian aqobah ke-2 pun termetrai iaitu, " Kamu dan Aku kena sedia untuk sehidup semati mempertahankan Islam." Maka 75 orang ini pun kembali semula ke Yathrib. 

Tika peristiwa Israq wal Mikraj Nabi SAW di bekalkan dengan kenderaan canggih Buraq untuk sampai ke destinasi to and fro. Soalan cepumas, kenapa pada peristiwa Hijrah Nabi SAW tidak pula di berikan kemudahan pengangkutan supersonic mega ini? Motif berbeza suasana berbeza. Israq wal mikraj, Allah nak bagi motivasi kepada Nabi SAW, nak bagi Nabi SAW hepi setelah baru kehilangan dua orang penting dalam hidupnya. Nabi juga manusia yang ada perasaan sedih. 

Islam ini mestilah di sampaikan dengan benar dan jelas supaya dapat membuka pemikiran manusia. Islam itu luas. Kadang2 orang tidak faham dan mudah melatah. Apa itu Islam? Islam memberi rasa damai, tenang dan seronok. Bukan bingit, serabut dan bosan. Kalau Islam di sampaikan olah seseorang yang faham maka baik nampaknya Islam itu. Tapi jika di sampaikan oleh orang yang tidak faham maka Islam tampak buruk di mata orang lain.

Allah mahu Nabi tunjukkan leadership skill dan strategic planning skill. Umar telah hijrah secara terang2an. Kena ada watak macam Umar ini dalam perjuangan. Namun cara yang mesti kita ikuti ialah cara Nabi. Nabi hijrah secara senyap2 berdua dengan watak terpilih iaitu Abu Bakar, seorang timbalan dan sahabat yang hebat cekap kukuh aqidah dan amanah. Nabi berjumpa Abu Bakar pada waktu tgh. Itu strategi penting kerana waktu tgh ini orang Arab selalunya berehat dan qoululah di rumah masing2 kerana cuaca yang panas. Waktu malam biasanya musuh berjaga-jaga dan pergerakan Nabi akan mudah di kesan.

Ibarat perlawanan bolasepak dalam mengambil sepakan penalti misalnya, pemain itu akan berundur beberapa tapak ke belakang sebelum menendang. Ini penting supaya nampak gambaran jelas bola dan pintu gol, juga supaya ada momentum bagi satu tendangan yang padu dan kuat atau melakukan placing. Nabi SAW berhijrah ke Madinah untuk create satu model dulu iaitu membentuk Negara Islam.

Abu Bakar faham apa yang di utarakan oleh Nabi SAW. Malah dia telah bersedia sudah lama akan saat itu. Nabi mintak semua ahli keluarga Abu Bakar keluar kerana Baginda mahu bersendiri dengan Abu Bakar sahaja kerana ini rahsia besar. "Allah telah izinkan kita Hijrah," maka jawab Abu Bakar, "Alhamdulillah. Aku telah sediakan dua tunggangan untuk kita berdua."Tu dia seorang timbalan yang cekap."Aku tak mahu secara percuma dan aku akan membayar harganya," jelas Nabi SAW. Satu lagi panduan kepada orang yang bergelar Ketua supaya tidak mengambil kesempatan daripada orang bawahannya. 

Ali sebagai wakil belia di pilih sebagai watak penting dalam peristiwa Hijrah ini di pilih tidur di tempat Nabi untuk mengelirukan musuh. Asmah bin Abu Bakar membawa bekalan kepada Nabi dan Abu Bakar membuktikan pentingnya peranan wanita dalam kerajaan pada posisi yang sesuai (portfolio Kebajikan atau Hal Ehwal Wanita). Abdullah bin Abu Bakar pula menjadi SB yang memantau pergerakan musuh. Peranan penunjuk jalan profesional yang bukan Islam membuktikan orang bukan Islam juga ada peranan dalam kerajaan Islam (portfolio Pengangkutan, Pelancungan, dsb). 

Suraqah Bin Malik yang berjaya mengesan perjalanan Nabi telah bersungguh-sungguh untuk menangkap Nabi demi tawaran lumayan. Namun kudanya yang berulang kali terjerumus jatuh menyebabkan akhirnya dia putus asa dan Nabi telah menjanjikan gelang Maharaja Rom untuknya sebagai kompromi. Dan janji Nabi ini telah terlunas tika zaman pemerintahan Umar. Janji Nabi tidak pernah silap. 

Nabi telah membina Masjid sebagai perkara asas setibanya di Madinah. Masjid paling penting. Bukan besar atau kecil saiznya tapi hidup atau tidak hidupnya. Solat ialah perkara utama. Di sana termaktub segala disiplin kehidupan. 

Kita lihat doa bangun tidur yang di mulakan dengan pujian bagi Allah. Puji Allah atas segala kurniaan-Nya yang tidak terfikir pun oleh kita. Terima kasih kerana mata masih nampak, telinga masih mendengar, kulit masih ada, deria rasa masih merasa, dan macam2 lagi. Terima kasih kerana Allah hidupkan kita semuanya. Hidup secara berjamaah, bukan hidup berseorangan. 

Kepada Dia kita berkumpul kembali. Islam ialah Agama yang paraktikal.Buktikan dengan berkumpul untuk solat subuh berjamaah di Masjid. Di Padang Mahsyar nanti kita semua akan dikumpulkan. Bersyukurlah kerana Allah hidupkan kita lagi. Ada lagi ruang dan peluang untuk kita bertaubat. Dapat mencari rezki di bumi Allah.

Peristiwa Hijrah mengajar kita bahawa Masjid itu utama dalam betul2 menundukkan manusia di hadapan Allah. Peribahasa melayu mengajar kita, "Makin Berisi Makin Tunduk." Maknanya makin berisi dengan ilmu, makin berisi dengan iman, maka akan makin tunduk dengan Allah. Sujud meletakkan kepala di bawah tapak kaki kawan. Sujud menundukkan diri mennghinakan diri di hadapan Allah. 

Juga mengajar kita soal kesatauan iaitu tunduk di bawah perintah Allah. Soal team building, semangat setia kawan, kerjasama dan bersatu teguh bercerai roboh. Akhir sekali, peristiwa Hijrah Rasulullah SAW mendaulatkan perlembagaan bertulis yang pertama dunia iaitu mengenai hak, tanggung-jawab, kewajiban rakyat dan penguasa sebagaimana di ceritakan di Surah al-Anfaal ayat 70-75.

Wahai Nabi, katakanlah kepada orang-orang tawanan yang ada dalam tangan kamu: Jika Allah mengetahui ada kebaikan (iman) dalam hati kamu, nescaya Dia akan memberi kepada kamu (balasan) yang lebih baik daripada (harta benda penebus diri) yang telah diambil dari kamu dan Dia akan mengampunkan dosa kamu; kerana Allah Maha Pengampun, lagi maha Mengasihani. (Al-Anfaal:70)

Dan jika mereka (orang-orang tawanan itu) bertujuan hendak melakukan khianat kepadamu, maka sesungguhnya mereka telahpun melakukan khianat kepada Allah (dengan kekufuran mereka) sebelum itu, lalu Allah menjadikan (engkau) mengalahkan dan menundukkan mereka; kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.(Al-Anfaal:71)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan. (Al-Anfaal:72)

Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. (Al-Anfaal:73)

Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia. (Al-Anfaal:74)

Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Al-Anfaal:75)

Jom Hijrah Bro !!!

@@@

Wednesday, September 24, 2014

Menyahut Seruan Allah dan Rasul




Alhamdulillah, Ceramah Perdana pimpinan Ustaz Fazlur Rahimi Maarof telah berlangsung dengan jayanya semalam di Pernec D'Cafe yang di hadiri 69 orang warga Pernec yang di pilih Allah. Ustaz memberi ceramah yang bertajuk "Menyahut Seruan Allah dan Rasul" yang Ustaz sandarkan kepada ayat al-Qur'an daripada surah al-Anfaal: 24-25 seperti di bawah:


A024










Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.

A025







Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.


***************

Seruan yang akan memperelokkan kehidupan kita. Berterusan menjadi manusia beriman dan bertakwa kepada Allah. Apa amalan yang Allah jamin dapat masuk Syurga?

  1. Mengabdikan diri kepada Allah 
  2. dan jangan mensyirikkan Allah SWT.
  3. Menjaga Solat
  4. Tunaikan zakat
  5. Jaga hubungan silaturahim.

Syirik adalah perkara yang sangat besar. Syirik itu lebih halus daripada bunyi tapak kaki semut. Maka berhati-hatilah. Banyakkan berdoa kepada Allah. Doa2 yang maksur iaitu doa2 daripada Nabi SAW banyak di dapati dalam susunan doa al-Matsurat oleh Imam Hassan al-Bana.

Ada orang yang sedang mendirikan solat dan pada waktu yang sama sedang syirik kepada Allah. Bagaimana tu? Iaitu lah dengan memiliki sifat2 syirik dalam dirinya seperti sifat riak, ujub dan takbur. Sifat ini benar2 merusakkan ibadah seseorang. 

Antara tanda2 kiamat ialah akan muncul golongan yang kuat amal ibadah tapi jahil, iaitu tidak mahu menuntut ilmu. Bila seseorang itu jahil maka senanglah setan kacau. Setan senang kacau ahli ibadah yang jahil berbanding orang alim yang tidur.

Hindari sifat ujub iaitu sifat kagum dengan diri sendiri. Ujub bermaksud bangga akan diri sendiri, merasa kagum terhadap diri sendiri kerana kelebihan atau sesuatu yang terdapat padanya. Diri sendiri yang dimaksudkan adalah berkaitan peribadinya, orang kelilingnya, harta benda, kecantikan, kepandaian, anggota keluarganya atau apa sahaja yang dekat dan akrab dengan dirinya. 

Takbur berasal daripada perkataan bahasa arab ‘takabbara’ yang membawa maksud sombong. Perkataan takbur telah diterima pakai sebagai salah satu perkataan bahasa melayu. Di dalam kamus dewan edisi ke empat mentakrifkan takbur sebagai berperasaan tinggi diri dan suka menganggap diri sendiri lebih mulia, lebih pandai, lebih cerdik dari orang lain. Manakala sombong ditakrifkan sebagai tinggi hati, angkuh dan bongkak.(Kamus Dewan ed 4 :2005) Takbur dan sombong adalah perkataan yang sama maksud dan pengertiannya. 


Manakala riak pula ialah tidak ikhlas menunaikan ibadat atau melakukan sesuatu dengan mengharapkan balasan yang setimpal. Sebagai contoh seorang lelaki atau perempuan yang bersembahyang sambil mengharapkan agar ada orang yang memerhati dan memuji kerajinannya. 


Ketiga-tiga penyakit hati ini membahayakan umat Islam dan ada pendapat ulama meletakkan ketiga-tiga sifat ini sebagai syirik kecil. Jika sifat-sifat ini terdapat di dalam diri, ia akan menyebabkan pahala amalan ditolak serta merta. 


Sifat ikhlas mesti ada pada setiap perlakuan amal ibadah kita. Ada 5 perkara yang mesti di ushakan demi untuk mencapai nilai ikhlas ini.
  1. Mesti ada ilmu. Rajin2lah menuntut ilmu.
  2. Bermujahadah iaitu sungguh2 melawan nafsu.
  3. Berkawan dengan orang yang baik2.
  4. Memperbanyakkna baca sejarah Rasulullah, para sahabat dan para tabi'in.
  5. Dan yang paling utama ialah sentiasa berdoa minta tolong pada Allah.
Manusia yang enggan atau liat nak berdoa ialah manusia yang sombong@takabbur padahal manusia ini hamba. Sifat kehambaan terserlah bila kita benar2 bergantung harap kepada Allah dengan berdoa penuh keikhlasan kepada-Nya.

Kita melaksanakan sesuatu benar2 kerana Allah. Tidak sempurna iman seseorang selagi nafsu tidak tunduk pada ajaran dan seruan Nabi SAW.

Beriman itu ialah yakin pada Allah dan Rasul tanpa ada keraguan sedikit pun. Buktikan dengan berjihad dengan tenaga dan hartanya pada jalan Allah. Antara ketogari jihad yang utama ialah:
  1. Jihad untuk keluarkan manusia daripada mensyirikkan Allah.
  2. Keluarkan manusia daripada kejahilan.
  3. Keluarkan kesempitan hati kepada keluasan jiwa. Tidak berputus asa akan rahmat dan hidayah Allah.
  4. Keluarkan manusia daripada kegelapan kemaksiatan kepada kecerahan ketaatan pada Allah.
  5. Mesti berusha menyelamatkan manusia daripada kezaliman kepada keadilan.
Sesiapa yang beramal soleh dengan taat kepada perintah Allah dan Rasul maka Allah janjikan kehidupan yang baik untuknya. Dikurniakan rezki yang tak putus2 dalam bentuk zahir dan juga batin, keluarga yang baik, kesihatan yang baik.

Orang yang zalim/kafir juga Allah kurniakan rezki kepadanya, maka lebih2 lagilah jika kita beriman kepada Allah. Ada orang kaya yang bahagia dan ada orang miskin yang bahagia. Kuncinya ialah taat kepada Allah dan Rasul.

Ada orang tidak mahu taubat kerana sifat putus asa menguasai dirinya. Dia putus asa dengan ujian yang Allah bagi kepadanya. Sesungguhnya manusia yang paling kaya ialah yang paling kaya jiwanya. Allah uji itu tanda kasih dan sayang untuk hapuskan dosa, tambahkan pahala dan angkat martabat dan darjat kita.

Pernah di riwayatkan Abu Bakar RA satu ketika menangis. Bila di tanya kenapa? "Aku takut Allah tak sayang aku sebab Allah sudah tidak uji aku sejak beberapa hari." Tu dia risau seorang hamba akan kasih sayang dan perhatian Allah kepadanya. Kita bagaimana? Bersyukur atau mengeluh sakan bila di timpa ujian?

Tiada rehat di dunia ini bagi orang yang beriman dan bertakwa. Mati bisa mari dengan tiba-tiba. Tinggalkan segala kemaksiatan. Rancakkan amal soleh. Bila masa rehat untuk orang beriman? Mati itulah masa rehat bagi orang beriman. Tapi mati menjadi medan penyesalan yang amat sangat bagi pelaku dosa.

Justru marilah kita hayati ayat al-Qur'an pada surah al-Anfaal ayat 24-25 itu dengan mata hati. Sahutlah seruan Allah dan Rasul dengan sepenuh jiwa dan raga, ikhlas melakukan amal soleh dan meninggalakn segala kemungkaran. Semoga kita semua tergolong dalam kelompok manusia yang mendapat kebaikan tidak ternilai di dunia dan yang utama di akhirat dengan kebahagian yang kekal abadi nanti. 

@@@









Sunday, September 21, 2014

Ceramah Perdana Bulan September 2014




Apa kata kita tanam azam untuk buat 10 perkara mulai hari ini:

  1. Solat Tahajjud setiap malam
  2. Solat Dhuha setiap pagi
  3. Puasa sunat setiap minggu
  4. Bersedekah setiap hari
  5. Berzikir setiap waktu
  6. Solat di awal waktu
  7. Mengaji Qur'an setiap hari
  8. Berbuat baik setiap masa
  9. Berbuat jahat jangan sekali
  10. Mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.

Just Do It !!!

In Shaa Allah

@@@

Siapakah Manusia Berjaya?




Dari Ibnu Abbas ra, ada 7 petanda kebahagiaan dunia, iaitu :

  1. Qalbun syakirun atau hati yang selalu bersyukur
  2. Al azwaju shalihah, iaitu pasangan hidup yang soleh
  3. Al auladun abrar, iaitu anak yang soleh
  4. Albiatu sholihah, iaitu lingkungan yang kondusif untuk iman kita
  5. Al malul halal, atau harta yang halal
  6. Tafakur fi dien, atau semangat untuk memahami agama
  7. Umur yang barakah - ertinya umur yang semakin tua semakin soleh, yang setiap detiknya diisi dengan amal ibadah.

@@@

Wednesday, June 25, 2014

Ramadan Datang Lagi - Are You Ready?


Ramdhan adalah bulan yang mulia yang dinantikan oleh setiap orang Islam, kerana banyaknya kebaikan dan  keberkatan yang ada di dalamnya. Yang tidak ada pada bulan yang lainnya.

Oleh kerana itu, sempena kedatangan Penghulu segala bulan pda tahun ini yang hanya tinggal 2 hari sahaja lagi kedatangannya, digesa untuk membuat persiapan tersebut.

Di antara persiapan yag paling penting dan paling  utama adalah persiapan hati kita serta mental dalamann kita. Agar Ramdhan yang akan datang ini kita sambut dengan perasaan hati yang gembira. Agar kita bersemangat untuk melakukan semua aktiviti yang positip di sepanjang bulan Ramdhan pada tahun ini.

Di samping itu juga ada 3 modal yang utama dalam melaksanakan ibadah puasa yang perlu dipersiapkan dalam puasa pda tahun ini. iaitu:

1. Modal KESEHATAN jasmani dan tubuh badan kita.
Kerana puasa itu merupakan ibadah yang memerlukan kekuatan tubuh badan.  Justeru itu jagalah kesihatan kita sebelum dan ketika kita menjlankan ibadah puasa tersebut.

2. Modal KEIMANAN yang kuat.
Panggilan puasa adalah panggilan keimanan.  Allah SWT berfirman dalam al Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-Baqarah: 183).

Ayat di atas menunjukkan kepada kita bahawa ibadah puasa adalah ibadah yng pelaksanaannya memerlukan kekuatan iman kita. Kerana banyak orang yang Sehat badannya tetapi tidak mampu melaksanakan ibadah tersebut sebab keimanan mereka begitu lemah

3. Modal ILMU PENGETAHUAN yang mendalam.
Ilmu merupakan modal penyempurna dari dua modal di atas. Kerana meskipun badan kita sihat fan iman kita kuat. Kalau puasa tak pakai ilmu, maka ibadah puasa hanya menjadi ibadah ADAT.  maka akhirnya selepas puasa akan kembali sama seperti semula.

Justeru itu wahai saudara-saudara sekalian. Berusahalah menambahkan ilmu pengetahuan agama kita dalam ibadah Ramadan tahun ini agar kefahaman kita dalam melaksanakan ibadah puasa ada perubahan dari segi kualiti ibadah. Bukan puasa yang hanya ikut pada ADAT tetapi puasa yang ikut SYARI'AT.

Kerana masih banyak umat Islam beranggapan bahawa Ramadan adalah BULAN IBADAH, maka akhirnya rajin umat islam sekarang ini hanya pada bulan Ramdhan sahaja. Akan Tetapi anggapan yang betul adalah Ramdhan bulan untuk BERMULA RAJIN IBADAH. Insya-Allah meskipun sudah habis bulan Ramadhan, kita masih lagi tetap rajin untuk beribadah.

Ya Allah jadikan Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang lebih baik dari Ramadhan tahun lau serta jadikan Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang terbaik dan anggaplah Ramadhan tahun ini seolah-olah Ramdhan yang terakhir bagi kami.

Ya Allah sehatkanlah tubuh badan kami serta kuatkanlah iman dan aqidah kami dalam menjalani ibadah puasa  pada Ramadhan kali ini. Kami hamba Mu yang lemah yang berharap  segalanya hanya kepada Mu. Jadikanlah puasa kami untuk beroleh Taqwa di sisi Mu. Aaamiiiin !!!!!!!


Wallahu a'lam.
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam USM. .

(Ustaz Sihabuddin Muhaemin)

Sunday, May 04, 2014

Indahnya Hidup Bersyariaat

Alhamdulillah Ceramah Perdana kita telah berlangsung dengan jayanya pada minggu lepas Rabu 30/4/14 yang dipimpin oleh penceramah popular masakini iaitu Ust Harryanto Rizal Rokman yang juga dikenali ramai sebagai klon@Dato'Ismail Kamus kerana gaya penyampaian dan suaranya yang sangat bersamaan dengan Ust Dato'Ismail Kamus. Tajuk yang dikupas ialah "Indahnya Hidup Bersyariaat."

Daripada culaan mata kasar pengacara majlis iaitu Sdra Nor Hisham (Pak Lang) seramai 36 orang muslim dan 54 orang muslimah warga Pernec telah menghadiri duduk dalam majlis ilmu kita. Alhamdulillah. Walau pun jumlah 90 orang itu masih kurang daripada target kita 100 orang. Namun jelas ada peningkatan dari segi sambutan warga Pernec kepada majlis ilmu yang kita anjurkan secara bulanan ini.

Ustaz bijak mencetus fikir para hadirin bila memulakan ceramahnya dengan bertanya soalan cepumas iaitu, "Indahkah hidup bersyariaat ini?" Ia mengundang sunyi sejenak. "Kena tahu kenapa kita buat baru rasa seronok," kata Ustaz. Orang yang tak ikut syariaat merasakan hidup mereka penuh keseronokan, nak apa pun boleh. Tiba2 kita kata indah hidup dengan dengan syariaat?

Kenapa kita perlu hidup berlandaskan Agama? Agama ini ialah undang2 dan peraturan yang memandu kehidupan ini. Tanpanya kita tidak ubah seperti haiwan, buat apa saja tanpa rasa peduli atai peka dosa pahala. Islam ialah cara hidup yang lengkap, menyeluruh dan sempurna yang di redhai Allah. Tiada cara hidup lain yang di iktiraf Allah melainkan dengan berpaksi kepada syariaat Islam, Agama yang di redhai-Nya.

Ustaz membahagikan sejarah kehidupan manusia kepada 5 zaman:
  1. Zaman tika Nabi masih hidup - iaitu 23 tahun lamanya. 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Tika ini Rasulullah menjadi tempat rujukan pada setiap permasalahan umat. Segala ajaran dan sunnah berbentuk direct dan first hand sampai kepada umat Islam seluruhnya. Paksi aqidah yang mantap dan kukuh menjadi benteng kekuatan umat Islam hingga berjaya mengembangkan mesej dakwah ke serata tempat dan wilayah.
  2. Zaman kedua ialah era Sahabat tika NAbi sudah wafat. Zaman ini ialah zaman pemerintahan khulafak rashidin yang empat iaiatu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Durasi period ini ialah 30 tahun lamanya. Islam berkembang subur hingga ke negeri yang jauh serata dunia. Empayar besar seperti Rom dan Parsi jatuh ke tangan daulah Islamiyah. Era gemilang umat Islam.
  3. Zaman ketiga ialah zaman yang mencengkam. Islam masih menjadi dominan dan anchor dalam pemerintahan dan sistem kehidupan, namun is juga dicemari dengan huru hara dan kecelaruan serta wujud juga suasana kelam kabut dalam sistem kehidupan masyarakat antara yang haq dan yang bathil. Jajahan pemerintahan negara Islam terus berkembang luas hingga ke Spain dan France. Pemimpin2 hebat seperti Umar Abdul Aziz, Salahuddin al-Ayubi dan Sultan Muhammad al-Fatih juga antara nama2 besar yang menonjol di era ini.
  4. Seterusnya zaman Diktator. Zaman yang akan berakhir bila Allah menghendakinya berakhir. Islam sudah bukan menjadi anchor atau pemacu lagi. Walaupun umat Islam di dunia bukan sedikit dari segi kuantiti namun dari segi kualitinya begitu merosot malah ibarat buih di laut. Kosong dan mudah di tiup angin dan gelombang ombak yang membadai pantai.
  5. Zaman yang terakhir ialah zaman Khilafah. Umat manusia terjebak dan terperangkap dalam sistem yang diwujudkan manusia iaitu sistem kapitalis dan seumpamnya. 

Sistem kewangan kapitalis menjurus kepada satu pihak untung dan satu pihak lagi rugi. Manusia terperangkap dan tidak boleh keluar daripada sistem itu. Begitu juga sistem pendidikan yang objektifnya untuk skor A atau kejayaan akdemik semata tanpa ada ruh Islam di dalamnya, gagal membawa graduannya untuk mendekatkan diri taat kepada Allah. Mengaji bukan untuk bawa diri dekat pada Tuhan. Bila pelajar dimasukkan dalam sistem pendidikan ini maka itulah output yang akan keluar.

Masyarakat hari ini di asingkan antara golongan kaya dan miskin. Gapnya begitu luas dan nyata. Dunia akhir zaman Islam menjadi asing, kembali menjadi asing sebagaimana zaman permulaan Islam dulu. Maka beruntunglah siapa yang menjadi asing itu. 

Kerana perlu hidup bersyariaat? Kenapa perlu seronok dengan Islam? Kerana Islam sebenarnya ialah penyelamat, menyelamatkan manusia daripada bakaran api neraka Allah. Kita sebenarnya ada pilihan untuk keluar daripada sisitem yang ada ini. Pilihannya ialah hidup secara bersyariaat, iaitu mengikuti panduan, undang2 dan peraturan yang ditetapkan dalam Agama kita.

Kita mesti rasa islam itu the solver atau penyelesainya. Sistem keluarga yang porak poranda dan bercelaru, fikir hal kelauraga aku sahaja tanpa peduli orang lain dan masyarakat sekeliling adalah penyumbang hidup yang tiada ruh. Hukum Allah di permainkan kerana tiada penjelasan yang benar dan meluas hinggakan salah sangka dan kekeliruan terus menjalar menjadi barah yang bahaya. Orang Islam yang faham hudud , qisas dan takzir akan tidak berani lagi membuat jenayah. 

Bila kita dapat berpaut kepada Islam maka kita upaya untuk menghadapi sistem yang ada atau facing the system. Balik kepada Islam itu dengan mencari Ilmu. Garap kita dan ahli keluarga kita dengan ilmu agama. Islam itu ditegakkan dengan ilmu. Niat untuk ubah jalan akan bertemu dengan ending atau output yang sama jika tidak berpaksikan ilmu yang mantap. 

Sistem yang ada kini nampak macam ok, rasa macam ok, tapi sebenarnya sangat punah dan rusak kerana tidak membawa manusia dekat dengan Allah. Berapa ramai ibubapa yang risau anak suka belajar tapi tak suka solat? Mendidik anak mestilah dengan cara agama. Hantar anak ke tahfiz tapi mak yang menghantar anak itu pakai singlet. Itu pun satu hal juga. "I nak anak I ni jadi hafiz," jelasnya kepada Ustaz sekolah tahfiz. Ustaz pulak goyang imannya hingga terkeluar, 'I love you." Ibaratnya gitulah kata Ustaz Heryanto bergurau.

Sebagai konklusi, kembalilah kepada ilmu. Beramal dengan ilmu dan sebarkan ilmu supaya dapat mengajak ramai manusia ke landasan dan jalan yang lurus untuk mencari redha Allah. Kita semua punyai peranan masing2. Kini pelbagai kemudahan teknologi yang wujud seperti internet, whatsapp, twitter, facebook, email dan youtube. Jadilah ejen dakwah untuk menyebar luas ilmu bermanfaat, semoga dengannya boleh menjadi asbab yang bisa mengundang hidayah dan taufik Allah. 

Indahnya hidup bersyariaat. Itulah harapan kita semua untuk melawan arus perdana akhir zaman yang dapat membezakan hidup persis haiwan dengan hidup sebagai hamba Allah yang faham Agama dan mengamalkan cara hidup yang di redhai Allah sebagaimana yang di ajarkan oleh Rasulullah SAW.

@@@




 
 

 





Ustaz Harryanto Rizal Rokman
Ceramah Perdana Pernec
30/4/14

Posting bermanfaat yg berkaitan untuk tatapan..

related post..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...